السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Isnin, 16 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN HARUS TAKUT - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)
Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,
Takut tidak semestinya sesuatu yang negatif. Sebab takut mampu menjadikan kita agar lebih bersedia, melakukan sesuatu pekerjaan dengan lebih baik, lebih cepat dan lebih efisien. Takut juga adakalanya mampu menyelamatkan kita atau berada pada posisi yang menang. Contoh, ketakutan pasukan Jerman telah terbalas dengan membenam Argentina dengan 1 - 0. Takut kalah lagi pada final World Cup kali ini telah menjadikan pasukan Eropah ini bermain lebih bersungguh-sungguh.
PENCERAHAN :
Sifat takut (khauf) dan harap (raja’), perlu subur dalam jiwa setiap orang mukmin. Takut kepada Allah, takut akan azab-Nya. Tidak takut kepada selain-Nya. Mengharap kepada Allah, kepada rahmat-Nya dan pertemuan dengan-Nya. Sifat ini perlu disebatikan dalam diri, agar laluan menuju akhirat tidak terpesong. Dua sifat ini perlu disatukan, tidak sempurna andai tiada salah satu.
Sifat takut tanpa harap, dikhuatiri membawa kepada putus asa. Sifat berharap tanpa takut, dikhuatiri membawa kepada tertipu.
Harapkan pahala apabila melakukan ibadat, tetapi tidak berjaga-jaga dalam menjauhkan diri daripada sifat riya’ dan bisikan syaitan, maka ibadat itu hanya sia-sia. Harap dan takut itu adalah sebagai suatu tingkatan yang mulia dari Allah Ta'ala kerana keduanya itu menjadi sifat para Nabi dan Rasul, serta pengikutnya dari orang-orang saleh dari kaum Mukmin. Contoh, takut puasa kita hanya dapat lapar dan dahaga sahaja, harap-harap dapatlah pahala puasanya.
Firman Allah Ta'ala;
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَىٰ رَبِّهِمُ الْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا
"Orang-orang yang mereka seru itu mencari jalan kepada Tuhan, mana satu yang lebih dekat , dan mereka mengharapkan rahmat-Nya dan takut kepada siksa-Nya, sessungguhnya siksaan Tuhanmu itu amat ditakuti."
(QS. Al-Isra': 57)
Abu Al-Laits sebagaimana Imam Al-Ghazali dalam 'Mukasyafah Al-Qulub' mengajarkan kita untuk melakukan 7 hal agar selalu takut kepada Allah:
1. Takut kepada lidah. Mencegah lidahnya dari perkataan dusta, menfitnah, menipu dan perkataan yang tidak berguna. Sebaliknya ia menggunakan pada jalan berzikir kepada Allah, membaca Al-Quran dan menghafal ilmu khususnya pada bulan Ramadhan ini.
2. Takut kepada hati. Mengeluarkan dari dalam hatinya rasa permusuhan, hasad dengki, tiya', sum'ah dan ujub. Ini kerana sifat-sifat mazmumah ini ditakuti akan menghapuskan amal kebajikan yang telah dilakukan.
3. Takut pada mata. Tidak memandang sebagaimana perkara-perkara yang diharamkan Allah. Sebaliknya, ia mengarahkan pandangannya kepada sesuatu yang harus seraya mengambil pengajaran (`ibrah) daripadanya. Betapa agongnya dan indahnya ciptaan-Allah.
4. Takut pada perut. Tidak memasukkan ke dalam perutnya segala makanan dan minuman yang haram kerana ditakuti menjadi darah daging yang menjadi asbab tuan punya tubuh badan di sambar api neraka.
5. Takut pada tangan. Tidak menggunakannya pada jalan kemungkaran. Sebaliknya pada jalan yang diredhai Allah. Tangan sepatutnya digunakan untuk mencari rezeki yang halal dan yang bermanfaat kerana tangan inilah yang akan berkata-kata di akhirat kelak bukan lagi mulut yang biasa berhelah atau berkata dusta.
6. Takut pada kaki. Tidak berjalan untuk melakukan kemungkaranan kepada Allah. Sebaliknya ia bejalan pada ketaatan dan keredhaan Allah. Membawa tuan punya tubuh badan ke tempat-tempat ibadat bukan ke tempat maksiat.
7. Ketaatan. Menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah serta takut akan riak dan kemunafikan. Bukan ketaatan kepada dyaitan atau hawa nafsu.
Sayyidina Ali bin Abi Talib ra berkata : “Barangsiapa yang takut, aman!” contoh;
a. Kalau kita tidak takut hujan, kita tidak akan sediakan payung .
b. Apabila kita tidak takut sakit, kita tidak akan berusaha untuk meningkatkan kesihatan kita.
c. Apabila kita tidak takut negara rosak, maka kita tidak perlu memilih pemimpin yang baik.
Orang yang benar dalam memposisikan rasa takutnya akan merasakan rahmat Allah samada dalam kehidupan duniawi mahupun ukhrawi. Rasa takut ini dapat menjadi kuat dan lemah bergantung kepada keyakinan seseorang pada Allah SWT. Jika manusia itu memahami begitu banyak maksiatnya yang akan dihadapkan kepada Allah Yang Maha Agung yang tidak memerlukan apa-apa daripada kita, maka akan timbullah rasa takut.
Maka orang yang paling tinggi rasa takutnya adalah yang paling mengetahui dirinya dan penciptanya. Firman Allah SWT ;
“Sesungguhnya hanyalah yang paling takut pada Allah di antara hambanya adalah para ulama’.” (QS. Faathir : 28)
Kesan dari rasa takut yang benar adalah jika seseorang sudah benar kefahamannya, maka mulailah rasa takut masuk dihatinya dan memberi kesan kepada amalannya. Takut ini pula ada beberapa tingkatannya, antaranya;
1) Yang berlebihan adalah yang mengakibatkan rasa putus asa dan berpaling dari ketaatan.
2) Yang sederhana akan menimbulkan sikap waspada, hati-hati (wara’), takwa, mujahadah, fikir, zikir,kesihatan fizikal dan kebersihan akal.
3) Yang kurang akan mengakibatkan tidak meninggalkan maksiat yang dilakukan.
Rasa takut para salafus soleh pula berbagai-bagai :
Ada yang takut meninggal sebelum bertaubat.
Ada yang takut diuji dengan nikmat.
Ada yang takut hilang sifat istiqamah.
Ada yang takut su’ul khatimah.
Ada yang takut dahsyatnya berdiri di hadapan Allah swt.
Ada yang takut dihijab tidak dapat melihat wajah Allah SWT di akhirat nanti.
Di antara mereka ada Abu Darda’ ra yang berkata:
“Tidak seorangpun yang merasa aman dari gangguan syaitan terhadap imannya saat kematiannya.”Begitu juga dengan Sufyan Ats-Tsauriy ketika saat wafatnya menangis, maka berkata seseorang; “Ya Aba Abdullah! Apakah kamu mempunyai banyak dosa?” Maka Sufyan mengambil segenggam tanah dan berkata; “Demi Allah, dosaku lebih ringan dari ini, tetapi aku takut diganggu imanku sebelum kematianku.”
KESIMPULANNYA :
Adapun seorang Mukmin yang sentiasa mencampur-adukkan amalannya yang sentiasa merasa bimbang akan terpesong dari jalan ketaatan dan terjerumus ke dalam larangan-larangan Allah Ta'ala, maka yang paling baik baginya memperbanyak takut, kerana perasaan takut itu menahan dan menghalang diri dari berbuat sesuatu dengan sewenang-wenang atau melampaui batas. Tetapi jangan pula sampai takut pada 'kopiah' dan warna 'hijau' pula. Wallahu a'lam - Takut Tuhan bukan hantu. Ukay's.
No comments:
Post a Comment