Tuesday, July 8, 2014

Kitab penawar bagi hati...9/7/14

-VAKSIN HATI TONIK IMAN-
KITAB PENAWAR BAGI HATI

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

��SIFAT YANG DIPUJI��

Sifat yang terpuji di sisi Allah amatlah banyak, dan Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutalib al-Mandili hanya membahaskan sepuluh sifat sahaja di dalam kitabnya Penawar Bagi Hati kerana ia mengikut apa yang ditulis oleh Imam al-Ghazali di dalam kitab al-‘Arba’in. Sepuluh sifat terpuji tersebut adalah :

1. Taubat dari segala dosa
2. Takut akan Allah taala
3. Zuhud (benci akan dunia dan berpaling daripadanya)
4. Sabar
5. Syukur
6. Ikhlas
7. Tawakal
8. Kasih akan Allah Taala
9. Redho dengan Qadha’ Allah Taala
10. Ingat akan mati

��TAUBAT��

Taubat adalah permulaan jalan bagi sesiapa yang mahukan akhirat dan itulah anak kunci kebahagian kepada kita semua. Taubat adalah wajib kita lakukan dengan segera dan bermohon ampun dari segala dosa tanpa menangguh masa walaupun ianya dosa yang kecil. Melambatkan taubat akan menghasilkan satu yang lain pula walaupun berpuluh tahun. Jangan kita mengikut kaum muqtazilah walaupun dosa sudah berbilang-bilang tapi masih melambat-lambatkan taubat kerana menganggap masa masih panjang.

Taubat yang paling utama adalah taubat dari segala maksiat dan jika kita mengetahui setiap dosa yang kita lakukan maka wajib bertaubat satu persatu dari setiap dosa yang telah dilakukan dan tidak cukup dengan sekali taubat sahaja. Seandainya kita tidak ingat dosa-dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah kita menyebut “ Ya Allah, seandainya ada dosa yang aku lupa, maka aku bermohon ampun daripada dosa tersebut”. Sesungguhnya taubat itu satu ibadat yang akan diberikan pahala kerananya dan adapun kita terlepas azab seksa Allah, semuanya kita berserah kepada Allah. Firman Allah :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri”. Al-Baqarah : 222

Firman Allah :

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّها الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُف لِحُون

“dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”. An-Nur : 31

Sabda Rasulullah :

التائب من الذنب كمن لا ذنب له

“orang yang bertaubat daripada dosa seperti mereka yang tiada dosa” rawayat ibnu majah.

يا ايها الناس توبوا الى الله فانى اتوب اليه فى يوم مائة مرة

“wahai manusia yang bertaubat kepada Allah, sesungguhnya aku taubat kepada Allah pada setiap hari seratus kali” Riwayat Muslim.

ان الله عزوجل يقبل توبة العبد مالم يغرغر

“bahawasanya Allah yang maha mulia menerima akan taubat hambanya selama mana belum sampai ruhnya kepada halqumnya” riwayat tirmizi.

من تاب قبل ان تطلع الشمس من مغربها تاب الله عليه

“barangsiapa taubat ia sebelum naik matahari daripada tempat tenggelamnya nescaya menerima Allah akan taubatnya” riwayat Muslim.

Makna taubat pada bahasa adalah kembali atau pulang. Pada syarak pula adalah dihimpunkan tiga perkara :

Pertama : menyesal segala maksiat kerana Allah Taala, dan tidak sah taubat bagi mereka yang tiada menyesal dan menyesal bukan kerana Allah seperti menyesal kerana bala yang turun dengan sebab maksiat yang dilakukan.

Kedua : meninggalkan maksiat yang telah bertaubat dengannya.

Ketiga :bercita-cita tidak akan kembali melakukan maksiat yang telah bertaubat dengannya. Tidak sah taubat bagi orang yang tidak bercita-cita untuk tidak kembali kepada maksiat yang telah bertaubat dengannya.

Jika taubat dosa yang kita lakukan adalah seperti meninggalkan solat fardhu, maka wajib kita qadha kembali solat yang telah kita tinggalkan. Jika dosa yang kita lakukan adalah berkaitan dengan manusia seperti mencuri harta orang maka disyaratkan oleh imam syafie memulangkan kembali atau ganti barang yang sama jumlahnya atau minta halal dari tuannya. Mazhab Maliki memadai minta halal dengan cara yang baik daripada tuannya. Maka jika berupaya untuk memulangkan barang yang dicuri atau tuannya tidak menghalalkannya, hendaklah ia bersungguh-sungguh ikhlas melakukan taubat dan memohon Allah melembutkan hati tuan empunya harta dan redho pada ha r
i qiamat nanti.

Pastikanlah taubat yang kita lakukan adalah sebelum ruh sampai ke halqum dan sebelum matahari terbit dari barat, dan apabila sempurna segala syarat dan rukun taubat itu, nescaya sah taubatnya dan pastinya diterima oleh Allah Taala.

Bersambung…………

Wallahuaklam......
Mohon maaf dan teguran diatas khilaf dan kesilapan.
Ikhlas & Rahmat Allah bersama kita.
UstazMahfuzRoslan@UMAR.
Kongsikan dan sebarkan..sesungguhnya ianya ILMU ALLAH TAALA.. ْ

No comments: