Friday, July 18, 2014

Shukur... 19/7/14

-VAKSIN HATI TONIK IMAN-
KITAB PENAWAR BAGI HATI

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

�� SYUKUR ��

Syukur adalah hamba yang menggunakan akan segala nikmat Allah Taala kepadanya seperti mendengar, melihat, kaki, tangan dan lainnya kepada ketaatan terhadap AllahTaala. Contohnya menggunakan pendengaran dengan mendengar al-Quran, Hadis dan ilmu yang manfaat. Menggunakan kaki untuk berjalan ke masjid dan mengerjakan Haji. Menggunakan tangan untuk memerangi orang kafir yang bermusuh kepada Islam dan sebagainya.

Sesungguhnya syukur adalah setinggi pangkat seorang hamba. Lebih tinggi daripada sabar, zuhud, khauf dan lainnya kerana syukur itu adalah dimaksudkan pada diri hamba, bersalahan sabar yang dimaksudkan dengan menguasai hawa nafsu. Zuhud yang dimaksudkan dengan lari daripada dunia. Orang yag bersyukur akan berkekalan ia didalam syurga Allah. Firman Allah :

دَعْوَاهُمْ فِيهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَن الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين

“Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam!”. Yunus : 10

Oleh kerana syukur adalah setinggi-tinggi pangkat maka tidak ramai manusia yang sampai kepadanya.

Firman Allah :

يَعْمَلُونَ لَهُ مَا يَشَاءُ مِنْ مَحَارِيبَ وَتَمَاثِيلَ وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ وَقُدُوررَاسِيَاتٍ اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

“Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): "Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.” As-Saba : 13

وَإِذْ ت أَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. Ibrahim : 7

“Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)”. An-Nisa : 147

Rasulullah apabila melakukan solat Tahajud, baginda akan menangis. Maka bertanya Aisyah r.h : apa yang membuatkan Rasulullah menangis? Sesungguhnya Allah telah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang. Jawab Rasulullah : adakah aku ini hamba yang banyak bersyukur kepada Allah? Diceritakan oleh Ibnu Hibban di dalam Sohihnya.

Syukur dihimpunkan padanya tiga perkara :

Pertama : Ilmu
Kedua : kelakuan
Ketiga : pekerjaan

Adapun ilmu mengajar kita segala nikmat itu adalah daripada Allah. Bukan daripada makhluk hingga rasa takut kepadanya. Makhluk itu lemah dan tiada upaya memberi nikmat (rezeki) kepada manusia walaupun dia seorang sultan atau raja atau menteri besar atau pengarah atau sebagainya. Apabila di dalam hati kita marasai semua nikmat Allah yang punya, berfirman Allah :

وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيْه تَجْأَرُونَِ

Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan”. An-Nahlu : 53

Adapun kelakuan adalah kita sukacita dengan Allah yang memberi nikmat serta kita membesar-besarkannya, dan menghina diri sendiri yang lemah dan hina.

Adapun pekerjaan adalah kita menggunakan segala nikmat yang Allah bagi pada perkara yang Allah perintahkan, dan tidak kepada perkara yang dilarang Allah. Contohnya menggunakan mata untuk melihat al-Quran dan Kitab Hadis dan Ilmu y ang memberi manfaat. Jangan kita menggunakan nikmat mata dengan melihat perkara yang haram seperti perempuan ajnabi.

Tidak sempurna syukur itu melainkan dengan meluaskan rasa syukur dengan melihat tiap-tiap suatu perkara itu ada hikmah dan rahsia, dan dengan kasih sayang Allah maka kita mengerjakan syukur itu. Sebaliknya jika tidak dapat melihat hikmah dan rahsia, hendaklah melazimkan diri dengan mengikut sunnah Nabi s.a.w. kerana hikmah dan rahsia Allah amat banyak dan besar.

Manusia yang melakukan maksiat telah kufur kepada nikmat Allah yang begitu banyak daripada Allah, sekalipun maksiat itu dosa yang kecil seperti orang yang melihat perempuan ajnabiah, maka telah kufur ia akan nikmat mata. Qiaslah kita kepada maksiat yang lain sama ada kecil atau besar.

Sesungguhnya tidak sempurna syukur itu melainkan dengan ikhlas kerana Allah yang Maha Esa. Tidak kerana sesuatu yang lain daripadanya.

Wallahuaklam......
Mohon maaf dan teguran diatas khilaf dan kesilapan.
Ikhlas & Rahmat Allah bersama kita.
UstazMahfuzRoslan@UMAR.
Kongsikan dan sebarkan..sesungguhnya ianya ILMU ALLAH TAALA.. َ

No comments: