.. السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Rabu, 25 Ramadhan 1435H : RAMADHAN PENGHUJUNGNYA KEMENANGAN - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,
Kita telah pun memasuki fasa terakhir iaitu penghujung Ramadhan. Sudah ada ataupun belum tanda-tanda kita akan menang? Kemenangan apa? Sebahagian berasa kemenangan itu adalah kemenangan sekadar berjaya menahan lapar dan dahaga selama sebulan.
PENCERAHAN :
Ramadhan merupakan medan yang terbaik untuk kita memulakan langkah bagi 11 bulan yang mendatang. Kita menyerahkan jiwa raga kita sepenuhnya kepada-Nya lebih daripada bulan-bulan sebelum Ramadhan. Kita serahkan segalanya dengan berjihad bersungguh-sungguh untuk mempertahankan keimanan, puasa dan berusaha untuk mendapat syurga Allah SWT, Allah berfirman;
ِ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
"... dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." (QS At-Taubah : 111)
Maka wajarlah untuk kita mengekalkan tarbiyah dan madrasah Ramadhan itu dengan sifat-sifat yang Allah kehendaki, yang telah kita usaha untuk bangunkan di dalam diri kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Sifat 'At-Taibun' iaitu sifat mereka yang sentiasa memohon ampun dan bertaubat atas kesalahannya di dunia. Sifat 'Al-'Abidun' pula iaitu orang yang menjadikan dirinya sebenar-benar hamba kepada Allah dan sentiasa beribadah kerana dan kepada-Nya.
Sifat 'Al-Hub Hamidun'. Sifat yang terciri pada akhlak kita seorang yang sentiasa memuji-muji dan mengagungkan kebesaran Allah SWT. Sifat 'As-Saihun' yang bermaksud pengembara. Sifat yang menggalakkan kita mencirikan diri dengan sifat 'Al-Hami dun', pengembara bukan semestinya bermaksud berjalan jauh. Tetapi persiapan harian kita dengan kehidupan harian kita itu juga, sifatnya haruslah seperti pengembara. Membuat persiapan bekalan, mengambil ibrah dan hikmah sesuatu kejadian.
Sebenarnya kesemua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredhaan Allah dan pahala yang berlipat ganda di bulan ini. Mencari limpahan rahmat Lailatul Qadar kemuncak cabaran kerana ia berada di penghujung Ramadhan bukan pada di awalnya. Sengaja Allah SWT sembunyikan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhirnya untuk melihat siapakah yang benar-benar akan beroleh kemenangan. Namun sayang seribu kali sayang, sudah ramai yang keletihan atau masing-masing sibuk dengan pelbagai persediaan untuk menyambut Hari Raya.
Budaya berlebihan menyambut Hari Raya berbanding pengisian Ramadhan harus diperbetulkan. Kemeriahan Syawal hanyalah bagi mereka yang berjaya menghidupkan sepenuhnya Ramadhan dengan merebut segala tawaran daripada Allah SWT sebagai tanda sebuah kemenangan. Bukannya kalah kerana mengejar Syawal sehingga meminggirkan penghujung Ramadhan disebabkan segala macam tawaran istimewa dari gedung-gedung perniagaan. Persoalannya, hendak meraikan kemenangan atau meraikan kekalahan?
KESIMPULANNYA :
Sekiranya, cabaran puasa hanya menahan lapar dan dahaga, maka ramailah yang mampu mencapai kemenangan. Namun hakikat cabaran yang sebenarnya ialah puasa siapakah yang dapat melahirkan ketaqwaan pada dirinya, itulah piala kemenangan yang sebenarnya. Kerana ketaqwaan ini perlu untuk mengharungi 11 bulan berikutnya sebelum bertemu lagi Ramadhan yang akan datang. Lailatul Qadar adalah bonusnya. Wallahu a'lam - Bonus dah bereh boh ! Ukay's.
No comments:
Post a Comment