Thursday, May 29, 2014

Siapa kentut ni ?.... 30/5/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Khamis, 1 Sya'ban 1435H)
Siapa kentut ni ?

Jangan ditanya siapa yang kentut. Nescaya tiada siapa yang akan mengaku, percayalah ! Terutamanya bila ianya dilepaskan di khalayak ramai. Kenapa Kita Kentut, Kentut datang dari mana?, Berapa kali kita mampu kentut? Bunyi macam tak senonoh tapi tu lah hakikatnya. Kita kenalah tahu sebab apa kita kentut. Jangan asyik ingat sebab sakit perut, sebab makan telur, atau sebab nak buang air besar. Kentut ni memang tak da cara nak atasi. Nak tak nak kena kentut jugak, tapi control lah sikit.Jangan lepas ikut suka hati je...uk

PENCERAHAN :
Kentut adalah salah satu daripada fungsi badan yang paling biasa sepanjang zaman. Semua orang melakukannya, daripada Neelofa sampailah Angelina Jolie pasti juga kentut. Malah, perkataan “fart” (kentut) adalah salah satu perkataan yang tertua dalam bahasa Inggeris! Teruskan membaca untuk mengetahui fakta-fakta yang lebih menarik perihal kentut ini.

Dari mana datang kentut ni? Pemikiran kita selalu kata kentut datang dari dubur. Tapi sebenarnya, kajian perubatan menyatakan kentut ini berasal dari gas yang kita telan, gas dari darah yang pergi ke usus, gas dari reaksi kimia dan gas yang dijana oleh bakteria dalam usus dan keluar melalui dubur. Maksudnya, bukanlah dubur punca sebenar kentut tetapi selalu kena tuduh !

Kenapa kentut yang tak bunyi lagi busuk? Salah satu sumber kentut ialah bakteria. Respirasi oleh bakteria dan proses pencernaan akan hasilkan haba serta hasil sampingannya adalah gas busuk. Diameter gelembung gas yang lebih kecil adalah lebih hangat serta menghasilkan metabolisme bakteria yang berbau busuk. Diameter gas yang kecil, tak hasilkan bunyi cuma hasilkan bau yang boleh 'membunuh'.

Berapa banyak kita mampu kentut sehari? Manusia normal boleh kentut lebih kurang setengah liter sehari ataupun sebanyak 14 kali kentut. Tapi ada yang kentut tak sampai 14 kali atau terlebih kan? Sebab tiada siapa yang sudi mengira berap a kali kah sudah terkentut. Tetapi harus ingat... kentutpun ada adab-adabnya.

Islam melarang kita melakukan sesuatu perbuatan yang memalukan diri seperti kentut dihadapan orang ramai dan sebagainya. Walau bagaimanpun bagi mereka yang terkentut maka hendaklah menyembunyikan perbuatannya dan meneruskan pekerjaannya seperti biasa. Seperti tiada apa yang berlaku...buat 'donno' !

Hal ini berdasarkan hadis daripada Saidatina Aisyah r.a yang berkata, Nabi SAW bersabda ;

إِذَا أَحْدَثَ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ فَلْيَأْخُذْ بِأَنْفِهِ ثُمَّ لِيَنْصَرِفْ

"Jika salah seorang daripada kamu terkentut sewaktu solatnya maka hendaklah dia memegang hidungnya lalu beredar (dari solat)." (HR : Abu Daud)

Menurut al-Khattabi, perintah supaya memegang hidung itu supaya seolah-olah orang lain menyangka dia menghadapi hidung berdarah dan keluar bukan sebab kentut. Ini adalah bagi melindungi perkara yang memalukan dan tidak termasuk berbohong sebaliknya dari akhlak yang baik.

Abdullah bin Zam'ah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menegur perbuatan mereka yang ketawa ketika terkentut dan buang angin dengan sabdanya ;

لِمَ يَضْحَكُ أَحَدُكُمْ مِمَّا يَفْعَلُ ؟

"Kenapa salah seorang daripada kamu ketawa terhadap apa yang dia juga lakukannya?"
(HR : Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas bermaksud kentut itu dilakukan oleh semua orang maka tidak sepatutnya dia ketawa terhadap orang yang terkentut kerana dia juga mengalaminya. Bahkan Imam An-Nawawi rahimahullah menyebutkan bahawa hal ini adalah menjadi hujah bahawa dilarang mentertawakan orang yang kentut sebaliknya dia harus mengabaikannya dan meneruskan urusannya seperti biasa seolah-olah dia tidak mendengarnya. Hal ini termasuk dalam adab dan akhlak yang baik dengan manusia lain.

Kentut adalah sebagian dari rangkaian metabolisme tubuh manusia. Sehingga semua orang yang normal mengalaminya. Oleh itu, ketika kita mendengar ada orang yang kentut, kita dilarang mentertawakannya. Kerana kita sendiripun kentut atau pernah terkentut !

Dalam Tuhfatul Ahwadzi, Syarh Sunan at-Tirmiz i, Al-Mubarokfuri mengatakan,

وكانوا في الجاهلية إذا وقع ذلك من أحد منهم في مجلس يضحكون فنهاهم عن ذلك

“Dulu mereka (para sahabat) di masa jahiliyah, apabila ada salah satu peserta majlis yang kentut, mereka semua tertawa. Kemudian baginda melarang hal itu.” (Tuhfatul Ahwadzi, 9/189). uk.

BAKAL PENGHUNI SYURGA KERANA KENTUT :
Sekitar satu bulan selepas Hatim bin Asom meninggal dunia, seorang teman Hatim bermimpi seolah-olah ia bertemu dengan Hatim Al-Asom.
"Wahai Hatim, apa yang telah kau dapatkan dari Allah, dan bagaimana pula Dia memperlakukan dirimu?"
"Allah memperlakukan aku dengan baik sekali, bahkan aku mendapat nikmat kubur yang begitu luas, nikmat awal bagi para penghuni syurga." Jawab Hatim.
"Amalan apakah yang membuat dirimu mendapat perlakuan istimewa seperti itu?"
"Semua itu ku dapatkan, hanya kerana kentut. Seorang gadis membeli pakaian di kedaiku. Tanpa sengaja ia telah terkentut, namun aku pura-pura tak mendengarnya. Aku berlagak pekak. Bila aku tak berpura-pura pekak, maka boleh saja aku akan terjerumus mendedahkan keaibannya itu. Padahal sesama muslim harus saling menutupi aib dan cela antara satu sama lain, bukan dicanang merata. Jangan pula kamu bukakan rahsia orang lain kesana kemari, kerana itulah rahsia mu juga akan ditutupi oleh Allah jua."

KESIMPULAN :
Kemana perginya kentut jika ditahan atau tidak dikeluarkan? Kentut tidak diserap darah dan tidak hilang dengan sendirinya. Kentut berpindah menuju ke bahagian atas menuju usus dan pada gilirannya akan keluar juga. Jadi bukan lenyap, cuma ditunda saja dari keluar ke dunia. Sampai masanya... Siapa kentut ni ?
Wallahu a'lam - Alhamdulillah masih dapat kentut. Ukay's

No comments: