Wednesday, July 9, 2014

RAMADHAN BULAN PENGHAPUS DOSA....10/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Khamis, 12 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN PENGHAPUS DOSA - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Setiap anak Adam selain daripada Nabi dan Rasul pasti melakukan kesilapan dan dosa. Sebaik-baik mereka yang berdosa adalah bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT. Selain daripada istighfar dan taubat untuk memohon ampun kepada Allah SWT, terdapat beberapa lagi amalan soleh dan amal ibadah yang boleh menjadi penebus dosa-dosa kita khususnya pada kesempatan pertengahan Ramadhan yang penuh dengan 'Maghfirah' dari Allah SWT.

PENCERAHAN :
Terbaiknya jika amalan-amalan ini dapat dilakukan sepanjang bulan Ramadhan. Antaranya seperti berikut;

1) Menyempurnakan wuduk dan berjalan ke masjid. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Jika seseorang berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya kemudian berangkat solat dengan niat hanya untuk solat, maka tidak melangkah satu langkah kecuali Allah angkat satu darjat dan hapus satu dosa.” (HR : Tirmidzi)

2) Solat Terawih di bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Barangsiapa menegakkan Ramadhan (solat terawih) dengan iman dan mengharap pahala Allah maka diampunilah dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

3) Menghapus kira hutang orang yang tidak mampu membayarnya. Ini termasuk amalan kebaikan setelah berbuat dosa. Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (HR : Tirmidzi).

4) Memberi salam dan berkata baik. Pastinya pada bulan ini kita akan menjaga lidah kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya termasuk sebab mendapatkan ampunan adalah memberikan salam dan berka ta baik.” (HR : Al-Kharaithi dalam Makarim al Akhlak)

5) Menjaga solat lima waktu dan Jumaat serta puasa di bulan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Solat lima waktu dan Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan adalah penghapus dosa diantara keduanya selama dosa-dosa besar dijauhi.” (HR : Muslim)

6) Melaungkan Azan untuk solat fardhu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya seorang muazin akan diampuni dosanya sepanjang (gema) suaranya.” (HR : Ahmad)

7) Melakukan solat fardhu lima waktu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Bagaimana pendapat kalian seandainya ada sungai di pintu yang digunakan untuk mandi setiap hari lima kali, apa yang kalian katakan apakah tersisa kotorannya? Mereka menjawab, “Tidak ada sisa kotorannya sedikitpun.” Baginda bersabda maksudnya : “Solat lima waktu menjadi sebab Allah menghapus dosa-dosa.” (HR : Bukhari)

8) Memperbanyak sujud. Solat Terawih menjadikan kita paling banyak bersujud pada bulan ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Hendaklah kamu memperbanyak sujud kepada Allah, kerana tidaklah kamu sekali sujud kepada-Nya melainkan Dia mengangkatmu satu darjat dan menghapus satu kesalahanmu (dosa) darimu.” (HR : Muslim)

9) Mengerjakan solat malam (Qiamullail). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Hendaklah kalian solat malam, kerana ia adalah amalan orang yang soleh sebelum kalian dan amalan yang mendekatkan diri kepada Rabb kalian serta penghapus kesalahan dan mencegah dosa-dosa.” (HR : Al-Hakim)

10) Bersedekah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Sedekah menghapus dosa seperti air memadamkan api.” (HR : Ahmad, Tirmidzi dan selainnya)

سئل رسول الله صلى الله عليه وسلم، أي الصدقة أفضل؟ قال: صدقة في رمضان.

“Ditanya kepada Rasulullah SAW : “Sedekah apakah yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Sedekah pada bulan Ramadhan.” (HR : Tirmidzi)

11) Duduk di dalam masjid menunggu solat ke solat. Nabi SAW bersabda maksudnya : “Mahukah kamu sekalian aku tunjukkan sesuatu yang dapat menghapus dosa dan mengangkat darjat. Me reka menjawab: 'ya wahai Rasulullah'. Baginda bersabda: 'menyempurnakan wuduk ketika masa sukar dan memperbanyak langkah kemasjid serta menunggu solat satu ke solat yang lain, kerana hal itu adalah ribath (merapatkan hubungan dengan Allah SWT)” (HR : Muslim dan Al Tirmidzi).

12) Berzikir selepas solat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang membaca kalimah berikut di setiap selesai solat;

سُبْحَانَ اللهِ(33 ×) وَالْحَمْدُ لِلَّهِ (33 ×)وَاللهُ أَكْبَرُ (33 ×) لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

“... maka akan diampuni kesalahannya, sekalipun seperti buih di laut.” (HR : Muslim)

13) Memperbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil, takbir dan Hauqqalah (La Hawla wala Quwwata illa Billah) Dari Ummu Hani ra dia berkata:”Suatu ketika lewatlah Rasulullah SAW dihadapanku. Lalu saya berkata , “Ya Rasulullah SAW saya sudah tua dan lemah. Beritahukanlah padaku suatu amalan agar dapat saya kerjakan sambil duduk” . Baginda bersabda:” Bacalah Subhanallah 100 kali, itu seimbang bagimu dengan memerdekakan 100 orang budak dari keturunan Ismail. Bacalah Alhamdulillah 100 kali, itu seimbang bagimu dengan mensedekahkan 100 ekor kuda yang bercahaya dan terkendali yang disedekahkan dijalan Allah. Bacalah Allahu Akbar 100 kali, itu seimbang bangimu dengan menyembelih 100 ekor unta yang terkorban dan diterima disisi Allah SWT. Dan bacalah Laa ilaaha illallah 100 kali” Abu Khalfin berkata aku kira pahalanya akan memenuhi antara langit dan bumi, dan tidak ada yang melebihinya darimu kecuali orang yang mengamalkannya melebihimu." (HR : Ahmad)

KESIMPULANNYA :
Marilah sama-sama kita beramal dengan 13 amalan amal soleh yang akan dapat menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Namun dosa-dosa besar hanya terhapus dengan bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Oleh itu banyakkan bertaubat dan beramal soleh semoga semua dosa-dosa kita di ampunkan oleh Allah SWT. Wallahu a'lam - Berdos-dos dosa-dosaku Ya Allah. Ukay's.

No comments: