السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Khamis, 26 Ramadhan 1435H : RAMADHAN PENGHUJUNGNYA PEMBURUAN - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,
Tersebar meluas di media sosial terutama di WhatsApp dan Telegram mengenai kaedah di dalam menentukan malam Lailatul Qadr yang dikongsikan oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam An-Nadwi Al-Banjari Al-Maliki;
"Untuk mengagak Lailatul Qadar, mengikut kepada awal puasa, bagi tahun ini, kita mula puasa pada hari Ahad, maka insya Allah, Lailatul Qadar insya Allah kemungkinan melalui pengalaman rohaniah yang sangat banyak oleh para ulama' mengatakan akan terjadi insya Allah pada MALAM 27 RAMADHAN yang jatuh pada MALAM JUMAAT ini. Kerana 10 malam terakhir ini tidak ada malam yang lebih afdhal daripada malam 27 Ramadhan yang jatuh pada malam Jumaat. Mengikut pengalaman rohaniah, bila puasa mula hari Ahad, Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 Ramadhan iaitu bertepatan dengan malam Jumaat."
PENCERAHAN :
Sekiranya betul apa yang disebut oleh Pak Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, maka malam ini lah 'Malam Yang Lebih Baik Dari 1000 Bulan' itu. Ya ! Confirmed malam ini.. Bagaimanapun menurut petua Imam Ghazali, beliau mempunyai petua tersendiri dalam 'memburu' Lailatul Qadar. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari tertentu;
1) Ahad atau Rabu - Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan.
2) Isnin - Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 21 Ramadhan.
3) Selasa atau Jumaat - Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 27 Ramadhan.
4) Khamis - Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 25 Ramadhan.
5) Sabtu - Lailatul Qadar dijangka berlaku pada malam 23 Ramadhan.
Menurut Sheikh Abu Hassan bahawa sejak mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan Lailatul Qadar pada malam yang tepat mengikut petua diatas.
Persoalannya ialah sekiranya benar malam ini, malam semalam atau malam esok sekalipun adalah malam Lailatul Qadar, tetapi ramai yang tidak mengisingi dengan amalan yang terbaik, seperti solat-solat sunat, berzikir dan memperbanyakkan doa sebaliknya tetap lena tidur diulit 'mimpi raya' yang indah, maka ia tetap seperti malam biasa yang lain. Firman Allah SWT;
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ
"Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)"
(QS Al-Qadr : 4)
Maksudnya ialah malam itu memang malam yang terbaik untuk beramal ibadat sepenuhnya dengan iktikaf sama ada di masjid atau di surau. Namun kebanyakkan kita telah tersingkir di peringkat suku akhir lagi atau separuh akhir. Di peringkat final ini hanya mereka yang tegar mendatangi masjid dan surau seperti sebelum Ramadhan sahaja yang tercalon. Tahniah !
Ada pula yang menunggu tanda-tanda Lailatul Qadar seperti menunggu pokok sujud, air membeku atau anjing tidak menyalak pada malam tersebut. Tidak perlu tunggu jumpa tanda-tanda tersebut baru nak beramal, kalau tak jumpa? Tak beramallah... Tebang saja pokok itu, sujudlah ia. Masukkan saja air tu ke freezer, bekulah ia dan beri saja anjing itu ubat tidur, senyaplah ia dan beramallah !
KESIMPULANNYA :
Sebenarnya, tips yang paling tepat ialah istiqamah gandakan amalan dari awal bulan Ramadhan, pasti akan jumpa..Insya Allah ! Tidak perlu 'memburu'nya tetapi harus rasa 'diburu' rasa bersalah yang amat sangat sekiranya membiarkan setiap malam pada bulan Ramadhan terutama pada 10 malam yang terakhir ini berlalu begitu sahaja. Wallahu a'lam - Jangan jadi Pemburu Bayang sudah. Ukay's.
No comments:
Post a Comment