السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Ahad, 11 Rejab 1435H)
Membazir
Minta maaf, insya Allah anda tidak membazir waktu menunggu kemunculan CCUK setiap hari. Mudah-mudahan ada manfaatnya kepada kita semua.
Sebenarnya terdapat banyak kalimah membazir di dalam al-Qur'an. Selain kalimah "Membazir" atau "berlebihan" diambil juga daripada kalimah "asrafa" yang berjumlah 23 kesemuanya. Ia didapati pada 21 ayat, antaranya ialah:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
(QS. Al-Isra' : 27)
PENCERAHAN :
Pembaziran diambil dari sudut bahasa iaitu yang bermaksud boros. Manakala dari sudut istilah syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak (kebenaran).
Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan (mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat. Begitu juga takrif yang diberi oleh Ibnu Kathir. Pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah S.W.T. Contoh, mengeluarkan sejumlah duit yang bukan sedikit untuk membeli pakaian yang tidak menutup aurat, berhibur di tempat-tempat hiburan yang melalaian seperti di Karaoke Box dengan bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan seumpamanya.
Ramai di kalangan kita yang tersalah anggap hingga menyempitkan ruang lingkup pembaziran kepada wang dan harta benda sahaja. Sesungguhnya konsep pembaziran itu sangat luas skop dan ruang perbincangannya mencakupi perkara-perkara bersifat kebendaan dan bukan kebendaan seperti perasaan, sikap dan seumpamanya.
Sekiranya perkara-perkara tersebut dipergunakan pada jalan sia-sia serta dilarang oleh Allah S.W.T, maka ia termasuk di dalam pembaziran. Mereka yang suka membazir dan boros ini sebenarnya tergolong di dalam kalangan orang-orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat pemberian Allah S.W.T (kufur nikmat)
Syeikh Ibnu al-Qayum al-Jauziyah mengatakan terdapat sembilan bentuk pembaziran yang sering dilakukan manusia antaranya:
1. Pembaziran ilmu pengetahuan - iaitu membazir jika tidak diamalkan pada jalan kebaikan.
2. Pembaziran amalan - iaitu membazir jika tidak dilakukan dengan hati yang ikhlas
3. Pembaziran kekayaan - iaitu membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah SWT.
4. Pembaziran hati - iaitu membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah SWT.
5. Pembaziran tubuh badan - iaitu membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah SWT.
6. Pembaziran cinta - iaitu membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.
7. Pembaziran masa - iaitu membazir jika tidak diurus dengan sebaiknya.
8. Pembaziran akal - iaitu membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada Agama.
9. Pembaziran zikir - iaitu membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.
KESIMPULAN :
Begitu juga pembaziran boleh berlaku kepada diri kita tanpa kita sedari. Contohnya, berapa banyak masa yang telah kita bazirkan dengan media sosial yang kita rasakan sangat bermanfaat ini daripada masa yang sama kita gunakan untuk membaca Al-Quran. Ada orang yang tak boleh berenggang langsung dengan gajet media sosial ini. Waktu makan, waktu di rumah, waktu rehat mahupun ketika waktu bekerja sekalipun, sehinggakan sebelum dan selepas solat sahaja terus melihat-lihat pada gajet kot-kot ada mesej penting. Lebih penting daripada berwirid dan beristighfar kepada Allah. Allahu Allah !
Wallahu a'lam - Membazir sahaja CCUK ini kalau tidak dishare-share kan. Ukay's
No comments:
Post a Comment