Friday, July 4, 2014

RAMADHAN BULAN PERSAUDARAAN & ERATKAN SILATURRAHIM... 5/7/14

. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Sabtu, 7 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN PERSAUDARAAN & ERATKAN SILATURRAHIM - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Bulan Ramadhan mendidik diri untuk rasa lebih simpati, empati dan menginsafi nasib saudara seislam yang lain, lantas mengukuhkan lagi perasaan kasih sayang, silaturrahim dan persaudaraan sesama Islam. Kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam ini dapat digambarkan melalui penghayatan perlaksanaan ibadat sepanjang bulan Ramadhan ini.

PENCERAHAN :
Di antara kesan yang akan dapat di peroleh bagi mukmin yang benar-benar menghayati erti Ramadhan ialah:-

1. Menimbulkan perasaan belas kasihan dan kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim dan orang yang kurang upaya.
2. Menimbulkan kekuatan untuk menghadapi penderitaan dan kepayahan hidup seharian.
3. Menerbitkan kesedaran, keinsafan, keadilan dan timbang rasa dalam kehidupan seharian.
4. Merapatkan lagi jalinan silaturrahim di antara kaum kerabat melalui amal ibadat dilakukan bersama
5. Mewujudkan semangat persaudaraan Islam dan membentuk perpaduan serta kekuatan ummah.

Syeikh Ibn Qayyim al-Jauzi pernah menegaskan bahawa ibadah puasa dapat mengingatkan orang kaya akan penderitaan dan kelaparan yang melanda orang miskin. Syeikh Muhammad Abduh pula ketika mentafsirkan ayat mengenai kewajipan berpuasa dalam Tafsir al-Manar menyatakan bahawa dari sudut kemasyarakatan, puasa itu melahirkan persamaan antara orang kaya dan orang miskin, antara raja, penguasa, ketua negara dengan rakyat jelata. Ini kerana mereka sama-sama berada dalam kedudukan yang serupa iaitu melaksanakan kewajiban berpuasa, sama-sama letih, sama-sama lapar dan sama-sama dahaga.

Dr Wahbah al-Zuhaily dalam bukunya 'Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh,' menyatakan bahawa puasa dapat menumbuhkan naluri kasih sayang, ukhuwah, dan perasaan keterikatan dalam tolong-menolong yang dapat menjalin rasa persaudaraan sesama umat Islam dan mengeratkan lagi silaturrahim dalam hubungan kekeluargaan.

Allah SWT paling benci kepada mereka yang memutuskan persaudaraan dan silaturrahim. Abul Laits berkata: "Ketahuilah bahawa silaturrahim itu mengandungi sepuluh keuntungan," iaitu:

1) Mendapat keredhaan Allah SWT sebab Allah menyuruh kita untuk bersilaturrahim
2) Menggembirakan orang mukmin kerana ada hadis yang mengatakan bahawa amalan yang paling utama ialah menyenangkan orang mukmin
3) Kegembiraan malaikat kerana malaikat suka dengan orang yang bersilaturrahim
4) Mendapat pujian kaum muslimin
5) Menjengkelkan Iblis laknatullah
6) Memanjangkan umur
7) Menambahkan berkat rezekinya
8) Menyenangkan orang-orang yang telah meninggal dunia kerana arwah senang jika warisnya bersilaturrahim
9) Memupuk rasa cinta di kalangan keluarga sehingga suka membantu bila memerlukan bantuan mereka
10) Bertambahnya pahala jika ia meninggal dunia sebab selalu diingati kerana kebaikannya bersilaturrahim

Menjadi kewajiban setiap muslim untuk berlaku baik dan mengambil berat kepada semua sesama Islam seperti satu keluarga yang besar. Menghubungkan silaturrahim pula bermaksud hubungan keluarga yang ada keretakan. Hubungkanlah silaturrahim dengan mereka & lupakan kebencian dan padamkan api dendam & berlaku baik dan tunjukkan kasih sayang kepada mereka lebih-lebih lagi bulan Ramadhan yang mulia ini. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran;

" Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik apabila engkau berlaku yang demikian maka orang yang merasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib." (QS Fussilat : 34)

Kita hendaklah saling memaafkan dan melupakan di atas sebarang kesilapan, persengketaan atau perselisihan yang lalu. Apatah lagi perkara-perkara yang boleh memutuskan hubungan kasih sayang, persaudaraan antara sesama muslim dan meretakkan silaturrah im dalam hubungan kekeluargaan pada sebelum Ramadhan yang lalu. Inilah masanya untuk kita bina semula hubungan dan ukhuwah yang baru dan lebih kukuh melalui perlaksanaan ibadat bersama. Antaranya ialah;

1) Sahur dan berbuka puasa beramai-ramai.
Api permusuhan itu dapat dilenyapkan apabila kita mula makan bersama. Duduk bersama, bersembang dan meluahkan apa-apa permasalahan secara syura iaitu perbincangan secara sihat. Maka manfaatkanlah saat-saat waktu sahur atau waktu berbuka puasa dengan menjamu bersama-sama. Nabi dan para sahabat sentiasa makan bersama-sama dalam setiap majlis. Ini sebagai tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan silaturrahim di antara mereka.

2) Solat Fardhu dan Solat Sunat Terawih berjamaah.
Sepanjang bulan Ramadhan ini kita merasa ringan untuk pergi ke masjid atau surau untuk satu tujuan yang sama iaitu beribadat kepada Allah. Ada yang datang dari pelbagai tempat, dengan pelbagai cara dan pelbagai 'warna' baju. Ada yang suka memakai baju warna 'hijau', ada yang baru tukar suka memakai baju warna 'biru muda', ada yang dari dulu, kini dan selamanya suka memakai baju warna 'biru pekat' ataupun ada yang memakai baju warna 'merah' sekalipun, bila berada di dalam masjid atau surau boleh berada pada saff yang sama dan menghadap kiblat yang sama. Selesai solat berselawat dan bersalaman bersama-sama, Alhamdulillah... mudah-mudahan dapat diteruskan selepas solat dan selepas Ramadhan berlalu.

3) Tadarus Al-Quran bersama-sama.
Di bulan Ramadhan ini juga peluang kita untuk membina ukhuwah adalah dengan cara bertadarus al-quran.
Dengan membaca bersama-sama, hati kita akan diikat dengan ayat suci al-Quran. Sejahat mana pun manusia, jika hatinya mula tersentuh dengan ayat-ayat al-quran, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya dari berubah dan bertaubat. Insya Allah...

Itulah mukjizat al-quran. Jika ia dibaca dengan penuh keyakinan, maka dia mampu memagari hatinya dari sebarang permusuhan dan perkara-perkara negatif. Ada ahli jemaah yang bertadarus suka pada tahlilan, ada pula yang tida k suka, ada yang suka keluar 3 hari, 40 hari atau 4 bulan dan ada yang tak gemar berdakwah dengan cara itu dan pelbagai aliran lagi dapat duduk bersama sewaktu bertadarus Al-Quran. Jadikan al-quran sebagai pengikat hati yang bertelingkah. Sesungguhnya Al-Quran itu sangat berguna buat orang-orang beriman.

Banyak lagi sebenarnya penyelesaian hubungan persaudaraan, perpaduan dan silaurrahim yang boleh kita ambil dari bulan Ramadhan ini. Diharapkan ia dapat membuka kembali pintu ukhuwah di kalangan kita, dan melindungi kita dari terjebak kembali dari api permusuhan dan kebenciaan.

Ayuh kita jadikan bulan Ramadhan ini benar-benar bulan rahmat buat kita. Binalah ukhuwah dalam bulan Ramadhan dan istiqamahkanlah ia selepasnya. Bermaafanlah kerana Allah, kerana Allah suka kepada hamba-Nya yang saling bermaafan. Amalkan bersahur dan berbuka puasa secara bersama-sama kerana padanya hikmah yang sangat besar. Berpimpinan tanganlah untuk ke masjid atau surau bersama-sama untuk tunaikan solat fardhu dan Solat Sunat Terawih berjemaah. Ambillah manfaat dari majlis tadarus al-quran secara berjemaah. Kerana ia mampu mengikat hati kita dari sebarang permusuhan.

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Salah satu mustajabnya doa adalah doa orang yang berpuasa sehingga ia berbuka. Maka berdoalah kita bersama-sama “ Ya Allah, Engkau hapuskanlah permusuhan di antara kami dan juga umat Islam. Engkau tanamkanlah kasih-sayang di antara kami. Engkau redhailah hubungan kami sesama muslim. Dan janganlah Engkau murkai terhadap kami, kerana kami tidak sanggup menangung azab seksaaan api neraka-Mu” Aamiin Ya Rabb. Wallahu a'lam - Hijau + Biru muda + Biru pekat + Merah = Putih juga akhirnya (kain kapan). Ukay's.

No comments: