Monday, August 4, 2014

Nur

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Selasa, 9 Syawal 1435H)
NUR

Semalam CCUK membicarakan persoalan tentang 'Zulumat' atau kegelapan, hari ini berkaitan tentang 'Nur' cahaya yang mampu menerangi kegelapan itu, insya Allah !

PENCERAHAN :
Nur atau cahaya itu ialah sesuatu yang menyebabkan kita nampak dengan jelas akan sesuatu daripada kegelapan. Baik dengan mata kepala kita (nazirah) atau mata hati (basirah). Ia adalah perlu untuk kehidupan manusia terutama dalam kehidupan yang berhubung dengan agama dan petunjuk atau hidayah daripada Allah SWT. Sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 35.

Menurut tafsiran Ibnu Kathir, tiga istilah yang disebut dalam ayat tersebut, iaitu Al-Misykat, Al-Zujajah dan Al-Mishbah dapat dianalogikan sebagai berikut;

Al-Misykat, yang berupa ‘lubang di dinding yang tidak tembus’, di analogikan sebagai jasad manusia. Al-Zujajah, berupa ‘gelok kaca bagaikan bintang yang berkilauan’, yang terdapat dalam lubang dinding itu adalah hati di dalam jasad manusia. Manakala Al-Mishbah pula berupa cahaya yang terpancar dari pelita yang terdapat di dalam gelok kaca Al-Zujajah, adalah sebenarnya bermaksud cahaya yang ada di dalam hati.

Kejernihan hati seorang mukmin dek kerana cahaya imannya, yang didapati dari hidayah Allah SWT. Maka cahaya iman itulah yang menerangi hatinya, lalu terus menerangi seluruh jasadnya pula. Dalam surah An Nur itu juga ada menyebutkan peranan minyak zaitun, dari pohon zaitun yang diberkati, yang menyalakan pelita tadi, yang minyaknya sahaja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak menyentuh api. Subhanallah….indahnya ayat-ayat Allah.

Ulama' membahagikan Nur itu kepada dua;
1) Nur Lahir (Hissi)
Cahaya menolong kita melihat sesuatu dengan mata kepala kita seperti cahaya sinaran matahari yang memberi kita cahaya terang dikala siang.

2) Nur Batin (Ma’nawi)
Cahaya monolog dalam diri melihat dengan mata hati terhadap sesuatu yang ghaib atau memahami sesuatu hakikat atau pengertian. Nu r Batin ini pula terbahagi pula kepada lapan;
1. Nur Al-Iman - Cahaya keimanan iaitu cahaya sejati yang dapat menembusi segala kegelapan dimana akan terpancar keagungan dan keesaan Allah SWT menyinari hati insan.
2. Nur Al-Qalb - Cahaya hati iaitu cahaya yang wujud dengan sempurna dengan memperoleh sinaran cahaya daripada nur Al-Iman.
3. Nur Ar-Ruh - Cahaya Ruh (jiwa) iaitu cahaya yang diperoleh dengan sebab kepatuhan yang sungguh-sungguh kepada Allah dan menyucikan peribadi sehingga ruhnya dapat berhubung dengan alam malaikat.
4. Nur An-Nafs - Cahaya peribadi yang wujud dengan sempurna berikutan dengan memperoleh sinaran dari pada Nur Ar-Ruh.
5. Nur As-Sirr - Cahaya rahsia yang diperoleh dengan mengenal Allah dengan sebenar-benar sehingga dapat menyaksikan keajaiban kebesaran Ilahi di Alam Malakut dan Syahadah. 6. Nur Al-Aqal - Cahaya akal yang wujud dengan sempurna dengan memperoleh sinaran cahaya daripada Nur As-Sirr.
7. Nur Al-Quran - Cahaya Quran yang merupakan Nur Allah SWT yang berhubung rapat dengan Zat-Nya. Nur inilah yang menimbulkan Nur As-Sirr dan nur yang lain.
8. Nur Al-kasyaf - Cahaya singkapan iaitu Nur Al-Quran yang merupakan nur yang paling tinggi dan mamberi kesan yang istimewa. Nur ini dapat menggilapkan cermin hati para insan dengan membaca ayat-ayat suci dan zikrullah.

Allah berfirman:
"Wahai manusia,sungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari tuhanmu
(Nabi Muhammad SAW dan mujizatnya) dan kami telah menurunkan kepadamu satu
cahaya (Al-Qur’an) yang terang benderang."
(QS An-Nisaa’ : 174)

KESIMPULAN :
Bagaimana cahaya iman di hati kita, kalau minyak dari hidayah Al Quran kian kering dan tandus. Mampukah cahaya itu terus menyinar menerangi ‘Raja Diri’ bagi membantunya membuat keputusan yang tepat untuk memperoleh sebaik-baik kebaikan dan melindungi diri dari seburuk-buruk keburukan. Wallahu a'lam - Nur 'Alan Nur. Ukay's

No comments: