السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Selasa, 20 Rejab 1435H)
One For All, All For One !
Kemunculan pelbagai GO (Government Organisation) Islam seperti IKIM, PERKIM, YADIM, JAKIM, Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri dan seumpamanya dan NGO Islam (Non Government Organisation) seperti ABIM, PUM, ISMA, IKRAM termasuklah pertubuhan, persatuan atau parti yang berteraskan Islam adalah sesuatu perkembangan yang perlu diraikan.
Ini adalah kerana setiap jamaah tersebut pastinya bernawaitukan gerak kerja Dakwah Islamiah. 'Islam For All' Islam untuk semua, bukan hak eksklusif sesuatu jamaah sahaja. Oleh itu, berbilang-bilang jamaah untuk matlamat yang satu iaitu untuk meninggikan syiar Islam adalah sangat digalakkan. Masing-masing mempunyai sasaran dan kelompok mad'u yang berbeza tapi matlamat yang harus sama, insya Allah !
PENCERAHAN :
Terdapat dua pandangan tentang hukum berbilang jamaah ;
1. Tidak boleh berbilang jamaah di dalam Islam kerana ia memecah-belahkan persatuan umat Islam. Kerana istilah “Jamaah” itu sendiri bererti persatuan yang berlawanan kepada perpecahan. Sebagaimana firman Allah SWT ;
"Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi bergolongan-golongan, tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka."
(QS. al-An’am :159)
2. Boleh berbilang jamaah merujuk kepada tindakan Rasulullah SAW yang menghantar para sahabat dalam jamaah-jamaah yang berasingan, setiap satu dengan misi tertentu seperti dakwah, risikan, peperangan dan sebagainya. Perkara ini boleh dirujuk dalam kitab-kitab sirah yang muktabar.
Sekalipun berbilang jamaah, terdapat beberapa etika yang perlu diperhatikan oleh setiap ahli jamaah agar masing-masing tetap berada di sempadan yang 'dibolehkan' tadi;
1) Tidak Memiliki Dasar Agama Yang Tersendiri.
Terdapat beberapa jamaah yang masing-masing memiliki keazaman yang tersendiri. Contoh, Jamaah pertama memiliki azam “Menegakkan negara Islam”, jamaah kedua memil iki azam “Mendirikan khalifah”, jamaah ketiga memiliki azam “Keluar empat puluh hari”, jamaah keempat hanya memiliki azam “Tidak mentakwil sifat-sifat Allah”, jamaah kelima hanya memiliki azam “Zikir berlagu” dan pelbagai lagi tetapi mudah-mudahan tetap mempunyai dasar yang sama iaitu mengajak khalayak untuk kembali kepada Allah, mengajak perkara yang makruf dan meninggalkan kemungkaran.
Biar berbeza manhaj, uslub atau metodologi sahaja dan bukan dasar agamanya. Contohnya ada jamaah yang mempunyai kekuatan untuk berdakwah dari rumah-kerumah untuk mengajak datang ke masjid yang bukan semua jamaah mampu melaksanakannya. Begitu juga ada jamaah yang sanggup turun ke lapangan jihad pilihanraya yang bukan semua jamaah juga berani melakukannya.
2) Tidak Berbangga-Bangga Dengan Jamaah Sendiri.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَلاَ تَكُونُوا مِنْ الْمُشْرِكِينَ (31) مِنْ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (32).
"Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka." (QS. al-Rum :31-32)
Setiap jamaah tidak boleh berbangga-bangga dengan menganggap jamaah mereka sebagai yang terbaik, terbetul dan yang perlu diikuti. Ini dilarang kerana sikap sedemikian akan melahirkan persaingan yang negatif antara jamaah seperti saling berburuk sangka, saling memfitnah dan saling bermusuhan yang merugikan umat Islam itu sendiri.
Alangkah cantiknya, yang bergiat aktif berjamaah dalam bidang politik contohnya, turut mengimarahkan masjid dan majlis ilmu dan yang berjemaah dari rumah-kerumah turut turun memenangkan Islam sewaktu pilihanraya. Alangkah cantiknya kita sama-sama duduk dalam bayan, ta'lim - ta'lum selepas itu sama-sama turun bergandingan tangan kempen memenangkan jamaah Islam pula.
3) Hanya Berpegang Kepada Tali Allah.
Allah memerintahkan kita untuk hanya berpegang kepada 'Tali-Nya,' iaitu me njadikan Allah sebagai satu-satunya sumber ketaatan, arah tujuan, tempat pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan, dasar pembelaan dan sebab kemarahan. Tidak boleh menjadikan jamaah sebagai sumber seperti sedemikian iaitu ;
1. Pemimpin jamaah (Amir) tidak boleh mengeluarkan syarat yang bertentangan dengan perintah dan larangan Allah. Seorang Amir tidak boleh melarang ahlinya daripada menyertai aktiviti agama yang tidak termasuk dalam senarai aktiviti jamaahnya. (Contoh melarang join jamaah tertentu untuk keluar berdakwah 3 hari, 40 hari dan sebagainya atau melarang jamaah untuk turun mengundi jamaah yang memperjuangkan Islam dalam sesuatu pilihanraya)
2. Perasaan gembira dan sedih, suka dan marah, redha dan benci, Wala’ (kesetiaan) dan Bara’ (tidak setia) tidak boleh dibataskan kepada hal-ehwal jamaah. Sebaliknya hendaklah didasari kepada hal-ehwal agama dan umat Islam. Sebagai contoh;
a. Hendaklah merasa marah seandainya umat Islam diperangi, bukan marah kepada ahli jamaah yang tidak aktif (futur) atau yang ingin keluar jamaahnya (bughat dan mutasakitun).
b. Hendaklah merasa gembira seandainya jamaah lain dapat menjemput masuk orang masuk ke jamaah mereka, bukan rasa marah jika tidak masuk ke dalam jamaahnya.
c. Hendaklah setia (Wala’) kepada seluruh umat Islam, dengan membela mereka, mengunggulkan mereka, mencintai mereka dan membantu mereka untuk menjadi umat Islam yang baik bukan pada jamaahnya semata-mata.
3. Memahami bahawa jamaah itu sebagai WADAH dakwah sahaja dan bukan MATLAMAT utama. Sebab itu di negara Islam yang lain, lain pula nama jamaahnya.
4) Tidak Menipu Untuk Jamaah.
Sebahagian jamaah ada yang memesongkan hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyentuh perihal jamaah. Antara hadis yang dimaksudkan ialah:
"Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jamaah dan sesungguhnya syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jamaah."
Hadis di atas dan lain-lain yang semakna lazim digunakan untuk menarik ahli-ahli baru, memaksa ahli-ahli tersebut agar tetap setia dalam jamaah dan mendakwa jamaahn ya sahajalah yang benar. Sedangkan al-jamaah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah keseluruhan umat Islam.
5) Membetulkan Tujuan Berjamaah.
Perkara ini perlu sering diingat-ingatkan kerana sering kali terjadi tujuan berjamaah berpindah arah dari kebaikan agama dan umat kepada kebaikan jamaah dan ahli sendiri. Syeikh Muhammad Sa‘id Ramadhan al-Buti pernah mengulas ;
"Sesungguhnya dakwah yang difahami dan diterapkan oleh majoriti kelompok (jamaah) Islam sekarang ini tidak lebih dari aktiviti sekitar anggota kelompok (jamaah) masing-masing. Sehingga dengan demikian itu mereka sudah merasa senang dan puas hati, dimana dengan aktiviti gerakan itu mereka sudah merasa sebagai seorang da'i."
إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ .
"Aku tidak memiliki apa-apa tujuan melainkan melakukan pembaikan (untuk agama dan manusia) sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali." (QS. Hud :88)
KESIMPULAN :
Sama ada menyertai jamaah atau tidak, berusaha demi kebaikan agama dan manusia adalah sesuatu yang dituntut ke atas kita sepanjang hidup. Oleh itu jangan sekadar bergiat aktif dalam jamaah tetapi tidak campur dengan masyarakat setempat kerana menganggap banyak kerosakan dikalangan mereka. Justeru, merekalah mad'u utama dakwah kita yang seharusnya kita bimbing dan bukan ditinggalkan.
Wallahu a'lam - Jamaah Jemaah Jamek (masjid). Ukay's
No comments:
Post a Comment