السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Istimewa 'Idul Fitri) Sabtu, 6 Syawal 1435H : RAYA BERMAAFAN !
Bermaaf-maafan adalah antara sifat terpuji yang perlu dilakukan sepanjang masa. Firman Allah bermaksud; “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) lebih dekat kepada taqwa”. (QS al-Baqarah: 237)
PENCERAHAN :
Menurut Imam Al-Ghazali, pengertian maaf itu ialah apabila anda mempunyai hak untuk membalas, lalu anda gugurkan hak itu, dan bebaskan orang yang patut menerima balasan itu, dari hukum qisas atau hukum denda.
Dia tidak bertindak membalas dendam atau sakit hati terhadap orang yang memusuhinya, walaupun dalam berkemampuan, melainkan memaafkannya kerana Allah semata-mata. Orang yang seperti inilah yang dikenali berhati emas, terpuji kedudukannya di sisi Allah. Memaafkan lawan di mana kita berada dalam posisi kita berkuasa, tetapi tidak bertindak sekehendak hati.
Memang kita berhak nak memaafkan atau tidak. Apatah lagi jika maaf itu berpunca daripada kesalahan yang disengajakan dan amat menyakitkan hati. Sesetengah orang mudah berkata "kosong-kosong ye !" Senangnya... Tidak semudah itu sebenarnya, jika dalam hati masih terdetik perasaan yang kurang menyenangkan mungkin juga masih ada benci! Mana ada kosong?
Sebab itu kena minta maaf sungguh-sungguh. Kalau boleh sampai berjurai air mata... Kalau berani dan kalau 'Jantan' sebut kesalahan kita itu satu persatu kepada orang yang berkenaan. Macam mana ? Ada brann? Namun sekiranya dengan pengakuan kita itu nanti dikhuatiri keadaan bertambah buruk, minta maaf secara umum sahaja lah !
Memaafkan kesalahan seseorang adalah tanda orang yang bertakwa. Memberi maaf jika telah diminta adalah biasa, tetapi memaafkan seseorang meskipun tidak diminta adalah luar biasa...! Sifat ‘tak kenal maaf’ atau ‘tiada maaf bagimu’ adalah sifat syaitan. Ia akan membawa keretakan dan kerosakan dalam pergaulan bermasyarakat. Masyarakat aman damai akan terwujud jika anggota masyarakat itu memiliki sikap pemaaf dan mengerti bahawa manusia tidak terlepas daripada salah dan silap.
Kadang kala kita rasa berat memaafkan seseorang apabila sering mengenangkan dosa-dosa orang tersebut kepada kita. Ingat pesanan Baginda Rasulullah SAW ;
“Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut.”
(HR. Tirmizi)
Kemaafan adalah dendam terindah buat saudaramu yang melakukan kesilapan. Berkata Luqman Al-Hakim, tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga keadaan;
1. Tidak dapat diketahui orang pemaaf melainkan ketika dia marah.
2. Tidak dapat diketahui orang yang berani kecuali ketika dia berjuang.
3. Tidak dapat dikenal seorang sahabat melainkan ketika kita dalam kesusahan.”
Hendak mendapat kemaafan dari orang lain, kena belajar mudah juga beri kemaafan kesalahan orang lain. Mulailah kemaafan itu dari diri kita sendiri... Maafkan diri sendiri dahulu... sebab ada orang yang tidak mampu memaafkan walaupun kesalahan diri sendiri. Kemudian barulah memaafkan kesalahan orang lain. Allah telah berfirman;
عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً
“Moga-moga Allah akan menukarkan keadaan kamu dengan orang-orang yang kamu bermusuh-musuhan itu dengan kasih sayang.” (QS al-Mumtahinah: 7)
Firman Allah SWT lagi;
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu?”
(QS An-Nur : 21)
KESIMPULAN :
Kita adalah manusia biasa, tidak sunyi daripada salah dan silap, manusia ada bermacam-macam kelemahan dan kekurangan. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Sempurna. Wallahu a'lam - Orang Jawa kata Manusia = Menuso, menus-menus kakehen duso ! Ukay's
No comments:
Post a Comment