السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Rabu, 7 Rejab 1435H)
Muhkamat & Mutasyabihat
Ramai sahabat yang mohon pencerahan tentang tajuk diatas. Untuk tidak menghampakan, di sini Ust Kay nyatakan secara umum dan mudah dari sudut perbezaannya sahaja dan tidak menghuraikannya secara terperinci dalam medium yang cukup terbatas ini. Untuk lebih jelas sahabat-sahabat kena bertalaqqi musyafahah di surau dan masjid berdekatan anda !
PENCERAHAN :
Al Muhkam: المتضح المعنى ; yang jelas maknanya.
Al Mutasyabih: ما ليس بمتضح المعنى; yang dikatakan tidak jelas maknanya.(penyerupaan, menyamai)
Jadi ayat-ayat Muhkamat ialah ayat yang dari segi bahasa memiliki satu makna saja dan tidak memungkinkan untuk ditakwil ke makna lain. Atau ayat yang diketahui dengan jelas makna dan maksudnya. Seperti firman Allah :
﴿ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىءٌ ﴾
“Dia (Allah) tidak menyerupai sesuatupun dari makhluk-Nya (baik dari satu segi mahupun semua segi, dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya)”.
(QS. Asy-Syura: 11)
Ayat-ayat Mutasyabihat pula ialah ayat yang dikatakan sebahagian ulama' belum jelas maknanya. Atau yang memiliki banyak kemungkinan makna dan pemahaman sehingga perlu direnungkan agar diperoleh makna yang tepat yang sesuai dengan ayat-ayat muhkamat. Seperti firman Allah :
﴿ الرّحْمٰنُ عَلَى العَرْشِ اسْتَوَى ﴾
"Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang 'bersemayam' di atas Arasy." (QS. Taha : 5)
Penafsiran terhadap ayat-ayat mutasyabihat harus dikembalikan kepada ayat-ayat muhkamat. Ini jika memang berkait dengan ayat-ayat mutasyabihat yang mungkin diketahui oleh para ulama tafsir yang mahir.
Perbezaan Ayat Muhkamat dan Ayat Mutasyabihat ialah:
1. Muhkam adalah sesuatu yang telah jelas maknanya, sedangkan mutasyabihat tidak jelas maknanya
2. Muhkam adalah ayat yang maksudnya dapat diketahui secara langsung tanpa memerlukan keterangan lain. Sedangkan mutasyabih perlu penjelasan lagi.
3. Muhkam adalah ayat yang dalalahnya kuat baik maksud mahupun lafaznya. Sedangkan mutasyabih adalah ayat yang lemah dalalahnya, bersifat mujmal, sehingga memerlukan ta’wil.
4. Muhkam adalah ayat yang sama susunan dan urutannya yang membawa kepada makna yang tepat tanpa pertentangan. Sedangkan mutasyabih adalah ayat yang makna biasanya tidak terjangkau oleh akal dari segi bahasa kecuali bila ada bersamanya keterangan.
5. Muhkam adalah ayat yang nasah dan padanya mengandung pernyataan halal, haram, hudud, faraid dan semua yang wajib di amalkan. Adapun mutasyabih iaitu ayat yang padanya terdapat mansuh, dan qasam serta yang wajib diimani tetapi perlu direnungi untuk diamalkan lantaran belum jelas makna yang dimaksudkannya.
Para ulama juga berbeza pendapat tentang kemampuan manusia untuk memahami ayat-ayat mutasyabihat ini. Sebahagian mengatakan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mengerti tentang maknanya, manusia hanya wajib mengimaninya saja.
Sebahagian ulama pula menolak untuk membiarkan ayat Al-Quran itu tidak mampu difahami kerana Al-Quran dibuat dengan bahasa Arab yang jelas. Mustahil orang Arab tidak mampu memahaminya. Aneh rasanya bila Allah memberikan Al-Quran kepada manusia sebagai petunjuk namun ada ayat-ayatnya yang tidak mampu difahami oleh manusia itu sendiri.
KESIMPULAN
Sebenarnya, wajib kita beriman bahawa seluruh ayat Al-Quran sama ada muhkam atau mutasyabih adalah ayat-ayat yg jelas lagi terang. Menjadi keliru sekiranya kita mengatakan bahawa ayat-ayat mutasyabihat itu ayat yg kurang jelas atau samar-samar sebab Allah menyatakan Al-Quran itu adalah petunjuk "Hudan" daripada Allah SWT.
Mana mungkin petunjuk atau Hudan / Hidayah itu boleh kabur atau samar-samar.
Wallahu a'lam - Mengkaji dan mengaji Al-Quran. CCUK
No comments:
Post a Comment