Thursday, August 7, 2014

15 TANDA IKHLAS DALAM PERJUANGAN !

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Khamis,11 Syawal 1435H)
15 TANDA IKHLAS DALAM PERJUANGAN !

Pra syarat kemenangan dalam sesebuah Harakah Islamiyyah berhubung erat dengan keteguhan aqidah atau prinsip perjuangannya. Begitu juga keteguhan pegangan ahlinya di semua peringkat terhadap aqidah dan prinsip itu sehingga tampak ikhlas dalam berjemaah.

PENCERAHAN :
Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah semata-mata, menuntut keredhaan-Nya dengan menegakkan agama-Nya. Bukan untuk berebut jawatan MB atau PM sekalipun. Antara tanda-tanda ikhlas dalam diri seorang pejuang Islam adalah;

1) Nawaitu yang jelas untuk mencari keredhaan Allah bukan kerana yang lain. Termasuk bukan kerana hendak masuk syurga sebab masih ada unsur untuk kepentingan diri sendiri...
2) Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan dan walau tanpa pemerhatian manusia.
3) Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran.
4) Tidak bermain alasan untuk mengelakkan diri dari aktiviti jamaah.
5) Bersedia menerima arahan dalam apa jua keadaan sungguhpun ia tidak bersesuaian dengan keinginan diri.
6) Prihatin terhadap keperluan dan permaslahan jamaah dan ahli jamaah.
7) Bertolak ansur dan berlapang dada dalam mengendali gerak kerja dan jamaah.
8) Menghormati pejuang generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan, kerana sekurang-kurangnya menjadi mata rantai yang menyambung perjuangan ini.
9) Sentiasa mengadakan muhasabah terhadap apa jua aktiviti jamaah. Kekuatan dan kelemahan dikenalpasti... bukan syok sendiri!
10) Mestilah istiqamah di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung kearah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat ke jamaah lain. Allah berfirman kepada Musa dan Harun yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya:

فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُون

“...Maka kamu mestilah istiqomah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu” (QS Yunus : 189)

11) Taat kepada pimpinan jamaah sendiri bukan pada pimpinan jamaah lain. Ketaatan lahir dari sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Ikhlas tapi tidak taat... ego namanya, rasa betul sendiri !
12) Eratkan ukhwah sesama jamaah. Ahli-ahli jamaah di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu disimen teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain. Bukan kerana polemik yang ditimbulkan jamaah lain, ahli jamaah kita pula yang berantakan ! Bersilat sesama sendiri...
13) Jaga kerahsiaan. Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan jamaah untuk menentangnya, oleh itu setiap anggota jamaah perlu menjaga kerahsiaan (hazar), supaya rahsia-rahsia dalaman dapat terus terpelihara dengan baik. Ada perkara yang boleh diberitahu kepada masyarakat dan ada perkara yang untuk jamaah sahaja.Jangan khianati jamaah sendiri.
14) Tidak leka dengan pencapaian yang ada. Jangan cepat lupa diri...Allah boleh ambil balik bila-bila masa. Jangan rasa sentiasa mendapat sokongan sepanjang masa... jangan mendabik dada kalau berlaku pilihanraya semula pasti akan menang semula. Belum tentu... Lagipun baru menang sikit je pun. Allah tengah uji kita...
15) Menunaikan janji dan beriltizam dengannya. Sama ada janji kepada kawan ataupun kepada lawan. Tidak menunaikan janji akan mengakibatkan hilangnya thiqah (kepercayaan) orang lain kepada diri kita. Apatah lagi janji kepada para pengundi.

KESIMPULAN :
Mengutamakan kepentingan jamaah lebih dari dirinya dan memberikan komitmen sepenuhnya serta mematuhi arahan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh jamaah, adalah antara adab berjamaah. Begitu juga, setia (tidak khianat) dan amanah terhadap tugas yang diberikan dan rasa hormat (thiqah) terhadap saf pimpinan sendiri serta kasih sesama ahli perlulah sentiasa disuburkan. Wallahu a'lam - 'Alaikum bil jamaah ! Ukay's.

No comments: