Showing posts with label Ust Kay. Show all posts
Showing posts with label Ust Kay. Show all posts

Thursday, August 7, 2014

JANGAN KHIANATI AMANAH RAKYAT !

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat,12 Syawal 1435H)
JANGAN KHIANATI AMANAH RAKYAT !

Sifat amanah mempunyai hubungan erat dengan iman seseorang. Orang beriman pasti memiliki sifat amanah. Orang yang khianat bererti tidak ada iman dalam dirinya, meskipun lidahnya menyatakan beriman. Allah berfirman;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَخُونُواْ اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُواْ أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad SAW) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (QS al-Anfal : 27)

PENCERAHAN :
Sikap khianat amat berbahaya bila berkembang dalam kehidupan suatu masyarakat. Sikap ini merugikan orang yang dikhianati dan pelakunya. Apabila sikap khianat melekat pada diri seseorang, bererti saat itu ia tidak amanah. Nabi SAW bersabda, ”Tidak mungkin berkumpul iman dan kafir dalam hati seseorang dan tidak mungkin pula berkumpul sifat jujur dan dusta padanya sekaligus, sebagaimana tidak mungkin berkumpul sifat khianat dan amanah padanya secara bersamaan.” (HR : Ahmad)

Khianat adalah suatu perbuatan yang berniat serong ke arah matlamat menganiaya seseorang yang lain sama ada secara fizikal (penderaan jasad), mental (penderaan jiwa) atau spiritual (penderaan ruhani). Peribahasa Melayu yang menggambarkan sifat-sifat pengkhianatan ini amat jelas pada ungkapan-ungkapan seperti berikut ;
1. Duri dalam daging
2. Api dalam sekam
3. Gunting dalam lipatan
4. Musuh dalam selimut
5. Harapkan Pegar (sejenis burung), Pegar makan padi

Perbuatan 'Khianat' ini jelas berbeza dengan 'Perang' kerana khianat dilakukan secara sembunyi manakala perang dilakukan secara terbuka. Maka ia berupaya merosakkan agama dan masyarakat dengan lebih serius iaitu melakukan kerosakan dari dalam secara senyap. Seperti sel-sel kanser yang memusnahkan sel-sel normal secara senyap lalu sedar-sedar penyakit menjadi barah dan tidak dapa t untuk disembuhkan lagi.

Dalam Peperangan Salib yang menjarah bumi umat Islam, para pengkhianat dalaman ini diupah atau dirasuah untuk mencetuskan rampasan kuasa terhadap sistem Khilafiah Islam dan membuat kacau bilau dalam sesuatu negeri. Lalu berlakulah peperangan saudara dan kemusnahan dalaman pada sesebuah negeri atau negara Islam yang hendak dijajah.
Dalam Peperangan Moden, para pengkhianat dalaman ini digelar sebagai 'Saboteur' yang menjalankan misi-misi sabotaj supaya kekuatan dalaman sesuatu pasukan menjadi lemah atau musnah. Dirosakkan dari dalam.

Dalam kehidupan bermasyarakat sesuatu bangsa pula, para pengkhianat dalaman ini digelar sebagai 'Pengkhianat Negara' seperti belot kepada musuh yang melancarkan peperangan, palsukan Mykad, Ali Babakan lesen perniagaan, perjudikan keselamatan negara, tekan rakyat dengan cukai yang baru dan sebagainya lagi. Rakyat rasa dikhianati...

Dalam Agama Islam, para pengkhianat dalaman ini digelar sebagai 'Orang Munafik' yang memusuhi Allah Ta'ala, Rasul-Nya, Agama-Nya, Undang-undang-Nya, Peraturan dan hukum-Hakam-Nya. Mereka berusaha menafikan terlaksananya semua ini dengan hujah yang muluk-muluk bersalutkan agama.

Nabi SAW Bersabda; “Setiap pengkhianat memiliki bendera pada bahagian belakangnya pada hari kiamat nanti, yang akan ditinggikan (bendera tersebut) sesuai dengan kadar pengkhianatannya yang dilakukan. Ingatlah, tiada pengkhianatan yang melebihi pengkhianatan oleh para pemimpin masyarakat.” (HR : Muslim)

KESIMPULAN :
Dari hadis diatas dapat dimengerti bahawa pengkhianatan terbesar adalah pengkhianatan yang dilakukan oleh seorang pemimpin, terutama pemimpin masyarakat. Kerana jika pemimpan rosak maka rosaklah negeri @ negara dan rakyatnya. So ! Berhati-hatilah wahai pemimpin, jangan khianati rakyat yang mengundi kamu...Wallahu a'lam - Pemimpin khianat, rakyat tunggu di akhirat ! Ukay's

Friday, July 4, 2014

RAMADHAN BULAN PERSAUDARAAN & ERATKAN SILATURRAHIM... 5/7/14

. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Sabtu, 7 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN PERSAUDARAAN & ERATKAN SILATURRAHIM - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Bulan Ramadhan mendidik diri untuk rasa lebih simpati, empati dan menginsafi nasib saudara seislam yang lain, lantas mengukuhkan lagi perasaan kasih sayang, silaturrahim dan persaudaraan sesama Islam. Kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam ini dapat digambarkan melalui penghayatan perlaksanaan ibadat sepanjang bulan Ramadhan ini.

PENCERAHAN :
Di antara kesan yang akan dapat di peroleh bagi mukmin yang benar-benar menghayati erti Ramadhan ialah:-

1. Menimbulkan perasaan belas kasihan dan kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim dan orang yang kurang upaya.
2. Menimbulkan kekuatan untuk menghadapi penderitaan dan kepayahan hidup seharian.
3. Menerbitkan kesedaran, keinsafan, keadilan dan timbang rasa dalam kehidupan seharian.
4. Merapatkan lagi jalinan silaturrahim di antara kaum kerabat melalui amal ibadat dilakukan bersama
5. Mewujudkan semangat persaudaraan Islam dan membentuk perpaduan serta kekuatan ummah.

Syeikh Ibn Qayyim al-Jauzi pernah menegaskan bahawa ibadah puasa dapat mengingatkan orang kaya akan penderitaan dan kelaparan yang melanda orang miskin. Syeikh Muhammad Abduh pula ketika mentafsirkan ayat mengenai kewajipan berpuasa dalam Tafsir al-Manar menyatakan bahawa dari sudut kemasyarakatan, puasa itu melahirkan persamaan antara orang kaya dan orang miskin, antara raja, penguasa, ketua negara dengan rakyat jelata. Ini kerana mereka sama-sama berada dalam kedudukan yang serupa iaitu melaksanakan kewajiban berpuasa, sama-sama letih, sama-sama lapar dan sama-sama dahaga.

Dr Wahbah al-Zuhaily dalam bukunya 'Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh,' menyatakan bahawa puasa dapat menumbuhkan naluri kasih sayang, ukhuwah, dan perasaan keterikatan dalam tolong-menolong yang dapat menjalin rasa persaudaraan sesama umat Islam dan mengeratkan lagi silaturrahim dalam hubungan kekeluargaan.

Allah SWT paling benci kepada mereka yang memutuskan persaudaraan dan silaturrahim. Abul Laits berkata: "Ketahuilah bahawa silaturrahim itu mengandungi sepuluh keuntungan," iaitu:

1) Mendapat keredhaan Allah SWT sebab Allah menyuruh kita untuk bersilaturrahim
2) Menggembirakan orang mukmin kerana ada hadis yang mengatakan bahawa amalan yang paling utama ialah menyenangkan orang mukmin
3) Kegembiraan malaikat kerana malaikat suka dengan orang yang bersilaturrahim
4) Mendapat pujian kaum muslimin
5) Menjengkelkan Iblis laknatullah
6) Memanjangkan umur
7) Menambahkan berkat rezekinya
8) Menyenangkan orang-orang yang telah meninggal dunia kerana arwah senang jika warisnya bersilaturrahim
9) Memupuk rasa cinta di kalangan keluarga sehingga suka membantu bila memerlukan bantuan mereka
10) Bertambahnya pahala jika ia meninggal dunia sebab selalu diingati kerana kebaikannya bersilaturrahim

Menjadi kewajiban setiap muslim untuk berlaku baik dan mengambil berat kepada semua sesama Islam seperti satu keluarga yang besar. Menghubungkan silaturrahim pula bermaksud hubungan keluarga yang ada keretakan. Hubungkanlah silaturrahim dengan mereka & lupakan kebencian dan padamkan api dendam & berlaku baik dan tunjukkan kasih sayang kepada mereka lebih-lebih lagi bulan Ramadhan yang mulia ini. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran;

" Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik apabila engkau berlaku yang demikian maka orang yang merasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib." (QS Fussilat : 34)

Kita hendaklah saling memaafkan dan melupakan di atas sebarang kesilapan, persengketaan atau perselisihan yang lalu. Apatah lagi perkara-perkara yang boleh memutuskan hubungan kasih sayang, persaudaraan antara sesama muslim dan meretakkan silaturrah im dalam hubungan kekeluargaan pada sebelum Ramadhan yang lalu. Inilah masanya untuk kita bina semula hubungan dan ukhuwah yang baru dan lebih kukuh melalui perlaksanaan ibadat bersama. Antaranya ialah;

1) Sahur dan berbuka puasa beramai-ramai.
Api permusuhan itu dapat dilenyapkan apabila kita mula makan bersama. Duduk bersama, bersembang dan meluahkan apa-apa permasalahan secara syura iaitu perbincangan secara sihat. Maka manfaatkanlah saat-saat waktu sahur atau waktu berbuka puasa dengan menjamu bersama-sama. Nabi dan para sahabat sentiasa makan bersama-sama dalam setiap majlis. Ini sebagai tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan silaturrahim di antara mereka.

2) Solat Fardhu dan Solat Sunat Terawih berjamaah.
Sepanjang bulan Ramadhan ini kita merasa ringan untuk pergi ke masjid atau surau untuk satu tujuan yang sama iaitu beribadat kepada Allah. Ada yang datang dari pelbagai tempat, dengan pelbagai cara dan pelbagai 'warna' baju. Ada yang suka memakai baju warna 'hijau', ada yang baru tukar suka memakai baju warna 'biru muda', ada yang dari dulu, kini dan selamanya suka memakai baju warna 'biru pekat' ataupun ada yang memakai baju warna 'merah' sekalipun, bila berada di dalam masjid atau surau boleh berada pada saff yang sama dan menghadap kiblat yang sama. Selesai solat berselawat dan bersalaman bersama-sama, Alhamdulillah... mudah-mudahan dapat diteruskan selepas solat dan selepas Ramadhan berlalu.

3) Tadarus Al-Quran bersama-sama.
Di bulan Ramadhan ini juga peluang kita untuk membina ukhuwah adalah dengan cara bertadarus al-quran.
Dengan membaca bersama-sama, hati kita akan diikat dengan ayat suci al-Quran. Sejahat mana pun manusia, jika hatinya mula tersentuh dengan ayat-ayat al-quran, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya dari berubah dan bertaubat. Insya Allah...

Itulah mukjizat al-quran. Jika ia dibaca dengan penuh keyakinan, maka dia mampu memagari hatinya dari sebarang permusuhan dan perkara-perkara negatif. Ada ahli jemaah yang bertadarus suka pada tahlilan, ada pula yang tida k suka, ada yang suka keluar 3 hari, 40 hari atau 4 bulan dan ada yang tak gemar berdakwah dengan cara itu dan pelbagai aliran lagi dapat duduk bersama sewaktu bertadarus Al-Quran. Jadikan al-quran sebagai pengikat hati yang bertelingkah. Sesungguhnya Al-Quran itu sangat berguna buat orang-orang beriman.

Banyak lagi sebenarnya penyelesaian hubungan persaudaraan, perpaduan dan silaurrahim yang boleh kita ambil dari bulan Ramadhan ini. Diharapkan ia dapat membuka kembali pintu ukhuwah di kalangan kita, dan melindungi kita dari terjebak kembali dari api permusuhan dan kebenciaan.

Ayuh kita jadikan bulan Ramadhan ini benar-benar bulan rahmat buat kita. Binalah ukhuwah dalam bulan Ramadhan dan istiqamahkanlah ia selepasnya. Bermaafanlah kerana Allah, kerana Allah suka kepada hamba-Nya yang saling bermaafan. Amalkan bersahur dan berbuka puasa secara bersama-sama kerana padanya hikmah yang sangat besar. Berpimpinan tanganlah untuk ke masjid atau surau bersama-sama untuk tunaikan solat fardhu dan Solat Sunat Terawih berjemaah. Ambillah manfaat dari majlis tadarus al-quran secara berjemaah. Kerana ia mampu mengikat hati kita dari sebarang permusuhan.

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Salah satu mustajabnya doa adalah doa orang yang berpuasa sehingga ia berbuka. Maka berdoalah kita bersama-sama “ Ya Allah, Engkau hapuskanlah permusuhan di antara kami dan juga umat Islam. Engkau tanamkanlah kasih-sayang di antara kami. Engkau redhailah hubungan kami sesama muslim. Dan janganlah Engkau murkai terhadap kami, kerana kami tidak sanggup menangung azab seksaaan api neraka-Mu” Aamiin Ya Rabb. Wallahu a'lam - Hijau + Biru muda + Biru pekat + Merah = Putih juga akhirnya (kain kapan). Ukay's.

Wednesday, July 2, 2014

Ramadhan penuh hikmah... 3/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Rabu, 4 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN PENUH HIKMAH - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Setiap sesuatu perintah atau larangan Allah SWT pasti ada hikmah di sebaliknya. Kerana Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Tujuan utama dari puasa adalah untuk membentuk manusia yang bertaqwa. Selain itu, puasa juga memiliki beberapa hikmah yang sangat mendalam. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT, baik dalam Al-Qur'an mahu pun Hadis-hadis dari baginda Rasulullah SAW.

PENCERAHAN :
Antara hikmah-hikmah tersebut ialah;
1. Dapat meningkatkan darjat orang mukmin menjadi orang yang bertaqwa. Inilah hikmah terbesar Allah mewajibkan orang yang beriman untuk berpuasa. Bukan sekadar menjadi orang muslim, tetapi muslim yang mukmin dan mukmin yang muttaqin. Ini adalah kerana orang yang bertaqwa itu adalah orang yang paling mulia di sisi Allah SWT, sesuai dengan firman-Nya ;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (QS Al-Hujraat : 13)

2. Menyihatkan badan. Maka, hikmah yang terkandung dalam puasa, bukan hanya berguna untuk menyihatkan jiwa manusia, bahkan dapat juga menyihatkan tubuh badan. Puasa dari aspek kesihatan memang tidak dapat dinafikan oleh doktor-doktor perubatan. Ini adalah kerana dapat memberi kerehatan kepada jentera penghadam m akanan dan organ-organ yang berkaitan setelah 11 bulan sebelumnya dikerah bertugas siang dan malamnya.

3. Mendidik orang yang beriman untuk memiliki sifat sabar. Jika puasa tersebut dilakukan dengan sebaik-baiknya maka akan timbul dalam diri seseorang sifat sabar, kerana dalam berpuasa seseorang akan dilatih untuk mampu menahan diri dari perbuatan-perbuatan yang dapat membatalkan puasa, misalnya makan dan minum sepanjang waktu siang hari. Walaupun makanan dan minuman yang dimiliki halal, namun ia memaksa diri untuk bersabar untuk memakan dan meminumnya kerana belum waktunya sehingga sampai waktu berbuka puasa.

4. Puasa merupakan pelindung diri dari perbuatan keji dan mungkar atau tidak senonoh. Sebagaimana sabda Nabi SAW: "Puasa itu perisai (pelindung diri) yang membentengi dari sentuhan api neraka."
(HR : Ahmad, Muslim dan Al-Baihaqi)

Ini adalah kerana kita akan merasa sayang pada pahala puasa. Penat sahaja berpuasa 13 -14 jam bila turut melakukan maksiat atau kemungkaran maka sia-sialah puasanya nanti. Sebab itu Rasulullah SAW mengajar kepada kita sekiranya ada orang yang mengajak kita untuk bergaduh atau mengumpat maka katakan kepada mereka ; "Wallahi inni soimun ! (Demi Allah sesungguhnya aku sedang berpuasa." Oleh itu sepatutnya tidak perlu ada senario orang berpuasa tapi tidak solat. Sebab meninggalkan solat itu juga perbuatan mungkar.

5. Menanamkan rasa cinta kasih kepada orang fakir dan miskin kerana dapat merasakan penderitaan orang-orang yang kekurangan makanan atau terputus bekalan makanan kerana ketiadaan wang yang mencukupi. Setelah kita seharian merasakan menahan rasa lapar tentunya akan menumbuhkan rasa simpati dan empati, kasih-sayang dan belas kasihan kepada orang-orang fakir dan miskin itu tadi.

Oleh itu, ada ulama' yang menyatakan orang berpuasa perlu berasa lapar dan dahaga. Jangan terlalu banyak makan sehingga tidak merasakan lapar sepanjang hari. Atau mengambil makanan suppliment tertentu yang didakwa tidak akan merasa lapar sepanjang berpuasa, maka hilanglah hikmah utama berpuasa iait u untuk rasa lapar sebenarnya. Kecuali orang tua yang ada sakit atau kanak-kanak yang baru belajar berpuasa.

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Ada banyak lagi hikmah atau rahsia berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Seperti mana disebut oleh Dr. Yusuf Qardhawi dalam kitabnya 'Al-Ibadah Fil Islam' telah mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadat ini. Cuma, jangan jadikan hikmah sebagai matlamat dan tujuan utama kita berpuasa seperti juga ibadat-ibadat lain seperti zakat, solat dan sebagainya. Lakukan ibadat tersebut sebaik mungkin dan hikmah tersebut akan datang dengan sendiri. Wallahu a'lam - puaskan puasa puas-puas. Ukay's

RAMADHAN BULAN TERBUKA...2/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Rabu, 4 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN TERBUKA PELUANG - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Baginda Nabi SAW pernah mengaminkan doa Jibril a.s “Barangsiapa yang bertemu Ramadhan tetapi dia tidak diampunkan dosanya, maka setelah dia mati dia akan masuk neraka lalu jauhlah dia dari rahmat Allah”
(HR : Ibnu Hibban, At-Thobrani, Al-Baihaqi dan Al-Hakim)

PENCERAHAN :
Nabi SAW juga pernah bersabda : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunlah segala dosanya yang telah lalu, dan sesiapa yang menghidupkan Lailatulqadar dalam keimanan dan keikhlasan akan diampunlah dosanya yang telah lalu”
(HR : Bukhari dan Muslim)

Justeru, rebutlah peluang keemasan ini, carilah pengampunan di dalam bulan yang sepatutnya Hamba Allah mendapat pengampunan dan maghfirah dari Tuhan yang maha Pengampun ini. Jangan hanya nampak peluang perniagaan dan keuntungan yang segera dan lumayan sahaja bila berada di bulan Ramadhan.

Sangat luar biasa bebalnya nafsu kita andainya Ramadhan ini masih tidak mampu menebuskan diri kita dari Neraka, dan dosa-dosa kita tidak terampun sedangkan janji Allah dan Rasulnya itu bahawa Tuhan sangat pemurah dengan pengampunan, apatah lagi di saat-saat bulan Ramadhan.

Janji baginda Nabi SAW; “Ramadhan sehingga Ramadhan, Jumaat ke Jumaat, dan solat ke solat menjadi kifarah dosa di antaranya selama mana menjauhi dosa-dosa besar” (HR : Muslim)

Sebab itulah Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadhan ini untuk menjadi hamba-Nya yang muttaqin dengan merebut peluang luasnya pintu pengampunan Allah pada bulan ini. Firman Allah SWT:

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

“Bersegeralah kalian mencari maghfirah (pen gampunan) dari Tuhan mu dan Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan maghfirah dan syurga itu untuk golongan muttaqin (orang-orang yang bertakwa)”
(QS Ali Imran :133)

Ayuh ! Ramadhan baru bermula. Walaupun sesaat berlalu ia tetap saat yang paling bernilai dan paling berkat yang tiada taranya. Puasa dan doa di dalamnya tidak sama seperti selain Ramadhan. Maka manfaatkanlah setiap saat Ramadhan sehinggalah peluang saat terakhir. Moga jangan terjadi dari golongan yang rugi...

Syeikh Abdul Aziz bin Muhammad As-Sarkhan berkata di dalam kitabnya 'Mukhalafat Ramadhan' – Kesilapan dalam Ramadhan, menerangkan tentang cara manusia meraikan Ramadhan. Kita telah mengetahui tiga golongan manusia cara sambut Ramadhan iaitu;
1. Orang yang tak kisah
2. Orang yang cemas, resah dan khuatir kena berpuasa
3. Orang yang ternanti-nanti dan berdoa menjumpai Ramadhan.

Tetapi, ini pula adalah lima jenis manusia cara meraikan Ramadhan;

1) Orang yang soleh. Setelah menunggu-nunggu dan bertemu dengan Ramadhan. Mereka sambut dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan terus mengambil faedah daripadanya semaksima mungkin tanpa melepaskan peluang beramal padanya walau sesaat. Keluar Ramadhan dia menjadi insan yang lebih hebat takwanya dari sebelumnya. Ini adalah sebaik-baik golongan.

2) Orang yang kedatangan Ramadhan dan pemergiannya sama sahaja, tidak teransang langsung mahu menambah amal sebaik dan sebanyak mungkin. Inilah golongan yang rugi, kerana berada dalam peluang tetapi tidak mengambil peluang.

3) Orang yang cuma kenal Allah pada bulan Ramadhan sahaja. Apabila selesai Ramadhan dia kembali kepada tabiat jahatnya semula. Imam Ahmad dan Fudhail mengatakan : "Seburuk-buruk manusia mereka hanya kenal Allah cuma ketika Ramadhan sahaja.". Ingat! Kita adalah hamba Allah, bukan hamba Ramadhan...

4) Orang yang hanya puasa perut sahaja. Lain anggotanya tidak turut taat kepada Allah. Nabi SAW sebut bahawa ini golongan yang tidak dinilai sikit pun oleh Allah dan Allah tidak berhajat pada puasanya untuk dia meninggalkan makan minumnya sekiranya dia masih tidak meninggalkan perbuatan buruknya.

5) Orang yang di dalam bulan Ramadhan pun tidak kenal dan taat kepada Allah, apatah lagi jika di luar Ramadhan. Ini adalah sejahat-jahat jenis manusia, paling bahaya dan sangat terancam. Moga Allah lindungkan kita dari jenis manusia seperti ini.

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Pesanan dari Imam Al-Ghazali rmh.anhu : “Hiduplah apa kehidupan yang kamu mahu, sesungguhnya engkau tetap akan mati jua. Cintailah sesiapa pun yang kamu mahu cintai, sesungguhnya engkau tetap berpisah dengannya juga. Buatlah apa kerja yang kamu mahu buat, sesungguhnya kamu tetap akan dibalas juga.” Moga Ramadhan Ini menjadikan kita manusia yang lebih berani menghadapi kematian. Aamiin Ya Rabb !
Wallahu a'lam - Peluang tidak selalu datang bergolek! Ukay's.

Thursday, June 19, 2014

Halal haram & halam....20/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat 22 S'ban 1435H)
Halal, Haram & Halam

Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud 'dibenarkan' atau 'dibolehkan' oleh hukum syarak. Di Malaysia isu makanan halal dan haram menjadi agenda yang begitu hangat diperkatakan sekarang ini... Alhamdulillah. Isu ini bukan hanya memberi kesan kepada masyarakat beragama Islam sahaja, malahan turut mendapat perhatian daripada penganut-penganut agama lain kerana pengusaha makanan di Malaysia terdiri dari pelbagai kaum dan etnik.

PENCERAHAN :
Sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal, iaitu bebas daripada sumber najis dan haram bermula dari proses penyediaan bahan mentah, proses pembuatan, penyimpanan, masakan, pengilangan, pembungkusan dan pengangkutan. Masyarakat Islam di negara ini seringkali digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya. Biasanya dikaitkan dengan babilah... kesian babi !

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya." (QS Al-Baqarah : 172)

Kehalalan makanan mengikut syariat mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim. Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya. Keperibadian seseorang muslim itu ternyata ada kaitan rapat kepada apa yang masuk ke dalam perutnya.

Tapi harus juga diingat halal haram bukan sekadar pada makan - minum sahaja tapi perlu juga dilihat pada semua aspek kehidupan manusia, antaranya ialah;
1. Halal haram pada pekerjaan yang dibuat
2. Halal haram pada pakaian yang dipakai
3. Halal haram pada hiburan yang dipilih
4. Halal haram pada insurans dan perbankan
5. Halal haram pada rumah kediaman yang diduduki
6. Halal haram pada semua yang kita lihat
7. Halal haram pada semua yang kita dengar
8. Halal haram pada semua yang kita rasa
9. Halal haram pada semua yang kita fikirkan
10. Halal haram pada semua yang kita pegang dan sebagainya...

Ada pelajar Ust Kay di SMKSU bertanya : "Ust Kay kenapa Allah SWT ciptakan sesuatu kemudian Allah mengharamkannya? Kan lebih baik Allah tidak menciptakannya supaya mudah untuk manusia menghindarinya? Jawapan Ust Kay :"Jawapan soalan kamu ini ada pada hujung soalan tersebut." Pernahkah Allah menyuruh umatnya menghapuskan segala yang haram? Atau sekadar menghindarkan benda yang haram?

Tanpa ada halal dan haram wujud bersama, bagaimana manusia, terutama umat Islam boleh diuji akalnya untuk mendekati yang halal dan menjauhi yang haram? Inilah tarbiyyah dari Allah SWT. Ingatlah, binatang yang haram, seperti khinzir atau nama glamournya babi juga adalah mahkluk ciptaan Allah. Setiap yang dicipta ada tujuannya, ada sebagai sumber makanan, ada sebagai ujian kepada manusia, menguji iman dan sama ada kita akan ingkar pada ajaran Allah dan sebagainya.

Sebagai contoh, anggota badan seperti tangan, kaki, mulut, mata, telinga dan alat kelamin diberi oleh Allah, melalui wahyu Allah, Al-Quranul Karim telah membimbing manusia agar digunakan secara halal, namun tetap ada manusia yang ingkar arahan-Nya. Mulut digunakan untuk menipu dan mengata, mata digunakan untuk memandang sesuatu yang bukan haknya. Tangan digunakan untuk mencuri, kaki digunakan untuk pergi ke tempat-tempat maksiat, alat kelamin digunakan untuk berzina dan sebagainya...

Contoh, antara memilih untuk pergi ke masjid atau ke 'Kalbu Malami' (kelab malam) dalam filem lama, Allah beri kita akal untuk membuat pilihan antara yang halal dan haram pada perkara tersebut. Dengan panduan iman dan takwa (IT) insya Allah kita akan memilih yang disukai oleh Allah SWT. Sebab nanti di akhirat kita sangat mengharap Rahmat dan Syurga-Nya. Hidup kita ini bukan untuk di dunia sahaja... itupun sementara. Tak ada orang yang mati kalau tak makan babi atau tak pergi kelab malam. Tapi mati kerana kedua-duanya, lagi ada...

KESIMPULAN :
Oleh itu apa yang perlu ditekankan ialah untuk kita mengenal dan membezakan apa yang haram, dan belajar menguatkan iman dengan didikan agama yang cukup untuk menghindarinya. Itu adalah lebih baik sebenarnya. Mengetahui halal bukan bermakna melakukannya, mengetahui yang haram, bukan bermakna menjauhinya. Kerana tahu sahaja tiada beza dengan tidak tahu, kalau tidak diiringi dengan tindakan. Wallahu a'lam - Halal haram pada tazkirah pun ada juga, terutama yang suka ubah nama penulis asal. Doakan istiqamah Ukay's.

Monday, May 5, 2014

Turu aka tido zzzz

6/5/14...TURU aka tidur
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Selasa, 6 Rejab 1435H)
Turu...
Turu adalah bahasa Jawa membawa maksud tidur dan guring pula dalam bahasa orang Banjar. Semua orang yang normal perlukan tidur dan perlu bangun dari tidur tentunya... Dan Allah menjadikan waktu malam itu memang waktu untuk rehat, untuk beribadat setelah siangnya hambanya penat bekerja mencari rezeki.
وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ لِبَاسًا وَالنَّوْمَ سُبَاتًا وَجَعَلَ النَّهَارَ نُشُورًا
"Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki." (QS. Al-Furqan : 47)
PENCERAHAN :
Menurut Ummul Mukminin Aisyah r.anha. Beliau berkata: “Bila Rasulullah SAW berbaring di tempat tidurnya, baginda akan menghimpunkan kedua telapak tangannya, lalu meniup keduanya dan dibaca pada keduanya surat Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Naas. Kemudian disapunya seluruh badan yang dapat disapunya dengan kedua tangannya. Baginda memulakan dari kepalanya, mukanya dan bahagian depan dari badannya. Baginda lakukan hal ini sebanyak tiga kali.” (HR : At-Tirmidzi)
Menurut Ab Aziz bin Fathi as-Sayyid Nada dalam Kitab Ensiklopedia Adab Islam, antara adab-adab tidur yang menjadi amalan Nabi s.a.w dan salafussoleh ialah ;
1. Mengikhlaskan niat untuk beramal selepas bangun.
2. Tidak tidur di tempat terbuka yang mudah dilihat.
3. Elakkan tidur sewaktu kekenyangan.
4. Tidur dalam keadaan suci.
5. Tidur dalam keadaan berwuduk.
6. Membaca surah dan ayat yang menjadi amalan nabi.
7. Bercelak (memakai celak)
8. Mengerjakan solat sunat seperti witir sebelum tidur.
9. Mengibaskan tempat tidur sebelum tidur.
10. Bersiwak atau bersugi ketika bangun dari tidur.
Antara hadis-hadis sahih yang berkaitan tidur Rasulullah SAW yang jarang kita dengar ialah;
1. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian bangun dari tidurnya lalu berwuduk, maka hendaklah ia menghirup air k e dalam hidung lalu mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali kerana syaitan tinggal (bermalam) di dalam batang hidungnya.” (HR : An- Nasa'i)
2. Dari Abdullah bin Zaid bin Ashim, dia pernah melihat Rasulullah saw (tidur) terlentang di masjid dengan meletakkan salah satu kakinya di atas kaki yang lain.
(HR: An-Nasa'i)
Ini bermakna, tiada masalah untuk tidur di dalam masjid, tetapi sangat menghairankan terdapat papan tanda di beberapa masjid yang tertulis ‘Dilarang Tidur Dalam Masjid’. Mungkin ada sebab-sebab tertentu larangan itu tetapi ubahlah perkataannya agar tidak menyalahi sunnah Rasulullah SAW. Contoh, ‘Hormatilah Masjid’ atau “Allah Melihat Apa Yang Kamu Kerjakan’ atau lain-lain yang tidak menyalahi sunnah.
3. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Apabila salah seorang dari kalian tidur, maka syaitan mengikat tiga ikatan di atas kepalanya. Setiap ikatan diikat dengan berkata ‘Malam masih panjang, tidurlah’.
(a). Jika ia bangun lalu berzikir, lepaslah satu ikatan.
(b). Jika ia berwuduk, maka lepaslah ikatan lain lagi
(c). Jika ia mengerjakan solat maka lepaslah semua ikatannya (ikatan syaitan itu).
Sehingga pada pagi harinya (apabila bangun dari tidur) ia berjiwa lapang dan bersemangat. Sedangkan jika ia tidak melakukan hal tersebut (bangun malam lalu berzikir, berwuduk dan solat) maka pada pagi harinya, jiwanya akan buruk dan malas.” (HR : An- Nasa'i)
KESIMPULAN :
Terdapat beberapa amalan yang wajar dilakukan bagi menjadikan tidur kita sebagai sumber kerehatan dan menjadi ibadat. Manakala posisi tidur yang digalakkan berpandukan kepada hadis adalah di atas dada bahagian kanan. Kemudian perubahan yang berlaku dalam posisi selepas itu tidaklah menjadi masalah selagi tidak berkeadaan terlangkup.
Wallahu a’lam - Tidurlah kamu sebelum kamu tidur terus. Ust Kay. 

Thursday, May 1, 2014

Amankah Kita Dengan Amanah?....2/5/14

.. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat, 2 Rejab 1435H)
Amankah Kita Dengan Amanah?
Amanah adalah segala sesuatu penanggungjawaban dari Allah kepada manusia untuk dilaksanakan yang mencakupi di dalamnya konsep Khilafah ilahiyah (khalifah Allah, ibad Allah) dan Khilafah takwiniah (al-taklif al-syar’iah). Oleh kerana manusia Allah SWT telah kurniakan akal, maka manusia adalah makhluk yang memikul beban (mukallaf). Pembebanan (taklif) meliputi hak dan kewajiban. Kedua-dua beban tadi manusia harus laksanakannya sebaik mungkin sebagai satu amanah.
PENCERAHAN :
Sabda Rasullullah s.a.w. :
ألا لا إيمان لمن لا أمانة له
"Ketahuilah! Tidak beriman bagi sesiapa yang tiada amanah." (HR : Imam Ahmad)
Berdasarkan hadis di atas, amanah adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan. Perintah di sini wajib sebagaimana perintah-perintah yang lain seperti wajibnya solat, puasa dan sebagainya. Amanah adalah cabang keimanan, seseorang yang beriman mempunyai sifat amanah dan jika sebaliknya pula menandakan kekurangan imannya.
Menurut Ibn Al-Araby pula, amanah adalah segala sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya atau sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya untuk diambil manfaatnya. Contohnya kalau mengubah tulisan orang lain dan kemudian mendakwa sebagai tulisannya sendiri, macam mana tu ye? Kreatif atau Plagiat?
Plagiarisme ditakrifkan sebagai satu penciplakkan atau pencurian hak intelek. Seperti pengambilan karangan, pendapat, dan sebagainya dari orang lain kemudian memadamkan nama penulis asal lalu menjadikannya seolah-olah karangan dan pendapat sendiri. Untuk apa? Pujian? Puaskah hatinya dipuji di atas sesuatu yang bukan diusahakannya sendiri? Pelik manusia ni...
Syeikh Ahmad Mustafa Al-Maraghi membahagikan amanah kepada tiga bahagian, iaitu;
1. Amanah manusia terhadap Tuhannya. Iaitu semua ketentuan Allah yang harus dipelihara berupa melaksanakan semua perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka apabila seseorang itu melakukan mak siat seperti mencuri hak intelek seseorang (plagiat) perbuatannya itu dianggap sebagai satu khianat.
2. Amanah manusia kepada orang lain. Di antaranya ialah mengembalikan hak kepada yang berhak, tidak menipu dan berlaku curang, menyimpan rahsia, tidak menipu dan seumpamanya. Share dan copy paste bahan dakwah sangat digalakkan malah itulah yang sepatutnya dilakukan. Tapi kalau copy kemudian edit sebelum paste, bagi Ust Kay rasanya kurang manis atau satu perbuatan yang kurang amanah.
3. Amanah manusia terhadap dirinya sendiri. Iaitu berbuat sesuatu yang terbaik dan bermanfaat bagi dirinya baik dalam urusan agama mahupun urusan dunia. Serta tidak melakukan sesuatu yang menjadikannya susah nak jawab di akhirat nanti. Disini bolehlah kita menipu, disana...?
Kalimah 'Amanah' ini sebenarnya adalah suatu yang besar dalam Islam. Kerana amanah adalah akhlak dari para Nabi dan Rasul. Mereka adalah orang yang paling baik dalam menjaga amanah. Sehingga Rasulullah s.a.w sendiri dikenali sebagai orang yang paling terpercaya, dan digelar Al-Amin sebelum kerasulan baginda lagi. Sebab itu baginda pernah bersabda;
آية المنافق ثلاث : إذا حدّث كذب وإذا وعد أخلف وإذا اؤتمن خان – متفق عليه
"Ada tiga tanda munafiq : Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat." (HR : Muttafaqun Alaih)
KESIMPULAN :
Sabda Rasullullah s.a.w. ;
أربع إذا كنَّ فيك فلا عليك ما فاتك من الدنيا : حفظ الأمانة وصدق حديث وحسن خليقة وعفة في طعمة – الشيخان
"Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: Jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)."
(HR : As-Shaihan) Wallahu a'lam - Sekurang-kurangnya jujurlah pada diri sendiri...

Wednesday, April 30, 2014

Salam 1Rejab... 1/5/14

tazkirah Pegi...salam 1 Rejab
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 
CUIT-CUIT UST KAY (Khamis, 1 Rejab 1435H)
Salam Pengenalan, Salam 1 Rejab !
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikan (Hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadan”. (HR: Baihaqi)
Seorang pendakwah (da’i) sangat perlu dan harus mengetahui keadaan psikologi sasaran yang didakwahi (mad’u) agar apa yang disampaikan nantinya dapat diterima dengan baik. Kerana dakwah itu sendiri merupakan suatu kegiatan untuk mempengaruhi orang lain agar mahu merubah tingkahlaku dan mengikut apa yang disyariatkan oleh Agama Islam.
PENCERAHAN :
Untuk mempengaruhi orang lain agar terkesan dengan usaha-usaha dakwah kita, maka kita harus melakukan beberapa pendekatan, pengubahsuaian dalam psikologi dakwah. Methodologi atau manhaj dakwah perlu bersesuaian dengan biah mad'u hari ini. Tidak lagi dengan approach lama yang sama. Mungkin sesuai untuk sesetengah golongan tetapi mungkin tiada unsur 'tarikan' pula pada golongan yang lain.
Teringat kepada guru Ust Kay ketika menadah ilmu di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Ab. Aziz bin Moh Zin (ketika itu merupakan Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan) dalam bukunya Psikologi Dakwah menyatakan antara peranan psikologi dakwah melalui tarikan antaranya ialah;
1. Cantik dan Menarik.
Islam mesti dipersembahkan kepada sasarannya dalam bentuk yang cantik juga, sesuai dengan ajarannya yang sangat cantik. Produk yang cantik ini kalau tiada yang sudi 'membelinya' bukan kerana kecacatan produk tersebut tetapi kerana kegagalan jurujualnya (da'i).
Headline seperti 'Tazkirah Hari Ini', Ceramah, Kuliah, Forum Perdana contohnya, mungkin menjadi kegemaran sasaran dakwah 'saluran' 1 dan 2 tetapi mungkin alergik pula kepada sasaran dakwah bagi saluran 3 dan 4 (orang muda). Tengok headline je terus scroll ke bawah...
2. Jelas dan Nyata.
Manusia tidak suka memikirk an perkara yang berat-berat dan sukar difahami. Oleh itu, kecerahan dan kejelasan akan menarik perhatian pembaca apatah lagi dalam medium media sosial yang serba pantas dan ringkas ini. Ramai pembaca mengadu kepada Ust Kay tidak menggemari tazkirah yang panjang berjela-jela dan meleret-leret persembahan isinya (maudu'). Cuma kali ini agak panjang, maaf sesi pengenalan...
3. Pelik dan Menakjubkan (mengejutkan).
Dalam satu hadis Nabi SAW menceritakan tentang ahli syurga yang menghairankan ;
"Ahli syurga makan dan minum, tetapi tidak berak, tidak berhingus dan tidak kencing. Sisa makanan mereka habis menjadi angin sendawaan yang keluar seperti wap dengan bauan kasturi." (HR : An-Nawawi)
Justeru, dalam pemilihan tajuk-tajuk tazkirah Ust Kay sebelum ini juga dibuat dengan berhati-hati, isu yang dekat dengan mad'u, malar segar, catchy, ranggi dan trendy selain cadangan yang datang dari rakan-rakan pembaca sekalian. Itulah sebenarnya pesanan mentor Pengucapan Dakwah Ust Kay, Dr. Roslan Mohamad - APIUM (syukran ustaz) dan Pensyarah Penulisan Dakwah Ust Kay, Ustazah Norodzoh - APIUM (jazakillahu khairan)
4. Bergerak dan Berubah-ubah.
Sesuatu benda yang bergerak kedudukannya lebih menarik daripada sesuatu yang tetap dan tidak bergerak. Selain itu yang berubah (changing) juga menjadi tarikan. Sebab itu 'Tazkirah Hari Ini' kini berubah kepada 'Cuit-cuit Ust Kay'. Satu pendekatan dakwah yang lebih santai walaupun ilmiah. Lebih kepada catatan pendakwah atau travelog yang menjadi trend masakini. Fresh, ringan dan tidak memeningkan, tulus dan tidak memaksakan.
5. Mudah dan Memudahkan.
Sekali lagi manusia tidak sukakan beban dan menyerabutkan fikiran. Susah dan payah boleh meliarkan seseorang. Contoh, solat bagi muslimat mesti pakai telekung, tidak ada telekung tak boleh solat (alasan untuk tinggalkan solat). Adakah syarat sah solat mesti memakai telekung? Bukan kah cukup sekadar menutup aurat...
Allah berfirman dalam al-Quranul Karim;
...ِ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍُ
"... Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama..." (QS. al-Hajj : 78)
Tujuan utama dari dakwah itu nanti akhirnya adalah bagaimana seorang mad’u dapat atau mahu menjalankan apa yang disampaikan oleh seorang da’i, bukan hanya sekadar dibaca, difahami dan diminati saja. (syok sendiri) Tetapi ialah bagaimana akhirnya seorang mad’u itu benar-benar menjalankan apa yang disampaikan oleh da’i dengan penuh kesedaran dari dirinya sendiri tanpa rasa dipaksa untuk berubah.
KESIMPULAN :
Maafkan Ust Kay dengan 'kejutan' pengumuman semalam terutamanya kepada pembaca setia Tazkirah Hari Ini. Semoga dengan pendekatan baharu yang tidak lagi klise dan skema ini akan lebih dekat kepada semua pembacanya dan mengurangkan perbuatan plagiat yang berleluasa. Copy paste takpe.. bahan dakwah memang perlu disebarkan tiada copyright. Doakan terus istiqamah !
Wallahu a'lam - Maaf tiada 'Tazkirah Hari Ini' Ust Kay.