Monday, July 21, 2014

RAMADHAN BULAN KESYUKURAN -... 21/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Isnin, 23 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN KESYUKURAN - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Syukur Alhamdulillah kita sudah berada pada penghujung Ramadhan. Setelah kita melalui fasa awalnya yang penuh kerahmatan, pertengahannya pengampunan dan sekarang kita berada fasa terakhir tarbiyah Ramadhan iaitu untuk mendapat pelepasan dari ancaman azab api neraka dari Allah SWT. Nikmat yang seharusnya kita sangat syukuri masih berada pada bulan ini...

PENCERAHAN :
Ar-Raghib Al-Isfahani salah seorang yang dikenal sebagai pakar bahasa Al-Quran menulis dalam Al-Mufradat fi Gharib Al-Quran, bahawa kalimah 'Syukur' mengandungi pengertian gambaran dalam fikiran tentang nikmat dan menampakkannya ke permukaan. Sementara sebahagian ulama memberi makna 'syakara' yang bererti 'membuka', perkataan berlawan dengan 'kafara' (kufur) yang bererti menutup (salah satu ertinya adalah) melupakan nikmat dengan menutupinya. Firman Allah SWT;

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih." (QS Ibrahim: 7)

Syukur mencakupi tiga bahagian, iaitu;
a. Syukur dengan hati, iaitu kepuasan batin atas anugerah. Lantas hatinya sentiasa ingat pada Allah.
b. Syukur dengan lidah, dengan mengakui anugerah dan memuji pemberinya dengan ucapan 'Alhamdulillah'
c. Syukur dengan perbuatan, dengan memanfaatkan anugerah yang diberi. Contoh mensyukuri kesihatan tubuh badan dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Imam Ghazali menegaskan bahawa mensyukuri anggota tubuh yang diberikan Allah SWT meliputi tuju h anggota;
(1) Mata, mensyukuri nikmat ini dengan tidak mempergunakannya untuk melihat hal-hal yang maksiat. (2) Telinga, digunakan hanya untuk mendengarkan hal-hal yang baik dan tidak pada yang lagha.
(3) Lidah, untuk baca Al-Quran, banyak memanjatkan doa serta zikrullah dan puji-pujian kepada Allah SWT.
(4) Tangan, digunakan untuk melakukan kebaikan-kebaikan terutama untuk diri sendiri dan orang lain.
(5) Perut, dipakai hanya untuk memakan makanan yang halal/baik dan tidak berlebih-lebihan.
(6) Kemaluan (seksual), untuk dipergunakan di jalan yang diredhai Allah SWT dan memelihara diri dari zina.
(7) Kaki, digunakan untuk berjalan ke tempat-tempat yang baik, seperti ke masjid, naik haji ke Baitullah, mencari rezeki yang halal dan menolong sesama umat manusia.

Oleh itu, hakikat sebenar orang yang puasa di Bulan Ramadhan ini seharusnya bukan sekadar puasa perut sahaja, tetapi hendaklah juga enam anggotanya yang lain juga. Supaya mendapat pahala puasa dengan sempurna.

Ini kerana, Al-Quran secara tegas menyatakan bahawa manfaat syukur akan kembali kepada orang yang bersyukur, sedangkan Allah SWT sama sekali tidak memperoleh bahkan tidak memerlukan sedikit pun dari syukur makhluk-Nya. Maksudnya, Allah tidak akan terjejas sekiranya kita tidak bersyukur kepada-Nya tetapi kitalah yang akan terjejas nasib kita di akhirat nanti.

KESIMPULANNYA :
Hendaklah manusia redha terhadap rezeki yang telah ditentukan Allah bagi dirinya, serta tidak lupa mensyukuri segala nikmat-nikmat yang dikurniakan untuknya termasuklah nikmat beribadat pada Ramadhan ini. Sambil pohonlah tambahan dari kurnia-kurnia Tuhan itu sebanyak yang perlu, kerana perbendaharaan langit dan bumi itu adalah dalam genggaman Allah SWT jua. Wallahu a'lam - Bersyukur dapat terus bercuit-cuit pada Ramadhan ini. Ukay's.

No comments: