Friday, May 30, 2014

Anak lelaki... 31/5/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Sabtu, 2 S'ban 1435H)
Anak Lelaki

'Anak Lelaki' kerap dirujuk sebagai seseorang yang terbukti maskulin, jantan, lanang dan telah terbukti kelakiannya. Mungkin dengan KPI nya yang mempunyai isteri lebih daripada seorang atau yang mempunyai anak yang ramai. Jarang dirujuk kepada maksud sebenarnya iaitu anak lelaki yang sanggup menyara, berbakti dan menanggung hidup kedua orang tuanya.

Ramai dikalangan anak lelaki yang telah berkahwin terutamanya, mengabaikan tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya. Mereka menyerahkan kepada kakak atau adik perempuan untuk menguruskan ibu bapa mereka yang sudah uzur. Perbuatan ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Perlu difahami bahawa perhubungan dan tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak akan terputus walaupun ia telah mendirikan rumahtangga sampai bila-bila...

PENCERAHAN :
Anak-anak lelaki pada hari ini, bila sudah berumah tangga terus melupakan peranannya sebagai 'anak lelaki' pada keluarganya. Melebihkan isterinya daripada ibu bapanya sendiri sama ada pada sudut harta atau kasih sayang. Sebab itu si isteri perlu memahami dan menerima hakikat bahawa dia berkahwin dengan anak lelaki keluarga mertua. Janganlah jadi pesaing kepada ibu mertua malah sepatutnya menjadi penggalak hubungan yang lebih akrab anak lelaki atau suaminya itu kepada kedua ibu bapanya.

Seorang lelaki datang kepada Saidina Umar al-Khattab r.a dan berkata, "Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu." Jawab Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkan mu."

Ini menjelaskan kepada kita, selepas Allah dan Rasul-Nya, orang yang perlu dihormati dan dikasihi adalah ibu dan bapa.uk. Bukan setakat menghormati dan mengasihi mereka tetapi segala keperluan hidup, keselamatan dan hak-hak mereka perlulah dipenuhi sekadar kemampuan si anak lelaki tadi. Sempurnakan dahulu tanggung jawab terhadap mereka sebelum kepada anak isteri sendiri.

Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah SAW bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, lalu berkata: 'Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama mu kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis". Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (HR : Ibnu Majah)

Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tuanya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga. Sebab itulah dalam Islam anak lelaki beroleh 1/2 nisbah faraid berbanding dengan anak perempuan. Ini menunjukkan betapa Islam menghargai tanggungjawab yang dipikul oleh anak lelaki sebagai ketua keluarga.uk.

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggung jawabkan terhadap empat wanita ini;
1. Ibunya,
2. Isterinya,
3. Anak perempuan dan
4. Saudara perempuannya (yang belum berkahwin).

Manakala seorang wanita pula, tanggung jawab terhadapnya ditanggung oleh empat orang lelaki iaitu;
1. Suaminya,
2. Ayahnya (jika belum berkahwin),
3. Anak lelakinya dan
4. Saudara lelakinya.

Diriwayatkan dari Jabir Ibnu Abdillah ia berkata bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku telah mengambil hartaku". Kemudian malaikat Jibril pun turun kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Allah Azza Wajalla menyampaikan salam kepadamu. Apabila orang tua itu datang kepadamu maka tanyalah kepadanya tentang sesuatu yang dikatakan dalam dirinya dan hanya di dengar oleh telinga saja".

Tatkala orang tua itu datang, Rasulullah SAW pun bertanya: "Mengapa anak lelakimu mengeluh tentang sikapmu, dan apakah engkau ingin mengambil hartanya?". Orang tua itu pun berkata: "Tanyalah kepada anak lelaki ku itu ya Rasulullah, apakah aku menggunakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku".

Rasulullah SAW berkata: "Janganlah ceritakan hal ini kepada kami, beritahulah aku tentang sesuatu yang engkau ucapkan dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu". (sesuai dengan perintah malaikat Jibril tadi) Orang tua itu pun berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah, Allah SWT selalu menambah keyakinan kami terhadap diri baginda. Aku telah mengucapkan sesuatu dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku".

uk.Rasulullah SAW bersabda: "Katakanlah agar saya dapat mendengarnya". Orang tua itu pun berkata: "Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan ku biayai engkau ketika dewasa. Engkau minum dari rezeki yang kuberikan kepadamu. Bila engkau sakit di waktu malam, aku tidak tidur dan gelisah semalaman kerana penyakitmu. Seakan akulah yang terkena penyakit itu bukannya engkau sehingga akhirnya aku menangis. Diriku takut jika engkau binasa. Supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.

Tatkala engkau menjadi besar dan mencapai akhir usia, aku pun tidak mengharapkanmu. Engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia. Jika engkau tidak memelihara hak aku sebagai seorang bapa cukupah engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan. Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu". Ketika itu Rasulullah SAW memegang leher baju anak lelaki tersebut dan berkata: "Engkau dan hartamu milik ayahmu".

KESIMPULAN :
Adalah menjadi kebimbangan hari ini kualiti anak lelaki semakin merudum. Ada anak lelaki yang terus bergantung pada ibu bapa sendiri dari bujang sampailah dah beranak-pinak, anak lelaki yang terlibat dengan rempit, ragut, rompak dan rogol (4R), belum lagi dadahnya dan yang jadi 'nyah' lagi, maka semakin sedikitlah bilangan 'anak lelaki' yang sebenar. Wallahu a'lam - Ust Kay ada 3 orang anak lelaki, risau juga ! Ukay's.

No comments: