Wednesday, May 7, 2014

Dosa oh dosa

8/5/15...dosa oh dosa
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Khamis, 8 Rejab 1435H)
Dosa Oh Dosa !
Semenjak-dua menjak ini, bukan menjadi suatu perkara yang pelik bila kita mendengar berita ada orang Melayu Islam yang melakukan perbuatan membunuh diri. Begitu juga perbuatan membunuh orang yang rapat dengannya seperti anak-anak, isteri, saudara mara malah ibu bapa sendiri. Kenapa perkara ini berlaku? Faktor masalah mental, gangguan emosi, makhluk halus, kemurungan atau apa sebenarnya?
PENCERAHAN :
Kalau kita menuding jari kerana perbuatan makhluk halus semata-mata, kasihan makhluk tu... tak pasal-pasal kena fitnah ! Dia pun makhluk Allah juga. Sebab itu pengamal perubatan Islam yang soleh tidak akan sewenang-wenang menyeksa apatah lagi membunuh makhluk tersebut. Sebab mereka juga ciptaan Allah yang dicipta untuk beribadat kepada-Nya. Allah telah berfirman;
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (QS. Adh-Dhariyat : 56)
Itulah jawapan sebenarnya. Bila manusia meninggalkan 'core bussiness' utamanya. Iaitu dicipta untuk beribadat atau mengabdikan diri kepada Allah. Abdi membawa maksud hamba, taat dan patuh yang tidak berbelah bahagi kepada 'Tuan'nya. Bila manusia sudah tidak berwatak sebagai seorang hamba, ingin bebas melakukan atau tidak melakukan apa sahaja maka dia akan terus bergelumang dengan dosa dan berputus asa kepada-Nya.
Justeru, ulama' telah membahagikan tingkatan dosa manusia itu kepada beberapa tingkatan, iaitu;
1) Nabi dan Rasul - Mereka bersifat ma'sum iaitu terpelihara daripada melakukan sebarang dosa, sama ada dosa kecil mahupun dosa besar yang boleh mengurangkan kemuliannya sebagai utusan Allah.
2) Orang Soleh - Mereka menganggap dosa itu seperti gunung yang akan menghempapnya. Sedikit melakukan kesilapan terus bertaubat dan memperbanyakkan istighfar kepada Allah.
3) Orang Biasa - Mereka selalu melakukan dosa dan bertau bat kemudian melakukan dosa lagi. Iman mereka kadang-kadang bertambah dan kadang-kadang berkurang. Menyesal tetapi tetap mengulangi lagi dosa itu
4) Orang Fasiq - Mereka memandang remeh dosa yang dilakukan. Dosa dianggap seperti lalat yang hinggap dihidung sahaja yang boleh ditepis dengan mudah menggunakan tangan. Mula-mula rasa berdosa, bila tidak segera bertaubat akhirnya tegal biasa.
5) Orang Munafik - Mereka langsung tidak merasa berdosa setiap kali melakukan dosa. Beribadat dan meninggalkan larangan Allah hanya apabila dilihat oleh manusia. Tidak rasa berdosa menjadi orang munafik.
6) Orang Kufur - Mereka bukan sahaja tidak merasa bersalah melakukan sesuatu dosa malah berbangga melakukannya. Berbangga meninggalkan perintah Allah atau berbangga melanggar larangan-Nya. Menyanjung perbuatan maksiat dan menghina orang yang bertakwa.
Sebesar-besar kesilapan orang yang melakukan dosa besar seperti berbohong, mencuri, berzina dan seumpamanya, bukanlah semata-mata kerana telah melakukan dosa besar tersebut tetapi dosanya yang paling besar ialah terus menerus melakukan dosa besar tersebut. Putus asa dengan rahmat dan maghfirah dari Allah. Merasakan dirinya begitu hina dan jijik, kotor dan tiada peluang lagi untuk mendapat keampunan Allah.
KESIMPULAN :
Wahai sahabat... Sekiranya kita telah melakukan sesuatu dosa besar, jangan kita asyik fikirkan besarnya dosa yang telah kita lakukan tetapi fikirkanlah lebih besar lagi pengampunan Allah kepada hamba-Nya. Jika kita rasa sempitnya kehidupan ini, rasakanlah Maha Luasnya Rahmat dan Kasih Sayang Allah kepada kita selama ini. Perkara terbaik yang perlu kita lakukan apabila kita telah melakukan sesuatu dosa ialah berhenti daripada melakukan dosa-dosa tersebut, kembali kepada Allah dan jangan putus asa dari rahmat dan keampunan Allah.
Wallahu a'lam - Sebarkan tapi jangan padam nama penulisnya kerana itu juga satu dosa ! CCUK.

No comments: