Monday, July 14, 2014

Nuzul al-quran.... 15/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Selasa, 17 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN TURUN - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

TURUN, TURUN, TURUN...!!! Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama Ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh, “Dia yang telah…..menurunkan hujan.” (QS. al-Baqarah:22), dan “Dialah….yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (QS. Ali Imran:3).

PENCERAHAN :
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang tinggi. ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan, kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia dan di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi dan sebagainya.

Peristiwa Nuzul Al-Quran yang dikatakan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW., bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M, ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira. Namun ada pendapat yang meyakini turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M. Sama ada turun 17 atau 24 Ramadhan sebenarnya tetap sama, tidak mengubah syariat yang terkandung dalam kitab itu, yang wajib tetap wajib dan yang haram tetap haram.

Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekaligus dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat 3 pandangan mengenai hal ini, iaitu;

1) Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.
2) Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia.
3) Penurunan kepada Jibril a.s. kepada Rasulullah SAW.

Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah SAW melalui Jibril a.s.

Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah SAW dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah al-Munawwarah. Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah dan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah.

Nabi Muhammad SAW mengalami bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu. Antara cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:
1. Menerusi mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah) Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dalam kalbunya.
2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga Baginda mengetahui dan hafal benar mengenai kata-kata itu.
3. Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim yang sangat dingin. Ada ketikanya, unta Baginda terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat.
4. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW. dalam rupanya yang benar-benar asli sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : “Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratul Muntaha”
5. Malaikat mewahyukan kepada Nabi SAW dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj.

Al-Quran menuntut kepada kita hak-haknya, iaitu ( 5M) ;
1. MENGIMANINYA.
Satu huruf pun kita tak boleh menafikannya, apatah lagi hukum-hakam yang terkandung di dalamnya.
2. MEMBACANYA.
Al-Quran bererti 'bacaan', maksudnya perlu di baca bukan tersimpan dalam almari sahaja. Sebab ia bukan 'Al-Mari'.
3. MEMAHAMINYA.
Ia dalam bahasa Arab, perlu ditadabbur. Sekurang-kurangnya baca terjemahan atau tafsirnya supaya dapat memahami isi kandungannya.
4. MENGAMALKANNYA.
Al-Quran bukan sekadar dibaca tetapi perlu diamalkan perintah Allah di dalam.
5. MEWASIATKANNYA.
Diwasiatkan di dada-dada generasi akan datang sebagai 'Quranic Generation'. Anak cucu yang mampu membaca, menghafaz, memahami serta berazam melaksanakan undang-undangnya satu hari nanti. Insya Allah !

KESIMPULANNYA :
Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya. Kerana ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia, menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang telah diturunkan lebih 1,400 tahun dahulu. Wallahu a'lam - Harga barang dan minyak sahaja yang belum turun-turun. Ukay's.

No comments: