Tuesday, August 12, 2014

Redha dgn qadha allah taala

-VAKSIN HATI TONIK IMAN-
KITAB PENAWAR BAGI HATI

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

��REDHA DENGAN QADHA ALLAH TAALA��

Redha dengan qadha Allah itu bererti hati ini suka kepada segala yang Allah kehendaki keatas kita dan tidak membantah kehendaknya, menyangkal/membangkang percaturannya kepada hamba-hambanya.

Tidak dikatakan redha dengan qadha Allah itu bahawa tidak berasa kesakitan apabila dikenakan bala, dan bukan makna redha dengan qadha Allah dengan meninggalkan berDOA dan berusaha, dan bukan maknanya membiarkan mudhorat datang kepada dirinya padahal berkuasa untuk menolaknya. Bahkan dituntut oleh Allah kepada kita berdoa kepadanya.

Maka sebahagian daripada perkara yang termasuk dalam redha dengan qadha Allah itu adalah mengerjakan segala sebab atau usaha dan ianya dikasihi Allah. Jika meninggalkan segala sebab dan usaha, ianya menyalahi akan yang diredhai Allah Taala. Tidak dinamakan seseorang itu redha dengan qadha Allah Taala, apabila ia dahagakan air, tetapi tidak berusaha untuk menadah air untuk diminum. Redha dengan qadha Allah adalah menghilangkan dahaga itu dengan air. Redha dengan qadha Allah Taala pada syara adalah melakukan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

Redha dengan Qadha Allah itu satu perbuatan yang terpuji lagi diwajibkan ke atas sekalian mukallaf. Firman Allah Taala :

جَزَآؤُهُمۡ عِنۡدَ رَبِّهِمۡ جَنّٰتُ عَدۡنٍ تَجۡرِىۡ مِنۡ تَحۡتِهَا الۡاَنۡهٰرُ خٰلِدِيۡنَ فِيۡهَاۤ اَبَدًا ‌ؕ رَضِىَ اللّٰهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُوۡا عَنۡهُ ‌ؕ ذٰلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهٗ

“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya”. Al-Baiyinnah : 8

Sabda rasulullah :

من سعادة ابن ادم رضاه بما قضى الله ومن شقاوة ابن ادم مخه بما قضى الله له

“setengah daripad a bahagia manusia, redhanya dengan perkara yang Allah kehendaki Allah keatasnya, dan setengah daripada celaka manusia, murka dengan perkara yang Allah kehendaki kepadanya”. Riwayat Tirmizi dan Hakim

Syurga adalah tempat bagi mereka yang redha dengan qadha Allah. Firmannya dalam hadis qudsi :

ماذا تريدون فيقولون رضاك

“apa yang kamu mahukan wahai ahli syurga? Maka jawab mereka itu : Redhamu”.
Riwayat Abu Yu’la dengan sanad Rijal al-Sohih.

Maka jika engkau bertanya, mengapa aku himpunkan antara redha dengan qadha Allah dan benci akan kufur dan maksiat? Kerana kedua-duanya adalah qadha Allah Taala jua. Nescaya aku jawab : bahawasanya kufur dan maksiat itu ada baginya dua pihak. Pertama bahawasanya keduanya dengan qadha Allah dan kehendaknya. Maka wajib kita redha kepada keduanya kerana hakikatnya kita redha dengan qadha Allah, bukan redha dengan kufur atau maksiat itu. Kedua bahawasanya keduanya (kufur dan maksiat) dengan usaha dan ikhtiar orang yang berbuat maksiat, maka daripada ini pihak wajib kita benci daripada keduanya dan wajib kita larang daripada keduanya, seperti kita wajib menyuruh melakukan kebajikan.

Bahawasanya redha dan benci itu tidak berlawanan keduanya apabila ada keduanya itu pada pihak yang berlainan. Jika kita menyangka bahawa meninggalkan daripada menyuruh orang melakukan kebajikan dan melarang dan menegah orang dari lakukan kejahatan termasuk dalam redha dengan qadha Allah, maka ia termasuk orang yang jahil. Kerana sebahagian daripada qadha Allah Taala itu wajib menyuruh dengan kebajikan dan wajib melarang daripada munkar.

Dan jika engkau bertanya, mengapa aku redha dengan bala? Nescaya aku jawab : bahawasanya benci akan bala dengan tabiat, dan redha dengan bala itu dengan akal dan sebab mengetahui akan besar pahala bala itu seperti redha orang yang ditimpa padanya sakit dan perlu minum ubat yang pahit. Kerana mengetahui ia ubat yang pahit sebab bagi sembuh penyakit hingga suka ia akan ubat tersebut. Bahkan kadang-kadang sanggup beli dengan harga yang mahal.

Setengah daripada sebab redha dengan qadha Allah Taala itu bahawa engkau iktikadkan bahawasanya ada hikmah Allah pada segala pekerjaan yang Allah kehendaki dengannya. Walaupun kadang-kadang kita tidak tahu apa hikmahnya. Dan bahawasanya kebajikan itu apa yang Allah qadhakan padanya.

Bermula iktikad seseorang yang redha dengan qadha Allah Taala adalah ia perlu buang daripada hati persoalan (kerana apa? dan mengapa?) seperti kisah Nabi Allah Musa a.s dengan Nabi Khidir a.s. hikmah apa Nabi Khidir membocorkan sampan, membunuh kanak-kanak dan membina dinding rumah yang runtuh.

Bukan pekerjaan kita untuk mengetahui rahsia kerajaan Allah. Dan ketahui olehmu bahawasanya yang dituntut daripada hamba itu IBADAT yang mendekatkan diri kepada Allah, dan tatkala mengingatkan akan mati itu sebesar-besar sesuatu yang memberi manfaat pada ibadat.

Wallahuaklam......
Mohon maaf dan teguran diatas khilaf dan kesilapan.
Ikhlas & Rahmat Allah bersama kita.
UstazMahfuzRoslan@UMAR.
Kongsikan dan sebarkan..sesungguhnya ianya ILMU ALLAH TAALA..

No comments: