السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Khamis, 22 Rejab 1435H)
Dengarlah Nasihat !
Sabda Nabi SAW ;
عن أبى رقية تميم بن أوس الداري رضى الله عنه أن النبى صلى الله عليه وسلم قال : الدين النصيحة ، قلنا لمن ؟ ، قال : لله ، ولكتابه ، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم
Diriwayatkan daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus Ad-Daariy r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : “Agama itu nasihat”. Kami berkata, “Bagi siapa?”. Sabda Nabi SAW, “Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, dan bagi Imam (pemerintah) kaum muslimin dan bagi orang ramai mereka”. (HR : Muslim)
PENCERAHAN :
Pada hadis tersebut Rasulullah SAW menerangkan perkara yang berkenaan beberapa nasihat dalam agama;
1. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa nasihat bagi Allah SWT yang bererti beriman kepada-Nya, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain. Melaksanakan setiap titah perintah-Nya serta meninggalkan setiap larangan-Nya.
2. Nasihat bagi kitab-Nya ialah beriman dengan al-Quran serta kitab-kitab yang diturunkan tanpa meraguinya walaupun satu ayat, walaupun satu huruf. Berusaha mempelajari al-Quran serta menjadikan al-Quran sebagai panduan serta rujukan dalam kehidupan. Mentadabbur dan menegakkan isi kandungannya tanpa ragu. Ust Kay khairan sungguh, ada orang beriman sebahagian ayatnya tetapi mengkufuri pula sebahagian yang lain. Contoh, beriman dengan ayat kewajiban berpuasa tetapi menolak kewajiban melaksanakan undang-undang Allah. Kemudian mengaku muslim yang baik pulak tu...
3. Nasihat bagi Rasulullah SAW iaitu membenarkan risalah Baginda, beriman dengan semua perkara yang didatangkan oleh Baginda sama ada melalui al-Quran mahupun as-Sunnah. Seterusnya mencintai dan mengasihi Baginda Nabi SAW. Mencintai mereka yang mencintai Baginda dan memusuhi mereka yang memusuhi Baginda SAW.
4. Nasihat untuk para imam muslimin, ialah dengan kita menyukai serta menyokong kebaikan dan keadilan mereka. Bukannya kita mencintai mereka kerana kepentingan peribadi. Menolong mereka selama mana me reka berada ada jalan kebenaran dan memperbetulkan mereka jika sekiranya mereka lari dari jalan yang sebenar.
Jika rakyat jadi seperti tunggul kayu, tidak melaksanakan tugas menasihati dan menegur pemerintah, pemerintah akan menjadi toghut (melampau), ini bererti kehinaan, kehancuran dan kekalahan akan menimpa ke atas mereka. Sebagai pemerintah maka apabila dia ditegur sekalipun teguran itu datang dari rakyat, maka terimalah teguran itu dengan baik. Jangan memusuhi rakyat sendiri. Takkan maksum kot !
5. Nasihat untuk sekalian kaum muslimin iaitu dengan memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada mereka demi kepentingan serta kebaikan akhirat dan dunia mereka. Menjadi tugas kita untuk memperbetulkan apa yang tidak betul dan memperelokkan apa yang tidak elok. Nasihat akan berperanan sebagai penutup keaiban, penyekat kepada kecacatan, pencegah kemungkaran serta melahirkan keberkatan dari Allah SWT.
Jangan hanya menjadi seorang yang soleh saja, tetapi harus juga menjadi seorang musleh. Kebaikan umat ini terletak pada penerusan pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar. Apabila (perkara ini) tidak dilaksanakan maka akan hilanglah salah satu ciri kebaikan umat Islam ini (QS. Ali-Imran :110)
Rasulullah SAW menjadikan nasihat yang tulus kepada seorang muslim sebagai bahagian dari haknya yang harus ditunaikan oleh saudaranya sesama muslim. Di antara adab memberi nasihat ialah ;
1) Niat yang benar semata-mata mengharapkan redha Allah, serta mencari pahala dan balasan dari-Nya.
2) Memberikan nasihat kepada seorang muslim walaupun tidak diminta. Tetapi hendaklah bersabar terhadap tindak balas yang akan diterima.
3) Mencari cara terbaik dalam menyampaikan nasihat.
Ada keadaan di mana nasihat dapat diberikan secara langsung. Dalam keadaan yang lain pula, lebih diutamakan secara tidak langsung. Contoh, “Mengapa ada orang yang mengatakan begini ye... "
4) Memberi nasihat secara umum dalam urusan agama dan dunia. Ambil contoh-contoh kisah sahabat atau kisah-kisah yang boleh dijadikan teladan atau sempadan.
5) Merahsiakan nasihat. Memberikan nasihat secara diam-diam, tidak diketahui oleh orang lain. Jika dibuat di hadapan orang maka hal itu dapat mendatangkan aib atau menyebabkan kerendahan diri dan kehinaan. Kata Imam Syaf’ie ;
“Barangsiapa yang menasihati saudaranya diam-diam maka sungguh ia telah memberikan nasihat dan membaguskannya. Sedang barangsiapa yang memberikan nasihat secara terang-terangan, maka sungguh ia telah membongkar aib dan merendahkannya.”
KESIMPULAN :
Nasihat menasihati dapat membuat pembaikan kepada kesalahan, menanamkan sifat kasih sayang dan kepedulian antara sesama manusia. Asalkan kita berjiwa besar, suka menasihati orang maka sukalah juga sepatutnya untuk menerima nasihat orang. Jangan hanya pandai menegur orang, tapi tak suka pula bila ditegur.
Wallahu a'lam - Wassini (nasihatilah aku...) Ukay's
No comments:
Post a Comment