Wednesday, July 2, 2014

Ramadhan penuh hikmah... 3/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Rabu, 4 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN PENUH HIKMAH - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Setiap sesuatu perintah atau larangan Allah SWT pasti ada hikmah di sebaliknya. Kerana Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Tujuan utama dari puasa adalah untuk membentuk manusia yang bertaqwa. Selain itu, puasa juga memiliki beberapa hikmah yang sangat mendalam. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT, baik dalam Al-Qur'an mahu pun Hadis-hadis dari baginda Rasulullah SAW.

PENCERAHAN :
Antara hikmah-hikmah tersebut ialah;
1. Dapat meningkatkan darjat orang mukmin menjadi orang yang bertaqwa. Inilah hikmah terbesar Allah mewajibkan orang yang beriman untuk berpuasa. Bukan sekadar menjadi orang muslim, tetapi muslim yang mukmin dan mukmin yang muttaqin. Ini adalah kerana orang yang bertaqwa itu adalah orang yang paling mulia di sisi Allah SWT, sesuai dengan firman-Nya ;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (QS Al-Hujraat : 13)

2. Menyihatkan badan. Maka, hikmah yang terkandung dalam puasa, bukan hanya berguna untuk menyihatkan jiwa manusia, bahkan dapat juga menyihatkan tubuh badan. Puasa dari aspek kesihatan memang tidak dapat dinafikan oleh doktor-doktor perubatan. Ini adalah kerana dapat memberi kerehatan kepada jentera penghadam m akanan dan organ-organ yang berkaitan setelah 11 bulan sebelumnya dikerah bertugas siang dan malamnya.

3. Mendidik orang yang beriman untuk memiliki sifat sabar. Jika puasa tersebut dilakukan dengan sebaik-baiknya maka akan timbul dalam diri seseorang sifat sabar, kerana dalam berpuasa seseorang akan dilatih untuk mampu menahan diri dari perbuatan-perbuatan yang dapat membatalkan puasa, misalnya makan dan minum sepanjang waktu siang hari. Walaupun makanan dan minuman yang dimiliki halal, namun ia memaksa diri untuk bersabar untuk memakan dan meminumnya kerana belum waktunya sehingga sampai waktu berbuka puasa.

4. Puasa merupakan pelindung diri dari perbuatan keji dan mungkar atau tidak senonoh. Sebagaimana sabda Nabi SAW: "Puasa itu perisai (pelindung diri) yang membentengi dari sentuhan api neraka."
(HR : Ahmad, Muslim dan Al-Baihaqi)

Ini adalah kerana kita akan merasa sayang pada pahala puasa. Penat sahaja berpuasa 13 -14 jam bila turut melakukan maksiat atau kemungkaran maka sia-sialah puasanya nanti. Sebab itu Rasulullah SAW mengajar kepada kita sekiranya ada orang yang mengajak kita untuk bergaduh atau mengumpat maka katakan kepada mereka ; "Wallahi inni soimun ! (Demi Allah sesungguhnya aku sedang berpuasa." Oleh itu sepatutnya tidak perlu ada senario orang berpuasa tapi tidak solat. Sebab meninggalkan solat itu juga perbuatan mungkar.

5. Menanamkan rasa cinta kasih kepada orang fakir dan miskin kerana dapat merasakan penderitaan orang-orang yang kekurangan makanan atau terputus bekalan makanan kerana ketiadaan wang yang mencukupi. Setelah kita seharian merasakan menahan rasa lapar tentunya akan menumbuhkan rasa simpati dan empati, kasih-sayang dan belas kasihan kepada orang-orang fakir dan miskin itu tadi.

Oleh itu, ada ulama' yang menyatakan orang berpuasa perlu berasa lapar dan dahaga. Jangan terlalu banyak makan sehingga tidak merasakan lapar sepanjang hari. Atau mengambil makanan suppliment tertentu yang didakwa tidak akan merasa lapar sepanjang berpuasa, maka hilanglah hikmah utama berpuasa iait u untuk rasa lapar sebenarnya. Kecuali orang tua yang ada sakit atau kanak-kanak yang baru belajar berpuasa.

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Ada banyak lagi hikmah atau rahsia berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Seperti mana disebut oleh Dr. Yusuf Qardhawi dalam kitabnya 'Al-Ibadah Fil Islam' telah mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadat ini. Cuma, jangan jadikan hikmah sebagai matlamat dan tujuan utama kita berpuasa seperti juga ibadat-ibadat lain seperti zakat, solat dan sebagainya. Lakukan ibadat tersebut sebaik mungkin dan hikmah tersebut akan datang dengan sendiri. Wallahu a'lam - puaskan puasa puas-puas. Ukay's

No comments: