Saturday, July 5, 2014

RAMADHAN BULAN SUBMIT PERMOHONAN - 6/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Ahad, 8 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN SUBMIT PERMOHONAN - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Doa dari sudut bahasa ialah memalingkan sesuatu kepada anda dengan suara dan kata (Maqayis al-Lughah). Menurut Ibnu Manzur do'a dari segi asal bahasa ialah menyeru (Lisan al-‘Arab).

Manakala do'a menurut istilah syara' menurut al-Imam al-Khattabi ialah pemohonan pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba dari Tuhannya dan hakikat do'a iaitu menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya termeterai pengagungan terhadap Allah SWT dan pengiktirafan segala sifat kemulian dan kepemurahan-Nya. (Sya’n ad-Do'a). Sepertimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran;

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنّي فَإِنّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku...” (QS Al-Baqarah : 186)

Allah SWT sangat suka kepada hamba-Nya yang meminta kepada-Nya. Kalau manusia mungkin lama-lama akan marah sebab asyik diminta-minta sahaja tetapi tidak bagi Allah. Kerana, manusia yang berdo'a, meminta dan memohon kepada Allah tanda ingatan dan pengharapan kita hanya pada-Nya. Malah Allah akan menempelak orang yang sombong tidak mahu berdo'a. Sebagaimana firman Allah lagi di dalam ayat yang lain;

وَقَالَ رَبُّكُـمْ ٱدْعُونِى أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دٰخِرِينَ

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan do'a permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdo'a kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (QS Ghaafir: 60)

Banyak perkara yan g kita perlu mohon kepada Allah sebenarnya, sebab manusia ini lebah dan serba kekurangan. Bukan sahaja nikmat atau cita-cita yang diidamkan pada masa hadapan, namun kita juga perlu memohon agar tidak dihilangkan nikmat dan cita-cita yang telah dicapai. Insan sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Kehidupan ini jauh lebih besar dari kudrat seorang insan untuk dia mengawalnya. Betapa ramai... manusia yang merasai diri mereka hebat, tetapi akhirnya tumbang dan tewas. Betapa canggih dan gahnya MH370 namun sehingga hari ini hilang entah kemana.

Semakin dekat insan dengan Allah, semakin mustajab do'anya. Kemustajaban do'a sangat berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdo'a. Semakin tertumpu perasaannya kepada kebesaran Allah, semakin pantas do'anya dimustajabkan. Sebenarnya, bukannya susah untuk berdo'a, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk yang menyebabkan do'a mustajab.

Ramai orang tersalah sangka dalam hal ini. Mereka hanya tertumpu kepada waktu, ungkapan dan tempat berdoa tetapi melupai perkara asas iaitu kekhusyukan diri insan yang berdo'a itu. Maka jangan hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan do'anya sekalipun dia berada di Mekah, ataupun berada pada bulan Ramadhan. Walaupun unsur tempat yang mustajab ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun dia gagal memenuhi perkara yang asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan penuh erti seorang hamba.

Setelah kita memahami hal ini, maka kita cuba memahami bahawa Allah menjanjikan untuk memustajabkan do'a mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan Ramadhan dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadhan pula waktu yang Allah sayang disebabkan bulan pilihan-Nya dan suasana hamba-hamba-Nya taat kepada-Nya. Hamba-Nya sanggup berlapar dahaga dengan meninggalkan makan-minum dan keinginan nafsu syahwat semata-mata kerana-Nya, takkan lah Allah tidak akan 'approve' do'a dari hamba-Nya yang taat itu. Nabi SAW bersabda;

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, do'a yang tidak ditolak ketika dia berbuka”. (HR : Ibn Majah dan A l-Hakim)

Namun demikian do'a tertolak walaupun di bulan Ramadhan ini bukan hanya kerana tidak khusyuk tetapi juga disebabkan beberapa kesalahan lain, seperti;
1. Kurang ikhlas dan tergesa-gesa
2. Tidak rendah hati, berlagak atau riya'
3. Tidak sepenuhnya memohon keredhaan Allah
4. Tidak yakin doanya dikabulkan
5. Mengeraskan suara atau terlalu tinggi picingnya
6. Mendo'akan keburukan untuk orang lain
7. Bosan mengulang-ulang do'a (taukid kena ulang 3 kali)
8. Berdo'a cuma untuk kebaikan diri sendiri tak pernah berdo'a untuk orang lain terutama kepada orang tuanya
9. Berdo'a kepada selain Allah
10. Berdo'a tetapi hatinya kosong
11. Berdo'a dengan bahasa lain tetapi tidak tahu ertinya
12. Berdo'a tidak di waktu dan tempat yang tepat
13. Melampaui batas saat berdo'a
14. Berdo'a dengan malas dan kurang ikhlas
15. Berdo'a terlalu panjang berjela-jela
16. Berdo'a lebih mementingkan syair daripada isi do'a
17. Berdo'a yg mengandungi permusuhan dengan orang
18. Berdo'a dengan kalimah terlalu khusus seperti hendak 'mengajar' Allah pula apa yang baik untuk dirinya.
19. Berdo'a tanpa dimulai dengan bacaan tahmid dan selawat kecuali doa dalam bentuk lintasan hati.
20. Makan makanan dan minuman haram serta memakai pakaian yang haram atau dari sumber yang haram
21. Berdo'a tetapi buruk sangka pada Allah
22. Berdo'a dengan ucapan "Ya Allah... jika Engkau mahu... semoga, mudah-mudahan seperti tidak yakin
23. Do'a meminta perbuatan dosa diterima
24. Mendo'akan keburukan untuk diri sendiri, anak, harta dan orang lain
25. Berdo'a mengharap segera mati
26. Berdo'a minta disegerakan seksa dunia
27. Berdo'a ketika sedang perlu sahaja
28. Berdo'a tetapi putus asa
29. Berdo'a tetapi seolah-olah memaksa Allah untuk memperkenankannya. Siapa kita hendak mendesak Allah menuruti kemahuan kita... sepatutnya merayu, merintih !
30. Berdo'a tetapi terpaksa, jika tidak tak berdoalah jawabnya.

Justeru, Ramadhan ini bulan yang sangat diberkati. Puasa pula menjadikan kita bersih jiwa dan nurani. Gabungan keberkatan bulan dan kebersihan jiwa men jadikan do'a kita mustajab. Jika sekadar bulan yang diberkati sedangkan jiwa kita tetap kotor, maka janji Allah ini atau makbul do'a itu mungkin bukan untuk kita.

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Doa mempunyai pengertian tersendiri dan konsep yang menjadikan ia cukup berlainan dan berbeza dengan kata-kata biasa. Ini kerana doa merupakan ibadat kerohanian yang cukup tinggi nilainya, di mana setiap insan akan merasakan betapa tingginya penghargaan dan pergantungan dengan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Jangan malas dan salah dalam berdo'a selain tidak khusyuk. Wallahu a'lam - Semalas-malas orang berdoa "Ya Allah macam biasa Ya Allah, Aamiin !" Ukay's.

No comments: