السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Sabtu, 17 Rejab 1435H)
Ayuh Sokong GST !
Perkataan Mursyid berasal dari Bahasa Arab, dari kata 'Irsyada', iaitu memberi tunjuk ajar. Bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutamanya dalam bidang kerohanian. Bertanggungjawab memimpin dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah S.W.T dalam proses tarbiyah yang teratur. Mursyid bertanggungjawab untuk mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin) sebagai mana yang telah ditarbiyahkan oleh gurunya Rasulullah SAW.
PENCERAHAN :
Guru Mursyid dianggap golongan pewaris Nabi SAW dalam bidang pentarbiyahan umat dan pemurnian jiwa mereka (tazkiyatun nafs). Kerana mendapat izin irsyad dari para Mursyid mereka sebelum mereka, yang mana mereka juga mendapat izin irsyad dari mursyid sebelum mereka dan seterusnya, sehinggalah sanad izin irsyad tersebut sampai kepada Rasulullah SAW (tanpa terputus).
Guru Mursyid bertanggung jawab bagi mengajar dari sudut zahir (syariat) dan makna (batin). Antara ciri seseorang yang digelar guru yang Mursyid adalah ;
1) Mempunyai ilmu agama yang jelas dan mantap khususnya tentang perkara-perkara fardhu 'ain.
2) Dia merupakan seorang yang Kamil (bukan Ust Kay) dari sudut muamalah dengan Allah SWT.
3) Mendapat pengiktirafan /pengesahan dari Mursyidnya (guru) yang diiktiraf dan tidak putus dalam turutan sanad.
4) Manhaj tarbiyah yang selari dengan panduan Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Sekurang-kurangnya ada 14 syarat yang perlu ada bagi seseorang itu layak dipanggil Mursyid, iaitu ;
1. Menguasai, melaksanakan ilmu syariah dan tidak mengabaikan kewajiban diri. Peribadinya tertakluk dengan hukum Allah SWT.
2. Hatinya terbuka kepada teguran dan kritikan
3. Ilmunya benar atau sahih.
4. Berkemahuan tinggi kerana hendak membina prestasi diri dan muridnya.
5. Berpandangan jauh (ada Wawasan Akhirat sebagai destinasi akhirnya bukan sekadar Wawasan 2020)
6. Dermawan (tidak sekalipun kedekut) walaupun kepe rluannya tinggal sehelai sepinggang.
7. Berbudi pekerti luhur dan tulus.
8. Kasih sayang terhadap semua manusia, tanpa rasa perkauman atau memandang pangkat dan jawatan.
9. Zuhud (menolak kebendaan) dan hidup dengan amat sederhana serta qana'ah.
10. Tidak membesarkan diri dengan kehebatannya (seperti kononnya punyai karamah atau kashaf)
11. Tidak mengeluh ketika diuji.
12. Amat perahsia (tidak mendedahkan keaiban atau kekurangan orang lain)
13. Hadir hatinya untuk Allah SWT semata.
14. Kesan kesalihannya terpapar kepada usahanya.
Guru Mursyid juga digelar sebagai Tuan Guru atau Tok Guru, Tuan Sheikh atau Mursidul Am yang memiliki kepimpinan rohaniah yang tinggi. Pada kebiasaannnya mereka memiliki madrasah atau pondok dalam usaha memimpin atau membentuk muridnya. Mereka sangat mencontohi kehidupan Nabi SAW. Firman Allah SWT ;
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik..." (QS. Ahzab : 21)
Kita wajib bersyukur kerana kasih sayang Allah telah mengutuskan seorang Rasul-Nya yang telah melengkapkan keperluan hidup insan dan sempurnakan akhlak seluruh umat manusia. Kedatangan Rasulullah SAW yang telah menjadi GURU teragung umat manusia untuk sepanjang zaman. Dulu, kini dan selamanya...
KESIMPULAN :
Oleh itu, anugerah Guru Sangat Terhebat (GST) memang selayaknya kita berikan kepada Baginda Rasulullah SAW yang telah menjadi guru paling sempurna dan ‘Role Model' yang tiada tandingan. Namun ingatan kepada Baginda yang semakin hari semakin luput, menjadikan akhlak manusia merudum dan musnah, menjadikan manusia kembali kepada hidup yang tidak bertamadun, rosak akidah dan runtuh akhlaknya.
Wallahu a'lam - Sokonglah GST yang ini ! Ukay's
No comments:
Post a Comment