Sunday, August 10, 2014

Tawakal

-VAKSIN HATI TONIK IMAN-
KITAB PENAWAR BAGI HATI

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

��TAWAKAL��

Perlu kita ketahui bahawa tawakal itu percaya dengan Allah Taala dan yakin bahawasanya qada ketentuan Allah dan mengikut akan segala sunnah Rasulullah s.a.w. selepas. Dan hendaklah kita berusaha mendapatkan sesuatu dahulu seperti makanan, minuman, pakaian dan memelihara diri daripada kecelakaan dan inilah sunnah semua rasul dan nabi. Ini adalah apa yang dikatakan oleh al-Qadhi ‘Iyad dan menjadi ikutan kebanyakan fuqahak.

Sesungguhnya tawakal itu satu perbuatan yang terpuji, yang menyebabkan Allah kasih akan orang yang bersifat terpuji. Firman Allah Taala :

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Q.S Ali Imran ayat 159)

Tawakal adalah sifat yang dituntut dalam islam. Ianya boleh menjadi wajib dan boleh menjadi sunat. Firman Allah Taala :

قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمَا ٱدْخُلُوا۟ عَلَيْهِمُ ٱلْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غَٰلِبُونَ ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓا۟ إِن كُنتُم مؤمنين

“Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman" al-Maidah : 23

Firman Allah :

"Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah".
(Ibrahim :12)

Firman Allah :

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Az-Zumar : 36

Rukun tawakal ada tiga :

1. Tauhid – pegangannya kepada Allah tiada belah baginya
2. Kelakuan
3. Pekerjaan

Adapun tauhid seperti engkau iktikad dengan iktikad yang putus bahawa hanya Allah yang maha kuasa, maha esa dan tiada sekutunya dan baginya segala kerajaan dunia dan akhirat dan segala pujian miliknya. Tauhid adalah asal bagi tawakal, kerana tawakal hanya kepada Allah taala bukan yang lainnya.

Adapun kelakuan pula adalah kelakuan hati iaitu percaya hati engkau dengan Allah taala dan diam ia dengan menyerahkan segala pekerjaan kepada Allah. Jangan kita berpaling kepada yang lain selain Allah taala sahaja. Hati kita akan menjadi tenang dan senang jika semuanya diserahkan kepada Allah taala. Allah sangat kasih dan sayang kepada hambanya yang bertawakal kerana Allahlah yang sangat berkuasa, yang memberikan rezeki kita dan wajib berserah kepadanya. Jangan kita mengharapkan rezeki itu dari manusia atau lainnya kerana mereka lemah dan berhajat seperti kita juga.

Jika kita tidak bertawakal kepada Allah taala, bermakna kita ini dhoif / lemah dalam keyakinan. Ini disebabkan perasaan syak dan dikuasai tidak yakin di dalam hati terhadap Allah kerana hati itu penakut terhadap manusia (makhluk). Nauzubillahi min zalik…

Apabila kita mengetahui bahawasanya tawakal itu kelakuan hati iaitu percaya kepada Allah 100%, perlu kita ketahui padanya ada tiga kelakuan :

Pertama : percaya dan iktikad kasih sayang Allah akan kita dan kuasa Allah yang menolong kita.

Kedua : lebih kuat daripada yang pertama seperti seorang anak meminta makan dan minum kepada ibunya. Kerana ia percaya ibunya sayang kepadanya dan hanya berusaha dan berfikir untuk memintanya.

Ketiga : lebih tinggi daripada yang kedua iaitu bahawa yang tawakal itu pada sisi Allah taala seperti orang yang sudah mati dihadapan tukang memandikan mayat atau ibu yang menyusukan anak bila sampai waktunya walaupun tidak meminta (menangis).

Adapun pekerjaan sesungguhnya telah menyangka orang yang bodoh bahawasanya syarat tawakal itu meninggalkan usaha, meni nggalkan mengubati dan menyerah diri bagi yang membinasakannya. Maka yang demikian ini adalah salah. Kerana yang demikian itu dilarang pada syara’ dan tawakal disuruh oleh syara’. Firman Allah Taala :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. Al-Baqarah : 286.

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Al-Baqarah : 195.

Sabda Rasulullah :

تداووا عباد الله فان الله تعالى لم يضع داء الا وضع له دواء غير داء واحد الهرم

“Berubat oleh kamu wahai sekalian hamba Allah, kerana bahawasanya Allah taala tiada menghantarkan ia akan penyakit melainkan menghantarkannya ia baginya akan ubat, melainkan satu penyakit iaitu tua”. Riwayat Imam Ahmad
Seseorang datang jumpa Rasulullah lalu berkata “ bolehkah aku lepaskan unta ini dan aku bertawakal? Bersabda Rasulullah “ ikat olehmu akan lutut unta engkau itu dengan tali dan engkau berserah kepada Allah”.

Wallahuaklam......
Mohon maaf dan teguran diatas khilaf dan kesilapan.
Ikhlas & Rahmat Allah bersama kita.
UstazMahfuzRoslan@UMAR.
Kongsikan dan sebarkan..sesungguhnya ianya ILMU ALLAH TAALA..

No comments: