-VAKSIN HATI TONIK IMAN-
KITAB PENAWAR BAGI HATI
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
RIAK
Riak adalah satu sifat yang terdapat di dalam hati agar dipandang tinggi oleh manusia dengan ibadat dan kerja kebajikan yang dilakukannya atau mahukan manfaat dunia seperti pujian dan harta daripada ibadat yang dilakukannya. Sesungguhnya riak adalah kelakuan yang dicela dan ijmak ulamak mengharamkan bahkan ianya syirik yang kecil. Firman Allah :
ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِہِمۡ سَاهُون ٱلَّذِينَ هُمۡ يُرَآءُونَ فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ
“Kecelakaan bagi orang-orang yang melakukan solat (4). Yang lalai dari solat mereka (5); Juga orang-orang yang riya'(6)”. al-Ma’un :4-6
Sabda Rasulullah :
إنَّ أخوفَ ما أخافُ علَيكم الشِّركُ الأصغرُ وهو الرياء يقول الله يوم القيامة للمرائين اذا جزى الله الناس بأعمالهم اذهبوا الى الذين كنتم تراءون فى الدنيا انظر واهل تجدون عندهم جزاء
“sesungguhnya perkara yang aku takuti keatas diri kamu adalah syirik kecil iaitu riak. Berfirman Allah pada hari qiamat bagi sekalian yang riak apabila ingin dibalas segala amalan mereka itu : pergi oleh kamu kepada mereka yang engkau lakukan ibadat kerananya di dunia, dan mintalah balasan ganjaran daripada mereka, (nescaya tidak berupaya mereka membalasnya)”. Beginilah mereka yang riak yang hanya mendapat penat dan tiada pahala.
Riwayat imam Ahmad.
Sabda Rasulullah :
ان الله حرم الجنة على كل مراء
“bahawasanya Allah mengharamkan syurga kepada orang-orang yang riak”.
Riak terbahagi kepada enam keadaan :
Pertama : riak dengan tubuh badan seperti menunjukan dirinya yang kurus dan pucat supaya orang menyangka ia seorang yang kuat ibadah di malam hari dan puasa di siang hari.
Kedua : riak dengan kelakuan seperti menunduk kepala dan memejam mata supaya disangka orang dia seorang yang memikirkan akhirat.
Ketiga : riak dengan pakaian seperti memakai ia akan pakaian yang buruk dan bertampal supaya disangka ahli tasawuf.
Keempat : riak dengan perkataan seperti memberi ceramah, nasihat, baca al-Quran, ha dis dan berzikir di hadapan orang tetapi tidak ikhlas kerana Allah.
Kelima : riak dengan pekerjaan seperti memanjangkan rukuk dan sujud apabila dihadapan orang lain.
Keenam : riak dengan ramai anak murid dan berjumpa dengan ramai guru.
Maka sekalian yang diatas adalah haram bahkan berdosa besar. Tetapi jika ia memakai pakaian yang mewah dan cantik untuk disebabkan kerja dan tugasan seperti manjadi cikgu di sekolah atau pegawai kerajaan maka ianya diharuskan selagi mana tiada perasaan takabbur dan seumpamanya.
Riak yang lebih besar adalah :
Pertama : riak munafiq. Ia menzahirkan iman tetapi hatinya kafir. Ini lebih teruk dan jahat daripada syirik yang nyata.
Kedua : riak dengan ibadat yang wajib. Apabila ia dihadapan orang maka ia akan melakukan solat tetapi jika ia berseorangan tidak melakukan solat.
Ketiga : tidak riak dengan perkara fardhu tetapi riak dengan perkara sunat. Melakukan ibadat sunat di hadapan orang tetapi apabila bersendirian ia malas mengerjakannya.
Ubat bagi sifat riak ada tiga perkara :
Pertama : tidak suka dipuji
Kedua : tidak takut dicela manusia
Ketiga : tidak tamak kepada harta dunia
Diriwayatkan bahawa pada hari qiamat nanti akan diseru nama orang yang riak dengan empat panggilan :
Wahai orang yang riak, wahai orang yang sesat, wahai orang yang jahat, wahai orang yang rugi, pergilah ambil pahala daripada orang yang engkau beramal kerananya, sesungguhnya tiada pahala engkau disisi Allah. Adapun riak ini seperti madu yang diletak racun didalamnya. Jika manusia mengetahui maka tidak akan minum madu tersebut. Janganlah kita membeli pujian manusia tetapi belilah pujian dari Maha Pencipta dan janganah takut celaan manusia tetapi takutlah celaan yang Maha Pencipta.
Terakhirnya, bagi menjaga hati daripada riak, sembunyikanlah ibadah yang kita lakukan seperti kita sembunyikan kejahatan yang kita lakukan. Harus bagi kita menzahirkan ibadah kita supaya orang lain boleh ikut dan belajar tetapi dengan syarat IKHLAS, dan mampu mengawal perasaan riak.
Buat sesuatu kerana manusia syirik huk u
mnya, dan meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia itu adalah riak. Marilah bersama kita mohon keampunan daripada Allah dan berlindung dari sifat riak di bulan Ramadhan yang mulia ini..
Wallahuaklam......
Mohon maaf dan teguran diatas khilaf dan kesilapan.
Ikhlas & Rahmat Allah bersama kita.
UstazMahfuzRoslan@UMAR.
Kongsikan dan sebarkan..sesungguhnya ianya ILMU ALLAH TAALA..
No comments:
Post a Comment