Friday, July 11, 2014

Zuhud... 12/7/14

-VAKSIN HATI TONIK IMAN-
KITAB PENAWAR BAGI HATI

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

��ZUHUD��

Zuhud ada beberapa pandangan ulamak :
1. benci akan dunia dan berpaling daripadanya.
2. meninggalkan kesenangan dunia kerana menuntut kesenangan akhirat
3. meninggalkan barang yang bukan miliknya dan menggunakan sebaik mungkin barang yang ada padanya

Zuhud adalah satu sifat terpuji yang terdapat di dalam hati dan penyebab mendapat kasih sayang Allah dan sekalian manusia. Sabda Rasulullah :

ازهد فى الدنيا يحبك الله وازهد فيما في ايدى الناس يحبك الناس

“jika kamu zuhud pada dunia, nescaya Allah mengasihi kamu, dan jika kamu zuhud barang yang ada di sisi manusia, nescaya manusia akan mengasihi kamu”. Riwayat Tirmizi

Zuhud ini akan lahir dari diri manusia disebabkan dengan ilmu. Firman Allah :

وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ

“Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar". Surah al-Qasas : 80

Allah menerangkan dalam ayat di atas bahawasanya zuhud itu setengah faedah bagi ilmu. Perlu kita ketahui zuhud ada beberapa pangkat :

Pertama : zuhud ketika nafsunya mahukan dunia tetapi bersungguh-sungguh melawan nafsunya.

Kedua : memalingkan hatinya dari dunia dan hanya memikirkan akhirat semata-mata. Mudah hatinya meninggalkan dunia kerana ilmunya.

Ketiga : nafsunya tidak mahukan dunia dan tidak perlu usaha memalingkan hatinya kepada dunia bahkan ada atau tiada dunia ini tidak dipedulikannya. Baginya dunia ini setitik air dan harta Allah itu seluas lautan. Hatinya sedikit pun tidak tertarik dengan dunia. Inilah zuhud yang paling tinggi di sisi Allah.

Sebab kepada zuhud itu ada tiga perkara :

Pertama : takut akan api neraka (zuhud orang yang takutka n Allah)

Kedua : inginkan nikmat akhirat (pengharapan sepenuhnya kepada Allah)

Ketiga : membesarkan Allah daripada segala yang lain. Membersihkan hati dengan menghinakan segala yang lain daripada Allah. Ini zuhud golongan ‘Arifin.

Zuhud yang sempurna adalah zuhud daripada segala yang lain daripada Allah. Kemudian zuhud hanya pada dunia sahaja sama ada harta atau kemegahan atau keseronokan atau lain-lainnya. Kemudian zuhud pada harta sahaja, dan tidak pada kemegahan dan lainnya. Kemudian yang terakhir selemah-lemah zuhud adalah zuhud pada kemegahan dan lebih baik daripada zuhud harta.

Perbezaan zuhud dan faqir.

Zuhud adalah terasing daripada dunia kerana taat kepada Allah serta ia berkuasa mengawalnya.

Faqir pula adalah terasing ia daripada dunia tetapi hatinya mahukan dunia dan isinya.

Sesungguhnya faqir itu baukanlah termasuk dalam zuhud tetapi ada kelibihan faqir itu daripada orang kaya. Sabda Rasulullah :

يدخل فقراء أمتى الجنة قبل اغنيائهم بخمسمائة عام

“masuk syurga dahulu umatku yang faqir daripada orang yang kaya yang jaraknya lima ratus tahun”. Riwayat Tirmizi - Hasan Shohih

Berdoa Rasulullah s.a.w. kepada Allah :

اللهم احينى مسكينا وامتنى مسكينا

“Ya allah! Hidupkan aku miskin dan matikan aku miskin”. Riwayat Tirmizi – Hasan

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ketika nabi hampir wafat, nabi menggadai baju besi baginda kepada seorang yahudi untuk nafkah keluarganya.

Sabda Rasulullah :

طوبى لمن اسلم وكان عيشه كفافا

“bermula syurga itu bagi mereka yang islam, dan kehidupannya yang sederhana”. Riwayat ar-Razi.

Besar pahala bagi orang yang faqir apabila ia sabar, redha dan bersyukur dengan apa yang ada dan sabar atas kepapaan (faqir) itu permulaan bagi zuhud, dan tidak sempurna zuhud melainkan dengan sabar.

Wallahuaklam......
Mohon maaf dan teguran diatas khilaf dan kesilapan.
Ikhlas & Rahmat Allah bersama kita.
UstazMahfuzRoslan@UMAR.
Kongsikan dan sebarkan..sesungguhnya ianya ILMU ALLAH TAALA..

No comments: