Thursday, May 15, 2014

Selamat Hari-hari Cikgu ! 16/5/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat, 16 Rejab 1435H)
Selamat Hari-hari Cikgu !

Suatu pagi di dalam sebuah kelas 4 Lurus, Sekolah Kebangsaan Ust Kay, jauh di kawasan pedalaman.

Cikgu: Sebenarnya setiap guru tidak mengharapkan apa-apa hadiah daripada anak muridnya kerana mereka mengajar dengan ikhlas. Tapi cikgu tak kisah apa-apa jenis hadiah yang kamu nak berikan pada cikgu (mengharap juga lah tu... nampak permainan cikgu ni...)
Murid: Tapi cikgu, hadiah macam mana tu?
Cikgu : Cikgu cadangkan begini, jika ayah kamu penanam jagung… jagunglah bagi kat cikgu tu ! Jika kerja sebagai nelayan, ikan pun boleh...
Murid : Ohh…. begitu ye cikgu. Baik cikgu !
Keesokan harinya, penuh meja cikgu itu dengan pelbagai hadiah….. Macam-macam ada. Tersenyum lebar cikgu tu.
Cikgu : Hah !, kenapa kamu berpeluh ni Mamat? Datang lewat pulak tu ! (Sergah cikgu tersebut kepada seorang muridnya yang sedang termengah-mengah)
Mamat: Usung hadiah cikgulah…. tu ada kat luar kelas.
Cikgu : Ya.. Allah ! Batu nesan Mat ?????
Mamat: Ha….aaa ! (sambil kembangkan hidung bangga)
Cikgu : Ayah Mamat kerja apa?
Mamat : PEMBUAT BATU NESAAAAN... cikgu !
Cikgu: Errr... patutlah ! Emmm...Hadiah ni elok Mamat hadiahkan kepada Guru Besar ye....hihihihi !

PENCERAHAN :
Guru, Cikgu, Sifu, Teacher, Ustaz, Ustazah, Tok Guru adalah pekerjaan yang sama. Pengertian GURU bagi Orang Jawa ialah "Omonganne digugu, kelakoanne kenek ditiru." Hasil gabungan dua suku kata iaitu `Gu' dan `Ru'. Perkataan gugu bermakna boleh dipercayai manakala Ru diambil daripada perkataan tiru yang bermaksud boleh diteladani atau dicontohi. Oleh itu, guru bermaksud seorang yang boleh didengar ucapannya, nasihatnya dan boleh ditiru perbuatannya, tingkah lakunya dan penampilannya.

Guru juga sebagai mu’alim, mu’addib, murabbi, mursyid dan mudarris yang sentiasa komited dengan kerjayanya iaitu menumpukan perhatian dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas melaksanakan tugas. Bukan seperti senario di atas. Antara peran an guru ialah sebagai ;

1) Mu’alim bermaksud pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Seorang mu’allim lebih menumpukan kepada ilmu akal dan nilai-nilai murni.
2) Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental murid.
3) Mudarris adalah pengajar yang berperanan memperkembangkan kemahiran dalaman dan luaran murid. Guru boleh membantu murid-murid untuk hal-hal yang tidak mereka ketahui dan fahami.
4) Mu’addib (Ta’dib) berasal dari perkataan adab iaitu memupuk adab, akhlak, nilai atau proses pembentukan disiplin dan sikap murid bagi membentuk sahsiah. Peranan mu’addib menyiapkan mu’addab, kerana guru bukan sahaja perlu mengajar adab tetapi mesti beradab.
5) Mursyid bermaksud seseorang yang memberi tunjuk ajar dalam bidang kerohanian. Bertanggungjawab membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah SWT dengan ikhlas. Firman Allah ;

وَيَا قَوْمِ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مَالًا إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهَِ
"Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata..." (QS Hud : 29)

KESIMPULAN :
Seorang guru kena sampaikan ilmunya dengan bersungguh-sungguh. Bukan seperti melepaskan “batok” di tangga (tempurung diguna sebagai penceduk air dari tempayan tepi tangga rumah dahulu kala. Bukan batuk ditangga - lihat Kamus Dewan terbitan DBP)

Ada pula sebilangan yang sangat kecil, guru menjadi pemusnah. Harapkan "Pegar", Pegar makan padi (menurut Kamus Dewan, Pegar ialah sejenis burung yang dieja dalam tulisan jawi menggunakan huruf pa, ga dan ro – bunyi “Peger” dalam loghat jawa) Maksud sebenarnya burung Pegar ini diharapkan akan memakan ulat serta kumbang yang memusnahkan pokok padi. Bukan pagar seperti yang difahami selama ini. Wallahu a'lam - Jangan jadi Mahaguru Teropong sudah ! Ukay's

No comments: