Wednesday, July 16, 2014

RAMADHAN BULAN FASTABIQUL KHAIRAT...17/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Khamis, 19 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN FASTABIQUL KHAIRAT - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Fastabiqul khairat... Kalimah ini selalu kita dengar, sama ada dalam usrah, tazkirah atau ceramah dan sebagainya. Maksudnya, kalimah ini memang tidak asing bagi kita, iaitu 'Berlumba-lumbalah untuk melakukan kebajikan'. Sesuailah pula pada bulan Ramadhan ini yang turut dikenali sebagai 'Shahru Jud', bulan penuh kebajikan.

PENCERAHAN :
Firman Allah SWT dalam Al-Quran ;

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(QS. Al-Baqarah : 148)

Kita tidak seharusnya melepaskan apa sahaja peluang kebajikan atau pintu kebaikan yang ada dan terbuka di depan mata kita, dengan selalu menangguhkan untuk melakukan setiap perkara yang baik apatah lagi untuk menggandakan amal ibadat di bulan 'Bonus pahala' ini. Kerana benda baik yang ada depan mata tak selalu ada. Ingat ! Ramadhan tinggal berbaki beberapa hari lagi... Malam ini bermulalah 10 malam terakhir. Rugilah kalau kita membiarkannya berlalu begitu sahaja. Sebab kita tidak tahu bila 'expire date' kita.

Malam ini bermulalah 'perlumbaan' Fastabiqul khairat yang sebenar. Perlumbaan ini boleh dijalankan secara beramai-ramai ataupun sendiri-sendiri. Venue perlumbaan sama ada di masjid, surau atau di rumah masing-masing. Masa perlumbaan 24 jam sebenarnya, tetapi masa yang terbaik ialah pada 1/3 malam. Piala yan g diburu ialah Lailatul Qadar. Nilainya, lebih baik daripada berlumba beribadat selama seribu bulan. Subhanallah, Masyaallah Tabarakallah... !

Sebagai contoh, bila ada Tazkirah Ramadhan atau majlis ilmu, janganlah beranjak keluar sambil menekan perut pura-pura hendak ke bilik air. Kebetulan anda memang tidak ada apa-apa perkara lain yang perlu dilakukan segera. Apa salahnya luangkan masa sejam 20 hingga 30 minit sahaja untuk bekalan di hari nanti. Begitu juga, sekiranya lalu peti tabung masjid atau surau a.k.a tabung derma depan mata, janganlah pejamkan mata pura-pura tertidur. Tanpa perlu fikir banyak, seluklah poket anda, ambillah duit yang ada, masukkan sahaja dalam tabung tu. Itulah duit kita yang sebenar, yang akan beri manfaat kepada kita di akhirat nanti.

Namun dalam kita 'Fastabiqul khairat' (berlumba dalam melakukan kebaikan), kita juga 'Saari'uu ilaa maghfirah' (bersegera memohon keampunan)

وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ( ) الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاء وَالضَّرَّاء وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa ( ) (iaitu) orang-orang yang menginfakkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan." (QS. Ali-Imran :133-134)

KESIMPULANNYA :
Mudah-mudahan Allah jauhkan perasaan riya' dan campakkan keikhlasan dalam hati. Mudah-mudahan Allah jauhkan perasaan benci membenci dan hasad dengki. Mudah-mudahan Allah redha dengan setiap apa yang kita lakukan. Mudah-mudahan Allah tingkatkan darjat kita dengan Taqwa dan Iman. Wallahu a'lam - Ayuh kita berlumba ! Ukay's.

No comments: