السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Rabu,17 Syawal 1435H)
GELISAH...
Ust. Kay pernah menyampai tazkirah yang bertajuk 'Gelisah' ini di sebuah sekolah di satu sekolah di Jeram, Kuala Selangor. Bila Ust Kay tanya apa maksud gelisah, ada pelajar yang menjawab ; "Geli-geli basah ustaz !" Hahaha... Mungkin ada kebenarannya juga, ada sesuatu yang sangat menggelikan hati seseorang lalu tertawa terbahak-bahak sehingga terkencing di dalam seluar sehingga basah ! Tetapi betulkah maksud gelisah sedemikian?
PENCERAHAN :
Sebenarnya 'Gelisah' ini adalah satu jenis penyakit yang sering kali menyerang pertahanan hati. Gelisah boleh menjerumuskan seseorang kepada pelarian yang tidak sepatutnya, seperti malas belajar, malas bekerja, minum minuman keras dan terlibat dengan najis dadah, seks bebas, terdampar dalam dunia diskotik yang penuh dengan maksiat, dan berbagai sarana pelarian lainnya yang mengandung unsur-unsur maksiat.
Pelbagai cara boleh dilakukan sebenarnya untuk menghilangkan rasa gelisah ini. Antaranya ialah ;
1. Zikrullah (mengingati Allah SWT)
Berzikir merupakan satu cara yang sangat ampuh untuk mengubati penyakit hati ini. Firman Allah SWT ;
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang." (QS. Ar-Rad : 28)
2. Solat.
Solat mampu menjadi penawar kepada berbagai macam penyakit hati yang bersarang di dalam dada manusia. Ini kerana solat merupakan ibadah yang secara totalnya hanya diisi dengan doa, zikrullah dan kalam Allah.
Solat merupakan aktiviti komunikasi langsung dengan Allah SW., Zat yang menggenggam dan menguasai segala hati, yang menciptakan penyakit dan yang mampu menyembuhkannya.
3. Membaca dan mengamalkan Al Quran.
Senantiasa basahi lidah dan jiwa kita dengan lantunan kalam-kalam Allah yang termuat di dalam Al Quran, nesc aya ketenangan jiwa akan menjadi milik kita.
4. Bersyukur Kepada Allah SWT.
“...Jika kamu bersyukur akan kurnia-Ku, pasti Aku tambah untukmu, jika kamu ingkar, sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih”. (QS. Ibrahim: 7)
Dari gambaran ayat di atas, maka dapat difahami bahawa orang-orang yang senantiasa bersyukur akan memperoleh tambahan nikmat dari Allah. Hal ini tentu saja akan menambah ketenangan bagi mereka yang memperolehnya. Atau boleh jadi nikmat yang ditambahkan itu berupa nikmat ketenangan jiwa yang selalu dicari-cari oleh umat manusia.
5. Yakin akan pertolongan Allah.
Dengan meyakini bahawa pertolongan Allah SWT itu dekat, maka kegelisahan pun nescaya akan hilang. Kerana kita yakin bahawa Allah SWT pasti akan menolong hamba-Nya yang sangat-sangat memerlukannya.
“Bilakah datangnya pertolongan Allah?. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (QS Al Baqarah : 214)
6. Merenungi tanda-tanda kebesaran Allah.
Allah swt telah menciptakan alam ini dengan kekuasaan-Nya yang luar biasa. Dan di sanalah terdapat beraneka tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran-Nya bagi orang-orang yang mahu berfikir dan merenungkannya. Pakai psikologi menyatakan lihat warna alam iaitu 'HIJAU' pasti menenangkan... Ya hijau, bukan 'biru pekat' !
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal….” (QS. Ali Imran : 190)
KESIMPULAN :
Ramai orang sedang gelisah sekarang ini, terutamanya orang Selangor. Ini mungkin kerana suasana yang tidak menentu dan keinginan-keinginan yang dirasakan tidak akan terpenuh, maka isilah dengan Kebesaran Allah SWT, hati akan merasa cukup bila di dalam dada hanya ada Allah. Wallahu a'lam - Selalu zikir "Hasbi rabbi jalallah mafi qalbi ghairullah..." Ukay's
No comments:
Post a Comment