Thursday, May 1, 2014

Amankah Kita Dengan Amanah?....2/5/14

.. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat, 2 Rejab 1435H)
Amankah Kita Dengan Amanah?
Amanah adalah segala sesuatu penanggungjawaban dari Allah kepada manusia untuk dilaksanakan yang mencakupi di dalamnya konsep Khilafah ilahiyah (khalifah Allah, ibad Allah) dan Khilafah takwiniah (al-taklif al-syar’iah). Oleh kerana manusia Allah SWT telah kurniakan akal, maka manusia adalah makhluk yang memikul beban (mukallaf). Pembebanan (taklif) meliputi hak dan kewajiban. Kedua-dua beban tadi manusia harus laksanakannya sebaik mungkin sebagai satu amanah.
PENCERAHAN :
Sabda Rasullullah s.a.w. :
ألا لا إيمان لمن لا أمانة له
"Ketahuilah! Tidak beriman bagi sesiapa yang tiada amanah." (HR : Imam Ahmad)
Berdasarkan hadis di atas, amanah adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Perintah di sini wajib sebagaimana perintah-perintah yang lain seperti wajibnya solat, puasa dan sebagainya. Amanah adalah cabang keimanan, seseorang yang beriman mempunyai sifat amanah dan jika sebaliknya pula menandakan kekurangan imannya.
Menurut Ibn Al-Araby pula, amanah adalah segala sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya atau sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya untuk diambil manfaatnya. Contohnya kalau mengubah tulisan orang lain dan kemudian mendakwa sebagai tulisannya sendiri, macam mana tu ye? Kreatif atau Plagiat?
Plagiarisme ditakrifkan sebagai satu penciplakkan atau pencurian hak intelek. Seperti pengambilan karangan, pendapat, dan sebagainya dari orang lain kemudian memadamkan nama penulis asal lalu menjadikannya seolah-olah karangan dan pendapat sendiri. Untuk apa? Pujian? Puaskah hatinya dipuji di atas sesuatu yang bukan diusahakannya sendiri? Pelik manusia ni...
Syeikh Ahmad Mustafa Al-Maraghi membahagikan amanah kepada tiga bahagian, iaitu;
1. Amanah manusia terhadap Tuhannya. Iaitu semua ketentuan Allah yang harus dipelihara berupa melaksanakan semua perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka apabila seseorang itu melakukan mak siat seperti mencuri hak intelek seseorang (plagiat) perbuatannya itu dianggap sebagai satu khianat.
2. Amanah manusia kepada orang lain. Di antaranya ialah mengembalikan hak kepada yang berhak, tidak menipu dan berlaku curang, menyimpan rahsia, tidak menipu dan seumpamanya. Share dan copy paste bahan dakwah sangat digalakkan malah itulah yang sepatutnya dilakukan. Tapi kalau copy kemudian edit sebelum paste, bagi Ust Kay rasanya kurang manis atau satu perbuatan yang kurang amanah.
3. Amanah manusia terhadap dirinya sendiri. Iaitu berbuat sesuatu yang terbaik dan bermanfaat bagi dirinya baik dalam urusan agama mahupun urusan dunia. Serta tidak melakukan sesuatu yang menjadikannya susah nak jawab di akhirat nanti. Disini bolehlah kita menipu, disana...?
Kalimah 'Amanah' ini sebenarnya adalah suatu yang besar dalam Islam. Kerana amanah adalah akhlak dari para Nabi dan Rasul. Mereka adalah orang yang paling baik dalam menjaga amanah. Sehingga Rasulullah s.a.w sendiri dikenali sebagai orang yang paling terpercaya, dan digelar Al-Amin sebelum kerasulan baginda lagi. Sebab itu baginda pernah bersabda;
آية المنافق ثلاث : إذا حدّث كذب وإذا وعد أخلف وإذا اؤتمن خان – متفق عليه
"Ada tiga tanda munafiq : Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat." (HR : Muttafaqun Alaih)
KESIMPULAN :
Sabda Rasullullah s.a.w. ;
أربع إذا كنَّ فيك فلا عليك ما فاتك من الدنيا : حفظ الأمانة وصدق حديث وحسن خليقة وعفة في طعمة – الشيخان
"Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: Jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)."
(HR : As-Shaihan) Wallahu a'lam - Sekurang-kurangnya jujurlah pada diri sendiri...

No comments: