السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Jumaat,12 Syawal 1435H)
JANGAN KHIANATI AMANAH RAKYAT !
Sifat amanah mempunyai hubungan erat dengan iman seseorang. Orang beriman pasti memiliki sifat amanah. Orang yang khianat bererti tidak ada iman dalam dirinya, meskipun lidahnya menyatakan beriman. Allah berfirman;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَخُونُواْ اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُواْ أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad SAW) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (QS al-Anfal : 27)
PENCERAHAN :
Sikap khianat amat berbahaya bila berkembang dalam kehidupan suatu masyarakat. Sikap ini merugikan orang yang dikhianati dan pelakunya. Apabila sikap khianat melekat pada diri seseorang, bererti saat itu ia tidak amanah. Nabi SAW bersabda, ”Tidak mungkin berkumpul iman dan kafir dalam hati seseorang dan tidak mungkin pula berkumpul sifat jujur dan dusta padanya sekaligus, sebagaimana tidak mungkin berkumpul sifat khianat dan amanah padanya secara bersamaan.” (HR : Ahmad)
Khianat adalah suatu perbuatan yang berniat serong ke arah matlamat menganiaya seseorang yang lain sama ada secara fizikal (penderaan jasad), mental (penderaan jiwa) atau spiritual (penderaan ruhani). Peribahasa Melayu yang menggambarkan sifat-sifat pengkhianatan ini amat jelas pada ungkapan-ungkapan seperti berikut ;
1. Duri dalam daging
2. Api dalam sekam
3. Gunting dalam lipatan
4. Musuh dalam selimut
5. Harapkan Pegar (sejenis burung), Pegar makan padi
Perbuatan 'Khianat' ini jelas berbeza dengan 'Perang' kerana khianat dilakukan secara sembunyi manakala perang dilakukan secara terbuka. Maka ia berupaya merosakkan agama dan masyarakat dengan lebih serius iaitu melakukan kerosakan dari dalam secara senyap. Seperti sel-sel kanser yang memusnahkan sel-sel normal secara senyap lalu sedar-sedar penyakit menjadi barah dan tidak dapa t untuk disembuhkan lagi.
Dalam Peperangan Salib yang menjarah bumi umat Islam, para pengkhianat dalaman ini diupah atau dirasuah untuk mencetuskan rampasan kuasa terhadap sistem Khilafiah Islam dan membuat kacau bilau dalam sesuatu negeri. Lalu berlakulah peperangan saudara dan kemusnahan dalaman pada sesebuah negeri atau negara Islam yang hendak dijajah.
Dalam Peperangan Moden, para pengkhianat dalaman ini digelar sebagai 'Saboteur' yang menjalankan misi-misi sabotaj supaya kekuatan dalaman sesuatu pasukan menjadi lemah atau musnah. Dirosakkan dari dalam.
Dalam kehidupan bermasyarakat sesuatu bangsa pula, para pengkhianat dalaman ini digelar sebagai 'Pengkhianat Negara' seperti belot kepada musuh yang melancarkan peperangan, palsukan Mykad, Ali Babakan lesen perniagaan, perjudikan keselamatan negara, tekan rakyat dengan cukai yang baru dan sebagainya lagi. Rakyat rasa dikhianati...
Dalam Agama Islam, para pengkhianat dalaman ini digelar sebagai 'Orang Munafik' yang memusuhi Allah Ta'ala, Rasul-Nya, Agama-Nya, Undang-undang-Nya, Peraturan dan hukum-Hakam-Nya. Mereka berusaha menafikan terlaksananya semua ini dengan hujah yang muluk-muluk bersalutkan agama.
Nabi SAW Bersabda; “Setiap pengkhianat memiliki bendera pada bahagian belakangnya pada hari kiamat nanti, yang akan ditinggikan (bendera tersebut) sesuai dengan kadar pengkhianatannya yang dilakukan. Ingatlah, tiada pengkhianatan yang melebihi pengkhianatan oleh para pemimpin masyarakat.” (HR : Muslim)
KESIMPULAN :
Dari hadis diatas dapat dimengerti bahawa pengkhianatan terbesar adalah pengkhianatan yang dilakukan oleh seorang pemimpin, terutama pemimpin masyarakat. Kerana jika pemimpan rosak maka rosaklah negeri @ negara dan rakyatnya. So ! Berhati-hatilah wahai pemimpin, jangan khianati rakyat yang mengundi kamu...Wallahu a'lam - Pemimpin khianat, rakyat tunggu di akhirat ! Ukay's
No comments:
Post a Comment