Friday, August 1, 2014

Duit raya

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Istimewa 'Idul Fitri) Rabu, 3 Syawal 1435H : RAYA DUIT RAYA !

Sabda Nabi SAW; "Saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling mencintai." (HR: al-Bukhari) Antara bentuk hadiah atau pemberian yang paling disukai oleh anak-anak ialah 'Duit Raya'. Malah bukan sekadar anak-anak, ibu ayah anak atau datuk nenek anak pun suka jika dapat duit raya. Senyum lebar sampai ke telinga.

PENCERAHAN :
Namun amalan pemberian dan penerimaan duit raya boleh menjadi pembaziran, tetapi ianya boleh kita perbaiki supaya menjadi amalan sedekah dan hadiah yang mulia dan membawa keberkatan. Antara perkara berkaitan duit raya yang perlu dipost mortem semula ialah;

1) Terdapat pihak yang mungkin menghadapi tekanan masyarakat untuk mengeluarkan duit raya, takut dikatakan kedekut. Adakah seseorang akan mendapat pahala jika memberi duit raya kerana rasa terpaksa?

2) Terdapat segolongan kanak-kanak (walau pun tidak semua) yang telah dibudayakan untuk berjalan dari rumah ke rumah mengutip duit raya. Aktiviti ini jika tidak dibimbing oleh ibubapa mereka sehingga terdapat kanak-kanak yang berani mengeluarkan kata-kata seperti “Tuan rumah kedekut”; “Eleh seghinggit jer...”. Ini bukan hanya menimbulkan budaya tidak sopan, malah menimbulkan perasaan tidak senang hati di pihak pemberi duit raya.

3) Selepas hari raya, pekedai bukan Islam akan menyediakan pameran mainan yang menggalakkan pembaziran. Ibu bapa selalunya malu untuk mengurus duit raya kanak-kanak kerana takut dikatakan memanipulasi mereka. Akibatnya, terdapat sejumlah wang umat Islam yang terbazir begitu sahaja. Orang dewasa agak ‘miskin' selepas raya sementara kanak-kanak menjadi Orang Kaya Baru (OKB).

Perkara yang boleh dibaiki, di pihak ibu bapa;
1) Didik anak-anak sebelum hari raya lagi bahawa duit raya adalah duit sedekah. Ia adalah amanah dari Allah dan Allah perhatikan bagaimana dibelanjakan wang tersebut.
2) Anda boleh tetapkan jumlah yang sedikit untuk m ainan, dan yang selebihnya simpan di bank. Anda boleh buka akaun anak dengan anda – (namanya Bank Umi atau Bank Ayah) sediakan buku akaun. Anak anda boleh mengeluarkan wang tersebut untuk membeli barang-barang munasabah di masa akan datang. Namun bagi jumlah wang yang banyak, simpan di Tabung Haji atau bank yang mengikut syariat Islam.

3) Galakkan anak anda biasa memberi duit raya kepada orang. Dia boleh memberi duit raya kepada, adik adik yang lebih kecil. Ini tidak perlu dalam jumlah yang banyak. Didik anak-anak untuk mengalamai perasaan seronok memberi dari sekecil yang mungkin.

4) Adakan tempoh “Cooling period” anak anda. Secara psikologi, individu yang baru mendapat jumlah wang yang banyak secara mendadak akan teruja untuk membeli pelbagai barangan tanpa pertimbangan wajar. Bagi anak yang ingin membeli, tinjau dahulu beberapa kedai dan balik berbincang dengan ibubapa. Ini menanam tabiat berbelanja berhemah dan sikap “Delay of gratification” (penundaan keseronokan segera)

Dari pihak pemberi duit raya;
1) Ubah niat dari kata-kata 'Duit raya' kepada sedekah sempena 'Idil Fitri. Ini akan mengingatkan kita bahawa semua amalan adalah kerana Allah semata-mata.
2) Jika difikirkan kanak-kanak yang hadir termasuk dalam budaya meminta-minta dan budaya samseng, tidak perlu berikan apa-apa. Anggaplah penerimaan kata-kata seperti “kedekut” sebagai jihad atau kaffarah.
3) Semasa perancangan wang raya, pastikan nisbah sedekah kepada orang dewasa yang lebih memerlukan melebihi hadiah suka-suka untuk kanak-kanak. Beberapa RM diperuntukkan sudah memadai untuk kanak-kanak jika niat sekadar untuk menggembirakan mereka.

KESIMPULAN :
Semoga dengan pemberian duit raya ini akan mendekatkan lagi kita dengan Allah SWT, dimurahkan rezeki, diampunkan segala dosa-dosa kita dan terhindar dari sebarang musibah. Aamiin Ya Rabb. Wallahu a'lam - (OKB) Orang Kena Beri. Ukay's

No comments: