Friday, August 1, 2014

Rumah terbuka

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Istimewa 'Idul Fitri) Khamis, 4 Syawal 1435H : RAYA RUMAH TERBUKA !

Mengadakan rumah terbuka atau 'Open House' sudah menjadi budaya baru masyarakat Melayu Malaysia seolah-olah perayaan tidak akan lengkap tanpa mengadakan rumah terbuka ini. Sama ada rumah-rumah di bandar mahupun di kampung-kampung. Malah di kampung mungkin lebih hebat sehingga seperti buat kerja kahwin dengan menyembelih kambing dan memasang khemah 'canopy' di laman rumah mereka yang menganjurkannya.

PENCERAHAN :
Amalan rumah terbuka ini sebenarnya tidak dianjurkan secara khusus oleh Baginda Rasulullah SAW dan juga salafus soleh. Ini bukan bermaksud bahawa ianya dilarang dan tidak dibenarkan kita untuk menganjurkannya. Malah, sebagaimana yang kita tahu, bahawa terdapat kaedah usul-fiqh yang mengatakan “Asal hukum setiap sesuatu atau adat adalah harus, sehinggalah datangnya dalil mengharamkannya”.

Jika diambil kira dari sudut ukhwah Islamiyyah, semestinya rumah orang Islam hendaklah sentiasa ‘terbuka’ dan sedia menerima tetamu jika masa diizinkan. Allah mengingatkan kita agar meminta izin dari tuan rumah sebelum masuk atau bertandang ke rumah mereka. Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat".
(QS An-Nur : 27)

Jika ayat itu dihalusi dengan baik, maka dapatlah kita fahami, bahawa agama kita mempunyai suatu prinsip dan peraturan dalam bab ziarah dan berkunjung sesama kita. Oleh itu, rumah terbuka ini lebih bersifat suatu kesediaan tuan rumah dalam membuat persiapan dengan lebih rapi, dari segi bajetnya, tetamunya, makanannya dan pemilihan harin ya

Walaupun begitu, harus diingat, penganjur rumah terbuka harus peka akan perkara-perkara yang jauh dari petunjuk Allah dan Rasul, dan hendaklah menjaga prinsip-prinsip majlis dengan tatacara yang bersandarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Antaranya;

1) Hendakah majlis rumah terbuka itu tidak disertai dengan maksiat, dan ihtilat, pergaulan antara lelaki dan perempuan dan jauh dari punca-punca dan pintu-pintu kemaksiatan. Di dalam kaedah fiqh : “Barangsiapa membantu dalam suatu kemaksiatan, maka dia telah bersekutu dalam berbuat dosa akibat kemaksiatan itu". (Syarah Ibnu Bathal, 17/207)

2) Penganjur rumah terbuka tidak boleh memilih tetamu hanya dikalangan orang kaya dan meminggirkan orang-orang miskin. Ini sebagaimana larangan Rasulullah SAW kepada orang yang membuat walimah agar tidak menjemput dan mengasingkan antara kelompok mereka yang kaya dan miskin.

3) Hendaklah ia dianjurkan dengan suasana besederhana dan tidak membazir malah tidak dijadikan majlis rumah terbuka sebagai platform untuk bermegah-megah dengan apa yang dia miliki. Contoh, niat hendak tunjuk rumah baru, perabut baru, isteri baru dan sebagainya.

4) Dijadikan majlis rumah terbuka ini dengan niat untuk bersedekah dan merapatkan ukhuwwah dengan keluarga, sanak saudara, jiran dan sahabat handai. Ini juga harus difahami oleh tetamu yang berkunjung agar tidak meletakkan syarat mengetahui menu untuk menentukan persetujuan memenuhi jemputan itu.

KESIMPULAN :
Sesungguhnya Islam itu agama yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan ummah. Justeru, dianjurkan agar jemputan rumah terbuka ini dipanjangkan juga kepada masyarakat bukan Islam bagi membuktikan bahawa Islam adalah agama yang bersifat rahmat dan memberi rahmat kepada semua insan sekaligus satu dakwah kepada mereka.
Wallahu a'lam - Rumah terbuka jangan sampai aurat pun terbuka. Ukay's

No comments: