Saturday, July 5, 2014

Ujub.... 6/7/14

-VAKSIN HATI TONIK IMAN-
KITAB PENAWAR BAGI HATI

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

��UJUB��

Ujub adalah bangga dengan mengira diri sendiri begitu hebat dalam amalannya daripada amalan orang lain, seperti ilmunya dan ibadatnya lebih banyak dari orang lain. Ujub juga akan melahirkan perasaan tidak takut hilangnya ilmu dan ia lupa bahawasanya semua itu adalah pemberian Allah kepada dirinya. Jika ia melihat dari sudut bahawa semuanya nikmat Allah kepadanya, maka ia akan melahirkan perasaan takut hilangnya ilmu, amal dan lain-lainnya itu. Jika sifat ujub tiada dalam diri, ia akan sukacita dengan nikmat Allah dan percaya semuanya itu datang dari Allah.

Ujub ini adalah punca kepada sifat takabbur, dan perbezaan antara keduanya adalah, takabbur mereka yang suka duduk bersama dikalangan orang yang ada sifat takabbur juga. Ujub pula hanya untuk dirinya sendiri sahaja dan sifat ujub ini adalah kelakuan hati yang dicela oleh syarak bahkan akan membinasakan pahala ibadah kita. Firman Allah :

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْن عَنكُمْ شَيْئاً وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” At-Taubah : 25

Sabda Rasulullah :

ثلاثُ مُهلِكاتٍ؛ شحٌّ مطاعٌ، وَهوًى متَّبعٌ، وإعجابُ المرءِ برأيِهِ

“bermula tiga perkara membinasakan ia akan yang mengerjakan (pertama) kedekut yang berpanjangan (kedua) mengikut hawa nafsu (ketiga) ujub dengan diri sendiri”. Hadis hasan

Berkata Ibnu Mas’ud :

الهلاك فى اثنين القنوط والعجب

“bermula kebinasaan pada dua kelakuan (pertama) putus asa daripada r ahmat Allah (kedua) menyukai seseorang dengan dirinya (ujub)”.

Sesungguhnya dikumpulkan oleh Ibnu Mas’ud dengan dua sifat ini kerana orang yang putus asa tidak akan bermohon pengharapan dan kebajikan daripada Allah, dan orang yang ujub tidak bermohon kepada Allah akan kebaikan kerana berasa diri di dalam kebaikan. Siti Aishah ditanya : masa bilakah seseorang itu melakukan kejahatan? Maka aishah menjawab : apabila menyangka dirinya telah berbuat kebaikan.

Memandang seorang lelaki kepada Basyar bin Mansur rahimahullah pada ketika ia memanjangkan solat dan melakukan ibadah dengan baik dan elok. Selesai sahaja Basyar daripada solatnya, Basyar berkata : jangan tertipu akan dikau oleh perkara yang engkau lihat daripada aku, kerana iblis mengerjakan ibadat dan solat beribu-ribu tahun kemudian lihatlah apa yang terjadi kepadanya (jadi kafir). Lindungilah kami Ya Allah…

Perlu kita tahu sebab ujub itu kerana jahil (bodoh) dan ubatnya adalah ilmu. Maka jika ada ujub, tanyalah diri sendiri adakah rupa kita yang cantik atau tampan, suara yang merdu adalah disebabkan dengan usaha kita sendiri? Pastinya tidak kerana semuanya daripada Allah dan dialah yang mengurniakan limpah nikmat tersebut. Layakkah kita bangga diri dengan semua kesempurnaan ini?? Sepatutnya kita perlu berfikir akan hilangnya semua nikmat ini dengan sebab penyakit seperti penyakit yang paling istimewa seperti cacar.

Dan jika adalah ujub itu dengan sebab amalan yang ia lakukan seperti ilmu dn ibadat, maka sepatutnya ia berfikir dengan sebab apa amalan itu mudah dilakukannya?? Sesungguhnya tiada mudah amalan itu dilakukan melainkan dengan anggota dan akal yang semuanya itu adalah ciptaan Allah kepada kita dan limpah kurnianya. Demikian juga ilmu dan segala amalan adalah kurnia Allah kepada kita. Firman Allah :

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ

“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!” as-Saffat : 96

وَمَا تَشَاؤُونَ إِلَّا أَن يَشَاء اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

“Dan kamu tidak mampu (menempuh jalan itu) , kecuali bila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Ad-Dahr : 30

Sepatutnya bagi yang berakal berasa ujub buat selama-lamanya kepada Allah dengan limpah kurnianya dan kemurahannya, kerana kurniaan Allah akan ilmu, akal dan memberi petunjuk kepada seseorang kepada melakukan ibadat (bukan sebab ikhtiar dan usaha manusia). Lihatlah kepada setengah manusia yang Allah tidak memberi ilmu, amal dan petujuk kepadanya. Hendaklah kita berasa takut jika Allah mencabut akan segala nikmat tersebut dan takut menjadi ISTIDRAJ. Firman Allah :

فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُواْ بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)”. An-‘Am : 44

فَذَرْنِي وَمَنْ يُكَذِّبُ بِهَذَا الْحَدِيثِ سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لا يَعْلَمُونَ

“Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya”. al-Qalam : 44

Istidraj adalah menghampirkan kepada siksa Allah dengan diberi rasa ujub sidikit demi sedikit (seperti mereka yang hendak menagkap ayam).

والله اعلم..

Mohon maaf dan teguran diatas khilaf dan kesilapan.
Ikhlas & Rahmat Allah bersama kita.
UstazMahfuzRoslan@UMAR.
Kongsikan dan sebarkan..sesungguhnya ianya ILMU ALLAH TAALA..

No comments: