Monday, July 7, 2014

TARBIYAH RAMADHAN : GANJARAN PUASA DAN QIYAM BERTERUSAN....7/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
إخوة استاذ حذري البنداني

TINTA TARBAWI:

TARBIYAH RAMADHAN : GANJARAN PUASA DAN QIYAM BERTERUSAN.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَن وَالَاهُ
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

السَّاعِى عَلَى اْلأَرْمَلَةِ وَالْمِسْكِيْنِ كَالْمُجَاهِدِ فِيْ سَبِيْلِ اللهِ –وَأَحْسِبُهُ قَالَ-: وَكَالْقَائِمِ لاَ يَفْتُرُ وَكَالصَّائِمِ لاَ يُفْطِرُ.

“ Orang yang membiayai kehidupan para janda dan orang-orang miskin bagaikan orang yang berjihad fii sabiilillaah.” –  Aku (perawi) kira baginda bersabda-, “Dan bagaikan orang yang shalat tanpa merasa bosan serta bagaikan orang yang berpuasa terus-menerus” (HR. Muslim no. 2982).

Huraian :

Wahai saudara-saudaraku yang dikasihi, semoga rahmat Allah sentiasa buat kita semua. Semoga dengan barakah dan rahmat Allah di bulan ramadhan ini doa dan hajat kita dikabulkan..

Hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya kita mempunyai sikap perihatin terhadap kaum muslimin yang tak terbela seperti janda dan orang miskin. Tarbiyah ramadhan yang sedang kita lalui ini mengajar kita erti lapar dan dahaga, susah dan derita agar tercuit di sanubari kita perasaan belas kepada mereka yang dhaif dan serba kekurangan.

Mencintai orang miskin adalah sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Kecintaan baginda kepada mereka jelas tergambar dalam doa baginda :

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَتَرْكَ الْمُنْكَرَاتِ وَحُبَّ الْمَسَاكِينِ وَأَنْ تَغْفِرَ لِى وَتَرْحَمَنِى وَإِذَا أَرَدْتَ فِتْنَةَ قَوْمٍ فَتَوَفَّنِى غَيْرَ مَفْتُونٍ أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَحُبَّ عَمَلٍ يُقَرِّبُ إِلَى حُبِّكَ

 (Ya Allah, aku memohon kepada-Mu untuk mudah melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran serta aku memohon pada-Mu agar mencintai orang miskin, ampunilah daku, rahmatilah daku, jika Engkau menginginkan untuk menguji suatu kaum maka wafatkanlah daku dalam keadaan tidak terfitnah. Aku memohon agar dapat menci ntai-Mu, mencintai orang-orang yang mencintai-Mu dan mencintai amal yang dapat mendekatkan diriku kepada cinta-Mu)”. (HR. Tirmidzi no. 3235 dan Ahmad 5: 243 )

Segugus doa dari baginda jelas menggambarkan kepada kita kecintaannya kepada orang miskin dan belas ehsan seorang nabi kepada mereka yang memerlukan.

Saudara-saudaraku sekalian!

Di Ramadhan ini, hulurkanlah bantuan ringankanlah beban.. sedarlah memberi bantuan kepada orang miskin dan orang-orang susah adalah jalan rahmat untuk beroleh kemudahan di hari kiamat. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ…

“Barangsiapa menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang mukmin, Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan kesulitan orang yang terbeban hutang, Allah akan memudahkan atasnya di dunia dan akhirat ” (HR. Muslim no. 2699).

Saudara-saudaraku sekalian!

Di Ramadhan ini , pandanglah sekitarmu apakah ada orang yang dalam kesusahan.. isteri yang kematian suami yang amat mengharapkan bantuan, anak-anak yang tiada ibu bapa yang menagih kasih sayang, fakir yang malu untuk meminta-minta.. ingatlah rahmat dan pertolongan Allah terus turun buat kita lantaran kerana kesabaran, ketabahan dan doa mereka. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

هَلْ تُنْصَرُوْنَ وَتُرْزَقُوْنَ إِلاَّ بِضُعَفَائِكُمْ

“Kalian hanyalah mendapat pertolongan dan rezeki dengan sebab adanya orang-orang lemah dari kalangan kalian” (HR. Bukhari no. 2896).

Saudara-saudaraku!

Di ramadhan ini, hampirkan dirimu kepada mereka. Pandanglah mereka dengan penuh kasih belas. Anggaplah mereka peluang untukmu merebut ganjaran yang besar dari Allah. Ia akan buatkan kita lebih bersyukur dan tawadhuk dalam kehidupan. Benarlah pesan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam :

انْظُرُوا إِلَى مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ

“Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam hal kehidupan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam kekayaan dunia ). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu” (HR. Muslim no. 2963).

Kesimpulan  :

Salah satu natijah dari ibadah puasa adalah perihatin dengan saudara-saudara kita yang dalam kesusahan. Tidakkah kita semua amat mengharapkan ganjaran pahala berpuasa dan qiyamullail di ramadhan ini? Jadi kenapa pula dibiarkan ganjaran pahala puasa dan qiyamullail yang berterusan dengan menghulurkan bantuan buat mereka yang dalam kesusahan.

Ya Allah kami memohon rahmat dan perhatian-Mu, anugerahkanlah iman yang teguh, hati yang suci, akhlak yang luhur dan kehidupan yang sakinah. Kuatkanlah kami dengan iman dan yaqin, taqwa dan taat ,agar kami tergolong dari kalangan hamba-hamba-Mu yang diredhai dunia dan akhirat…amen.

وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ, والْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ  , والعفو منكم....أخوكم : محمد حذري بن هاشم بن يونس بن حسن البنداني

No comments: