Sunday, August 3, 2014

Zulumat

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Isnin, 8 Syawal 1435H)
ZULUMAT

Hampir setiap orang pernah melalui zaman 'Jahiliyyah' masing-masing. Saat itu, kita semua tenggelam dalam pelukan duniawi, jauh dari matlamat ukhrawi. Bahkan adakalanya ketika itu kita tidak mengenali Islam dengan mendalam sama ada sikap acuh tidak acuh kita tentang Islam atau pun lebih teruk lagi tak menyukai Islam. Pada zaman Jahiliyyah inilah disebut sebagai 'Zulumat' (kegelapan).

PENCERAHAN :
Ada yang melaluinya pada zaman 60'an, zaman R. Azmi. Ada yang melalui zaman 70'an, Zaman Pop Yeh Yeh. Begitu juga ada yang pernah hidup zaman 80'an, Zaman Retro !, 90'an, Zaman Battle Of The Band. Kemudian tahun 2000 dan ke atas Zaman Hip hop, K. Pop, Lollypop (macam gula-gula je) dan sebagainya.

Zaman remaja Ust Kay sendiri membesar dengan lagu-lagu dari kumpulan Wings, Search, Ella And The Boys, Lefthanded, BPR dan sebagainya...

Barangkali kita pernah merasai dan mengalami masa, saat dan pengalaman yang hampir sama. Sama-sama pernah hidup dalam kepompong jahiliyyah moden. Orang kata, zaman pencarian identiti. Lupa jati diri Islam dan tidak pernah berusaha mencarinya kerana memang telah Islam sejak lahir. Firman Allah dalam Al-Quranul Karim;

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُون

"Allah ialah pelindung orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." (QS Al-Baqarah : 257)

Mudah-mudahan kita telah melalui proses perubahan daripada kegelapan kepada cahaya itu. Bila Allah temukan kita dengan cahaya iman, maka akan terbuka luas pintu hidayah Allah dan jalan yang selama ini kabur dan berkabus. Sebahagiannya telah menemuinya dalam bulan Ramadhan yang lalu. Dulu rambut serabai sekarang tudung berjurai, dulu solat terabai sekarang tak pernah lalai. Dulu berseluar Yenki sekarang seluar ikut sunnah nabi. Alhamdulillah...

Namun kita jangan menyalahkan orang yang hingga saat ini, masih bergelumang dengan sifat jahiliyyah yang menebal. Sifat jahiliyyah yang menjadikan sebahagian daripada mereka terus buta kepada kebenaran. Akal mereka mungkin telah berada pada kelas pertama tapi hati mereka kelas tercorot. Macam-macam program dakwah, takkanlah masih tak mampu untuk membezakan antara yang benar dan yang salah.

Umur sudah lanjut tapi masih seronok mengenang dan meraikan zaman jahiliyyah dari dulu, kini dan (mudah-mudahan bukan) selamanya. Contohnya, masih ramai artis dan peminat zaman dahulu masih belum berubah-ubah. Masih seperti dulu... Sedangkan seseorang yang telah menerima cahaya, pasti akan berkelakuan seperti Saidina Umar r.a. Jangan lihat Umar sebelum Islamnya, tetapi pandanglah Umar setelah keluar dari zulumat !

Setelah Allah mengeluarkan beliau daripada kegelapan kepada cahaya keislaman, beliau dimuliakan hingga di saat beliau hidup lagi telah dijamin syurga baginya. Kita? Belum tentu lagi walaupun telah Islam sejak lahir...

Benarlah kata-kata beliau ; "Kita adalah suatu kaum yang Allah muliakan dengan Islam" Beringatlah wahai sahabat sekalian, tanya diri sendiri, adakah kita benar-benar telah Muslim (berserah diri) atau sekadar beragama Islam, tetapi masih berfahaman jahiliyyah...

KESIMPULAN :
Jika ada sesiapa merasakan dirinya masih berada dalam sisa-sisa Jahiliyyah, maka sahutlah seruan Ramadhan. Bermula Syawal ini, setelah kita kembali fitrah (suci bersih) jadikan ia sebagai titik tolak dan langkah baru dalam usaha kita untuk meninggalkan kegelapan kepada cahaya. Insya Allah ! Jalan ketenangan hanya dalam Islam. Wallahu a'lam - Dulu minat Search sekarang Google je... Ukay's

No comments: