Friday, August 1, 2014

Raya pegi! Baraan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Istimewa 'Idul Fitri) Jumaat, 5 Syawal 1435H : RAYA PERGI BARAAN !

Bersempena dengan kedatangan Aidilfitri ini, salah satu adat sebahagian masyarakat terutamanya masyarakat kampung ialah 'Baraan' iaitu amalan berkunjung ke rumah sanak saudara serta sahabat handai. Biasanya dilakukan secara berkumpulan antara 10 - 100 orang dan menunggang motor secara berkonvoi.

PENCERAHAN :
Amalan 'Baraan' atau kunjung mengunjungi ini adalah suatu amalan yang baik dan amat digalakkan dalam Islam. Sama ada dalam kelompok yang kecil (sekeluarga) atau beramai-ramai. Walau bagaimanapun, dalam Islam telah digariskan adab-adab yang perlu kita ikuti. Agar bertamu kita ini menjadi ibadat dan bukan sekadar adat. Antaranya ialah;

1) Tidak mengganggu pengguna jalanraya lain atau mengganggu ketenteraman orang awam. Perlu juga dititik beratkan aspek keselamatan walaupun menunggang di jalan kampung dan tidak mem'vrooom' sehingga mebingitkan telinga orang ramai.
2) Meminta izin terlebih dahulu. Ini adalah untuk mengelakkan kita mendatangi rumahnya dalam keadaan tuan rumah tidak bersedia. Atau membuat temu janji terlebih dahulu. Kecuali kalau memang rumah terbuka.
3) Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah. Bukan kerana 'pakwe' atau 'makwe', makanan yang sedap-sedap atau kerana hadiah yang disediakan.
4) Mengucapkan salam dan minta izin masuk maksimum tiga kali salam. Sama ada tuan rumah tiada atau tidak bersedia menerima tetamu. Bukan pasal kedekut duit raya...
5) Ketukan pintu yang tidak mengganggu terlalu kuat atau menjerit “Kami di masa Nabi SAW mengetuk pintu dengan kuku-kuku.” (HR: Bukhari)
6) Posisi berdiri tidak terus menghadap pintu masuk. Dikhuatiri tuan rumah dalam keadaan aurat terbuka atau mengaibkan. Baru bangun tidur, sedang bertuala atau berkemban
7) Tidak Mengintip-intip (mengintai-intai) isi dalam rumah orang. “Andaikan ada orang melihatmu di rumah tanpa izin, engkau melemparnya dengan batu kecil lalu kamu c ungkil matanya, maka tidak ada dosa bagimu.” (HR: Bukhari)
8) Tidak membanding-bandingkan juadah yang disediakan tuan rumah terutamanya antara rumah orang kaya dengan yang miskin.
9) Tidak terlalu kerap berkunjung. Contoh, satu rumah sampai tiga-empat kali agar orang yang dikunjungi tidak menjadi bosan atau menyampah pula dengan kita. Sebab duit raya..
10) Memilih waktu yang tepat untuk berkunjung. Bukan waktu makan, waktu tidur, waktu solat dan waktu-waktu yang sewaktu dengannya.
11) Menundukkan pandangan (Ghaddhul bashar) terhadap privasi (hal-hal yang bersifat peribadi) anggota keluarga mereka.
12) Hendaknya seorang pengunjung hanya duduk di tempat yang telah disedia dan diizinkan oleh tuan rumah.
13) Jangan mengangkat suara di rumah yang dikunjungi. Berbantah-bantah, berdebat atau berpidato pula !
14) Jangan mencuri dengar perbualan tuan rumah dengan ahli keluarganya, apatah lagi menyampuk perbualan mereka.
15) Tidak membiarkan anak-anak kita merosak perkakas atau barang perhiasan di rumah orang atau membuli anak tuan rumah.
16) Tidak mengimami tuan rumah di rumah mereka kecuali atas permintaan tuan rumah sendiri.
17) Tidak berlama-lama ketika berkunjung, tuan rumah mungkin mengantuk atau terlalu penat dan perlu berehat.
18) Menyuruh kepada yang maa'ruf dan mencegah dari yang mungkar yang ada di rumah tersebut dengan berhemah dan hikmah.
19) Tidak beranjak pulang kecuali jika telah diizinkan atau minta izin dengan tuan rumah.
20) Berterima kasih kepada tuan rumah atas jamuan yang disediakan dan layanan baik mereka. Paling baik, turut mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan tuan rumah sekeluarga. Pasti tuan rumah tersenyum suka !

KESIMPULAN :
Semoga dengan ini, kita semua menjaga adab-adab ketika 'BARAAN'. Jangan sesekali melanggarnya kerana boleh menyebabkan ketidak selesaan dan 'BARAN' tuan rumah. Wallahu a'lam - Jom baraan di rumah sedolor dan kulaan. Ukay's

No comments: