Thursday, July 10, 2014

RAMADHAN BULAN PENAMBAH PAHALA...11/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Jumaat, 13 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN PENAMBAH PAHALA - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Banyak amalan soleh yang perlu kita lakukan untuk menutup 'lubang-lubang' kesilapan dosa yang telah kita korek sepanjang kehidupan ini. Adalah diharapkan bila sampai 'Yaumul Mizan' iaitu hari pertimbangan neraca amalan manusia di Hari Akhirat nanti, amalan-amalan soleh ini akan lebih berat berbanding amalan-amalan toleh yang belum sempat kita mohonkan keampunan kepada Allah SWT.

PENCERAHAN :
Antara amalan-amalan soleh yang boleh kita amalkan untuk menambahkan pahala pada kesempatan sepanjang bulan Ramadhan ini selepas kita ketahui 13 Amalan Penghapus Dosa semalam, adalah seperti berikut;

1. KELUAR MENUNTUT ILMU. Pergi ke masjid atau ke surau pada bulan Ramadhan ini niat untuk Qiamu Ramadhan. Rugi kalau keluar rumah sekadar niat untuk Solat Terawih, masukkan niat juga untuk menadah ilmu melalui Tazkirah Ramadhan. Kerana ia turut ditakrifkan ulama' sebagai aktiviti mendirikan Ramadhan. Siang syiam (puasa) malam qiam (bangun). Sabda Nabi SAW ;
“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkan baginya dengan (ilmu) itu jalan menuju syurga”. (HR. Muslim)

2. SENTIASA MENGINGATI ALLAH. Inilah masa yang paling baik untuk kita memperbanyak mengingati Allah SWT. Sabda Nabi SAW ; “Inginkah kalian aku tunjukkan kepada amalan-amalan yang terbaik, tersuci disisi Allah, tertinggi dalam tingkatan darjat, lebih utama daripada mendermakan emas dan perak, dan lebih baik daripada menghadapi musuh lalu kalian tebas batang lehernya, dan merekapun menebas batang leher kalian. Mereka berkata: “Tentu”, lalu Baginda bersabda: Zikir kepada Allah Ta`ala”. (HR. At Tirmidzi)

3. BERDAKWAH KEPADA ALLAH. Ajaklah suami @ isteri-isteri dan anak-anak terlebih dahulu untuk ihya' Ramadhan terbaik pada tahun ini. Rasulullah SAW bersabda ; “Barangsiapa yang mengajak (seseorang) kepada petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun” (HR. Muslim)

4. MELAWAT ORANG SAKIT. Pastinya ada juga pada bulan Ramadhan ini sanak saudara atau kenalan kita yang sedang terlantar sakit di hospital. Sabda SAW; “Tiada seorang muslim pun melawat orang muslim yang sedang sakit pada pagi hari kecuali ada 70.000 malaikat berselawat kepadanya hingga petang hari, dan apabila ia menjenguk pada petang harinya mereka akan selawat kepadanya hingga pagi hari, dan akan diberikan kepadanya sebuah taman di syurga”. (HR. Tirmidzi)

5. MENAHAN MARAH. Rugilah orang yang pada bulan puasa ini dia sering marah-marah. Selain dikhuatiri hilang pahala puasa...hilang juga peluang untuk memilih bidadari syurga !. Sabda Rasulullah SAW; “Barangsiapa menahan marah padahal ia mampu menampakkannya maka kelak pada hari kiamat Allah akan memanggilnya di hadapan para makhluk dan menyuruhnya untuk memilih bidadari yang ia sukai” (HR. Tirmidzi)

6. MENGIRINGI SOLAT FARDHU DENGAN SOLAT SUNAT RAWATIB. Solat Sunat Terawih 8 @ 20 rakaat pun boleh kita buat, inikan pula hanya 2 rakaat qabliah dan ba'diah. “Tiada seorang hamba muslim solat kerana Allah setiap hari 12 rakaat sebagai solat sunat selain solat fardhu, kecuali Allah membangunkan baginya rumah di syurga”. (HR. Muslim)

7. SOLAT DI MALAM LAILATUL QADAR. Pilihlah antara Lailatul Qadar atau Lailatul 'Kamdar'. Sebab bulan Julai adalah bulan melawat Kamdar. Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa mendirikan solat di (malam) Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (HR. Bukhari dan Muslim)

8. MENYINGKIRKAN GANGGUAN DARI JALAN. Gangguan yang ada sekarang ini bukan sekadar di jalan tetapi di tepi atau sekeliling masjid dan surau. Iaitu kanak-kanak yang bermain mercun ketika jemaah sedang Solat Terawih. Jadikan masjid dan surau 'Zon Bebas Mercun'. Sabda Na bi SAW; “Saya telah melihat seseorang bergelumang di dalam kenikmatan syurga disebabkan ia memotong pohon dari tengah-tengah jalan yang mengganggu orang ramai” (HR. Muslim)

9. BERBUAT BAIK KEPADA HAIWAN. Rahmat yang dibawa nabi bukan untuk manusia sahaja, tetapi untuk sekalian alam termasuklah tumbuhan dan haiwan. “Ada seseorang melihat seekor anjing yang menjilat-jilat debu kerana kehausan maka orang itu mengambil sepatunya dan memenuhinya dengan air kemudian memberi minum kepada anjing tersebut, maka Allah membalasnya dengan memasukkannya ke dalam syurga”.(HR. Bukhari)

10. MENINGGALKAN PERDEBATAN. Sama ada ketika berbicara secara 'live' mahupun dalam media sosial. Berapa ramai orang yang bermasam muka dan 'left' group kerana berdebat pada perkara yang dianggap dia sahaja yang betul. Benar tapi egoistik tiada gunanya juga. Sabda SAW; “Aku adalah pemimpin rumah di tengah syurga bagi siapa saja yang meninggalkan perdebatan padahal ia dapat memenanginya”. (HR. Abu Daud)

11. MENGUNJUNGI SAUDARA-SAUDARA SEAGAMA. Sabda SAW; "Mahukah aku beritahukan kepada kalian tentang para penghuni syurga? Mereka berkata: “Tentu wahai Rasulullah”, maka Baginda bersabda: “Nabi itu di syurga, orang yang jujur di syurga, dan orang yang mengunjungi saudaranya yang sangat jauh dan dia tidak mengunjunginya kecuali kerana Allah maka ia di syurga” (HR. At-Thabrani)

12. MENANGGUNG BEBAN HIDUP ANAK YATIM. Menyantuni anak yatim di luar bulan puasa pun sudah banyak pahala, apatah lagi di bulan ini. Antara kaedah untuk membantu anak yatim ialah 'tanggunglah' ibunya, maka tertanggunglah anak yatimnya. Sabda SAW; “Saya dan penanggung beban hidup anak yatim itu di syurga seperti begini,” seraya baginda menunjukkan kedua jarinya: jari telunjuk dan jari tengah. (HR. Bukhari)

13. BERUSAHA MEMBANTU PARA JANDA DAN MISKIN. Yang ni no komen... sebab isteri pun sedang baca atau mendengar tazkirah ini. Rasulullah SAW berpesan; “Orang yang berusaha membantu para janda dan fakir miskin sama halnya dengan orang yang berjihad di jalan Allah” dan saya (pera wi-pent) mengira Baginda bersabda: Dan seperti orang melakukan qiamullail yang tidak pernah jenuh, dan seperti orang berpuasa yang tidak pernah berbuka” (HR. Bukhari)

KESIMPULANNYA :
Banyak lagi sebenarnya amalan soleh yang boleh kita amalkan dalam bulan Ramadhan ini seperti bersedekah, berjihad, tadarus Al-Quran, pergi umrah dan sebagainya. Namun amalan soleh yang sangat mudah dan perlu kita lakukan sekarang ini adalah untuk menadah tangan mendoakan saudara kita di bumi Ghaza Palestin yang sedang dizalimi oleh rejim Zionis Israel laknatullah. "Hidup-hidup, hidup Islam !. Hancur-hancur, hancur Israel !". Wallahu a'lam - 'Al-amal al-amal al-amal lulillah...' Ukay's.

No comments: