السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Isnin, 9 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN LATIHAN BERCAKAP BENAR - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,
Teringat sewaktu zaman kanak-kanak dahulu, bila inginkan kepastian atau meragui jawapan kawan-kawan kita akan sebut ; "Jangan bohong...ini bulan Ramadhan mana boleh bohong, Alif Lam-lam Ha' (Allah) !" Maksudnya sekiranya berbohong maka akan hilanglah atau berkurangan pahala puasanya. Bukan pula bermaksud boleh bohong jika bukan bulan Ramadhan.
PENCERAHAN :
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya kebenaran adalah membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang itu benar dan selalu memilih kebenaran maka tercatatlah dia disisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang itu berdusta dan selalu memilih dusta maka tercatatlah dia disisi Allah sebagai seorang pendusta." (HR : Bukhari)
Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat baik untuk kita melatih lidah kita untuk hanya menuturkan kalimah-kalimah toiyibah, perkataan-perkataan yang baik sahaja ataupun diam. Jika tidak di latih lagi, maka lidah yang tidak bertulang ini akan berterusan mengeluarkan kata-kata kesat, kasar, sembang kosong apatah lagi dusta nista ataupun berbohong.
Zaman sekarang ini pula orang kurang bercakap melalui komunikasi biasa tetapi telah bertukar kepada bentuk media sosial yang baharu. Sama sahaja, jangan berbohong. Apatah lagi bila melakukan pembohongan kepada Nabi SAW. Sesuatu yang baginda tidak pernah sebut dalam mana-mana hadith, tiba-tiba ucapan tersebut dinisbahkan kepada baginda. Ancamannya tidak lain melainkan azab yang pedih dalam neraka. Sebab itu kena lebih berhati-hati, nampak untuk buat kebaikan sebarkan sesuatu bahan dakwah terseb ut tetapi rupanya fitnah kepada baginda Rasulullah SAW.
Syurga Adn (Adnin) telah dijanjikan kepada orang yang tidak suka berbohong, kepada pencinta kebenaran (Siddiqiin). Syurga Adn (Adnin) ialah umpama taman khas untuk golongan elit sepertimana taman-taman perumahan di dunia ini misalnya Taman Tun Dr. Ismail, (TTDI), Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) dan seumpamanya. Syurga “Adn” adalah taman kepada empat gologan VIP iaitu:
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi dan orang-orang Siddiqiin dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang Soleh dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)."
(QS An-Nisaa' : 69)
Sabda Rasulullah SAW;
أوصيك بتقوى الله, وصدق الحديث, وأداء الأمانة, والوفاء بالعهد , وبذل الطعام , وخفض الجناح
"Aku mewasiaatkan kamu dengan taqwa kepada Allah, benar tutur kata, menunaikan amanah, menepati janji menyedekahkan makanan dan merendah diri."
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Mahukah kamu aku tunjukkan perihal dosa-dosa besar? Kami menjawab: Ya, tentu mahu ya Rasulullah. Rasulullah menjelaskan: Menyekutukan Allah, durhaka kepada kedua orang tua. Oh ya, (ada lagi) Iaitu berkata dusta."
(HR : Muttafaqun Alaih)
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis maksudnya:
"Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga macam, apabila berkata suka berdusta, apabila berjanji selalu menyalahi dan apabila diberi kepercayaan (amanah) suka khianat". (HR : Bukhari dan Muslim).
Bagaimana pula kalau orang Alim, asatizah atau golongan cerdik pandai agama yang menipu ? Jika seseorang alim itu menipu maka padahnya adalah lebih besar besar. Sebabnya, ulama'menyatakan kesannya ialah kalau orang Alim buat perkara yang harus orang awam akan buat perkara yang makruh, kalau orang Alim buat perkara yang makruh, orang awam akan buat perkara yang haram, kalau orang Alim buat perkara haram, orang awam akan terjerumus ke lembah ke kufuran !
Contohnya, tidak terkecuali golongan agamawan, golongan korporat, ahli perniagaan dan orang biasa yang berjanji hendak menyumbangkan kewangan kepada badan-badan tertentu seperti Maahad Tahfiz, Rumah Anak Yatim, Balai Ilmu dan sebagainya tetapi hanya 'berniat' sahaja tetapi tiada apa-apa tindakan dikhuatiri pihak-pihak berkenaan akan hanya rasa tertipu atau ditipu sahaja.
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,
SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Bersempena kita berada di bulan yang mulia ini, marilah kita amalkan hanya amalan-amalan yang mulia, terutamanya dari segi percakapan. Ini adalah kerana bercakap benar adalah salah satu sifat mulia yang akan datang melalui usaha dan mujahadah seseorang. Iaitu boleh dibentuk melalui latihan dan tarbiyyah Ramadhan ini, insya Allah. Barangsiapa yang benar-benar berusaha untuk bercakap benar sehingga benar itu menjadi satu tabi'at (semulajadi) baginya, maka ketika itu ia akan di catat di sisi Allah sebagai 'As-Siddiq' atau golongan Siddiqin. Wallahu a'lam - Berkata benar walaupun pahit. Ukay's
No comments:
Post a Comment