السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Istimewa 'Idul Fitri) Ahad, 7 Syawal 1435H : RAYA MAKAN vs RAYA PUASA ENAM !
Rasanya mulai hari Isnin ini, 8 Syawal ramai yang sudah pasang niat untuk mula berpuasa sunat enam Syawal. Bagi mereka yang sedang atau akan berpuasa sunat enam, ini adalah satu dilema yang sukar dielakkan di hari raya ini, apatah lagi jika tuan rumah buat 'Open House' di waktu siang. Hendak datang atau pun tidak ya? Datang tapi tak dapat makan... Kambing Golek pulak tu !
PENCERAHAN :
Sehinggakan ada orang yang menjadikan alasan berpuasa sunat itu untuk tidak menghadiri jemputan ataupun menjadikannya alasan untuk tidak berpuasa enam kerana ada jamuan makan. Akhirnya dua-dua tak buat...
Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah tiket serta alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Ibnu Umar r.a misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Abu Hurairah r.a telah berkata bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.”
(HR : Muslim)
Orang yang diundang menghadiri jemputan sedangkan dia berpuasa, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya untuk makan. Jika puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa fardhu, misalnya puasa qada' Ramadhan atau puasa Nazar maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan dan sebagainya ke atas tuan rumah dan para hadirin.
Adapun jika sekiranya puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa sunat, maka adalah dibolehkan baginya untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu bahkan adalah sunat baginya untuk berbuka seandainya tuan rumah itu merasa tersinggung jika dia tidak memakan makanan yang dihidangkannya. Rasulullah SAW pernah menyuruh orang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, Baginda SAW bersabda;
"Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu." Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.” (HR : Al-Baihaqi)
Sama halnya dengan tuan rumah yang berpuasa. Sebagai menghormati tetamu, adalah lebih afdhal bagi tuan rumah itu untuk berbuka dan makan bersama-sama tetamunya.
Ini adalah kerana, jika membatalkan puasa kerana ada kemaslahatan dan keuzuran seperti ingin menemani tetamunya makan atau untuk menjaga hati tuan rumah, maka puasanya tadi itu tetap akan diberikan pahala, insya Allah ! Sungguhpun dia tidak dapat menyempurnakan puasanya sepertimana yang disebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj.
Akan tetapi jika tuan rumah atau tetamu itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika dia meneruskan puasanya, adalah lebih afdhal dan lebih utama baginya untuk terus berpuasa. Ini kerana, tidak meneruskan puasa sunat tanpa keuzuran adalah makruh di sisi hukum syara‘. Firman Allah SWT;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!" (QS Muhammad : 33)
KESIMPULAN :
Sekarang sudah menjadi kesedaran dan kecenderungan umum untuk berpuasa sunat enam Syawal. Alhamdulillah... Cuma jangan berpuasa kerana orang berpuasa, takut sia-sia! Orang yang berpuasa pun jangan asyik-asyik tanya orang " Dah habis puasa enam?" Sehingga orang menjadi rimas seakan-akan puasa wajib pula. Wallahu a'lam - Mulai esok juga CCUK akan bersiaran seperti biasa. Ukay's
No comments:
Post a Comment