السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Sabtu,13 Syawal 1435H)
MESYUARAT...
Manusia sentiasa akan mempunyai kepelbagaian pandangan atau pendapat (ikhtilaf) dalam setiap urusan mereka samada duniawi mahupun ukhrawi. Islam menerima perbezaan pendapat ini khususnya pada masalah-masalah yang berunsur cabang atau zanniyyat dan bukannya yang berunsur dasar atau qat‘iyyat.
PENCERAHAN :
Perkara juz’i (cabang) atau zanni (tidak muktamad) ialah perkara yang boleh menerima perbezaan pendapat manakala perkara kulli (dasar) atau qat‘i (muktamad) tidak sekali-kali boleh dipertikaikan. Perbezaan dalam perkara dasar atau muktamad inilah yang dikhuatiri menghasilkan kumpulan-kumpulan pecahan (al-firaq) dalam Islam. Maka mesyuarat lah jalan penyelesaiannya, sebagaimana firman Allah SWT ;
وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُم
"...dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu..." (QS Ali Imran: 159)
Selain ianya sunnah Rasulullah SAW, berkat sesuatu mesyuarat boleh menyebabkan tertangguhnya sebarang azab yang hendak diturunkan dan akan mempercepatkan turunnya Rahmat Allah Ta'ala. Tidak rugi mereka yang bermesyuarat dan tidak menyesal mereka yang bersolat istikharah untuk membuat sesuatu pilihan dan keputusan.
Setiap mesyuarat kerana Allah pasti ada kebaikannya. Allah SWT akan menghantar malaikat untuk menyertainya dengan syarat memenuhi syarat dan adab-adab bermesyuarat, antaranya ialah;
1) Lantik seorang Amir (Pengerusi) untuk mengendalikan mesyuarat.
2) Bermesyuaratlah dengan penuh tawajjuh kepada Allah Ta'ala. Iaitu dengan kasih sayang dan berniat untuk mengamalkannya.
3) Amir boleh meminta syor (cadangan /pandangan) dari sebelah kanan dan tidak semestinya meminta sy or dari setiap orang.
4) Janganlah merasakan syor kita sahaja yang terbaik lalu mendesak Amir dan ahli jemaah untuk menerimanya kerana ini akan menjauhkan kita dari mendapat nusrah (pertolongan) dari Allah Ta'ala.
5) Berilah syor dengan meletakkan kepentingan agama di depan dan kepentingan diri dan kepentingan dunia di belakang.
6) Hargailah dan hormatilah juga setiap pandangan dari orang lain. Janganlah mentertawakan atau memandang rendah.
7) Jika cadangannya ditolak hendaklah dia bersyukur dan jika diterima maka hendaklah beristighfar kerana mungkin cadangannya itu akan mendatangkan kemudharatan kepada agama dan orang lain.
8) Janganlah mengeluarkan sesuatu syor yang kita sendiri merasakan syor itu akan membawa kepada perpecahan dan keburukan.
9) Keputusan Amir tidak semestinya terletak kepada suara majoriti atau minoriti. Ramai belum tentu betul dan sikit belum tentu salah. Amir akan membuat keputusan mengikut petunjuk dan ilham dari Allah SWT.
10) Amir hendaklah membuat keputusan dengan adil, jujur dan ikhlas tanpa menimbulkan sebarang syak wasangka di kalangan ahli mesyuarat.
11) Apabila sahaja keputusan telah dibuat semua orang diwajibkan untuk akur dan menerima sepenuhnya keputusan mesyuarat.
12) Janganlah ada mesyuarat kecil selepas itu untuk mengkritik setuju atau tidak setuju. Mesyuarat sebelum mesyuarat adalah khianatdan mesyuarat selepas mesyuarat adalah fitnah.
KESIMPULAN :
Natijah sesebuah mesyuarat boleh mengangkat seseorang dan boleh menjatuhkan seseorang. Sebab itu adakalanya mesyuarat itu sangat digeruni oleh sesetengah pihak. Contohnya Mesyuarat 10 haribulan Ogos ini cukup dinanti-nantikan oleh hampir semua orang... Kalau ditunda, maka debarannya masih belum berhenti. Wallahu a'lam - Ahli Mesyuarat Tingkap ! Ukay's
No comments:
Post a Comment