Tuesday, May 13, 2014

Kerana Ma'rakah @ Kerana Marahkah ?..14/5/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (CCUK) Rabu, 14 Rejab 1435 H.
Kerana Ma'rakah @ Kerana Marahkah ?

Imam Hasan Al-Banna pernah berkata;
“Bahawa ma’rakah (perjuangan) kita paling utama adalah tarbiyah yang disuburkan di tengah-tengah umat akan kefahaman bahawa apapun bentuk dakwah yang tidak di asaskan kepada kerja tarbiyah pada hakikatnya adalah ibarat fatamorgana yang menipu.”

Oleh itu, beliau mengajak kita untuk menumpukan pandangan kita pada tarbiyah malah beliau menegaskan akan peri pentingnya keteguhan terhadap tarbiyah. Tanpa tarbiyah pasti rebah. Berjuang hanya kerana emosi pasti 'mati'. Hanya kerana marah pasti punah. Dilonggok harta, pangkat dan wang ringgit di depan mata habis binasa. Jadi, kerana perjuangan atau kerana kepentingan ?

PENCERAHAN :
Memahami bahawa pembangunan generasi X, Y atau Z merupakan suatu kemestian untuk melakukan satu pengislahan dan mampu mengukuhkan kewujudan dan pewarisan (tawris) dakwah seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Adwi sebagai 'Jamaah Tarbawiyah'.

Pembentukan dan tarbiyah yang kukuh memiliki ciri-ciri dan keistimewaan khusus yang tidak boleh diingkari oleh para murabbi, iaitu di antaranya:
1) At-Tarbiyah Ar-Rabbaniyah (Tarbiyah Rabbaniyah) bahawa kita memiliki dakwah rabbaniyah yang setia kepadanya dan di antara ciri-ciri dakwah rabbaniyah ini;
a. Al-Masdar Ar-Rabbani (Sumber Yang Rabbani)
b. Al-Ittijah Ar-Rabbani (Arah Yang Rabbani)
c. Al-Wasilah Ar-Rabbaniyah (Wasilah Yang Rabbani)

2) At-Tarbiyah As-Syumuliyah (Tarbiyah Yang Menyeluruh) iaitu tarbiyah yang mencakupi berbagai potensi jiwa manusia (akal, perasaan dan perilaku), sehingga memberikan pembentukan pada segala potensi.
3) At-Tarbiyah Al-Wasatiyah (Tarbiyah Yang Bersifat Pertengahan) iaitu tidak ada ‘ifrat’ (pengurangan) dan ‘tafrith’ (berlebihan) di dalamnya, tidak cenderung pada satu sisi terhadap kepentingan sisi tertentu.
4) At-Tarbiyah Al-Insaniyah (Tarbiyah Yang Manusiawi) iaitu tarbiyah yang membuka interaksi dengan jiw a manusia bukan benda mati, yang dalam perjalanannya menggunakan sunnah Ilahiyah dalam berinteraksi.
5) At-Tarbiyah Al-Manhajiyah (Tarbiyah Yang Bertahap) iaitu tarbiyah yang sentiasa bertahap dalam langkah-langkah dan fasa pembentukannya sesuai dengan prinsip bertahap dan konsep yang tersusun rapi.
6) At-Tarbiyah Al-Mustamirrah (Tarbiyah Yang Berkesinambungan) iaitu tarbiyah yang dimulai dari semenjak kelahiran jiwa manusia kemudian diteruskan hingga akhir hayatnya, kerja tarbiyah yang tidak pernah berhenti. Allah berfirman;
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ

“Dan beribadahlah kepada Tuhanmu hingga datang (kematian/sesuatu yang tetap) yakin” (QS Al-Hijr : 99)

7) At-Tarbiyah Al-Ijabiyah (Tarbiyah Yang Positif) iaitu dakwah menuju cita-cita yang waqi’ dan keberkesanan dalam kerja serta terfokus pada pembahasan tentang jiwa yang positif yang dimulai dari dalam dirinya.
8) At-Tarbiyah Al-Waqi’iyah (Tarbiyah Yang Realiti) iaitu tarbiyah yang dimulai dari jiwa seadanya, berkomunikasi sesuai dengan keadaan dan realiti yang melingkunginya.
9) At-Tarbiyah Al-Murunah (Tarbiyah Yang Anjal) iaitu tarbiyah yang seiring dengan keadaan amal dakwah iaitu mengikut individu dan masyarakat menjadi sasarannya.
10) At-Tarbiyah Al-Harakiyah (Tarbiyah Yang Sentiasa Dinamik Dalam Bergerak) iaitu tarbiyah yang dibangun di atas asas pembinaan medan yang realiti, bukan sekadar ideologi atau teori.
11) At-Tarbiyah Ad-Daqiqah Wal Amiqah (Tarbiyah Yang Kukuh dan Mendalam) iaitu tarbiyah yang bukan hanya nampak pada permukaan semata-mata, namun meresap ke dalam lubuk hati manusia dalam berbagai ajaran, wasilah dan bentuk-bentuknya.

KESIMPULAN :
Orang yang tidak cukup bekalan tarbawi tidak akan dapat memberi tarbiah kepada orang lain. Tiada istilah letih dan penat dalam ma'rakah. Tiada istilah senior dan junior dalam kerja dakwah. Tiada istilah 'Letak Jawatan' dalam kerja membangun ummah. Tiada istilah jadi 'Bebas' tapi menyokong yang kita tidak setuju... Pening manusia ni !
Wallahu a'lam - Ayuh berjuang dengan tarbiyah. Ukay's

No comments: