Wednesday, July 2, 2014

RAMADHAN BULAN TERBUKA...2/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Ramadhan) Rabu, 4 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN TERBUKA PELUANG - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

Baginda Nabi SAW pernah mengaminkan doa Jibril a.s “Barangsiapa yang bertemu Ramadhan tetapi dia tidak diampunkan dosanya, maka setelah dia mati dia akan masuk neraka lalu jauhlah dia dari rahmat Allah”
(HR : Ibnu Hibban, At-Thobrani, Al-Baihaqi dan Al-Hakim)

PENCERAHAN :
Nabi SAW juga pernah bersabda : “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunlah segala dosanya yang telah lalu, dan sesiapa yang menghidupkan Lailatulqadar dalam keimanan dan keikhlasan akan diampunlah dosanya yang telah lalu”
(HR : Bukhari dan Muslim)

Justeru, rebutlah peluang keemasan ini, carilah pengampunan di dalam bulan yang sepatutnya Hamba Allah mendapat pengampunan dan maghfirah dari Tuhan yang maha Pengampun ini. Jangan hanya nampak peluang perniagaan dan keuntungan yang segera dan lumayan sahaja bila berada di bulan Ramadhan.

Sangat luar biasa bebalnya nafsu kita andainya Ramadhan ini masih tidak mampu menebuskan diri kita dari Neraka, dan dosa-dosa kita tidak terampun sedangkan janji Allah dan Rasulnya itu bahawa Tuhan sangat pemurah dengan pengampunan, apatah lagi di saat-saat bulan Ramadhan.

Janji baginda Nabi SAW; “Ramadhan sehingga Ramadhan, Jumaat ke Jumaat, dan solat ke solat menjadi kifarah dosa di antaranya selama mana menjauhi dosa-dosa besar” (HR : Muslim)

Sebab itulah Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadhan ini untuk menjadi hamba-Nya yang muttaqin dengan merebut peluang luasnya pintu pengampunan Allah pada bulan ini. Firman Allah SWT:

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

“Bersegeralah kalian mencari maghfirah (pen gampunan) dari Tuhan mu dan Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan maghfirah dan syurga itu untuk golongan muttaqin (orang-orang yang bertakwa)”
(QS Ali Imran :133)

Ayuh ! Ramadhan baru bermula. Walaupun sesaat berlalu ia tetap saat yang paling bernilai dan paling berkat yang tiada taranya. Puasa dan doa di dalamnya tidak sama seperti selain Ramadhan. Maka manfaatkanlah setiap saat Ramadhan sehinggalah peluang saat terakhir. Moga jangan terjadi dari golongan yang rugi...

Syeikh Abdul Aziz bin Muhammad As-Sarkhan berkata di dalam kitabnya 'Mukhalafat Ramadhan' – Kesilapan dalam Ramadhan, menerangkan tentang cara manusia meraikan Ramadhan. Kita telah mengetahui tiga golongan manusia cara sambut Ramadhan iaitu;
1. Orang yang tak kisah
2. Orang yang cemas, resah dan khuatir kena berpuasa
3. Orang yang ternanti-nanti dan berdoa menjumpai Ramadhan.

Tetapi, ini pula adalah lima jenis manusia cara meraikan Ramadhan;

1) Orang yang soleh. Setelah menunggu-nunggu dan bertemu dengan Ramadhan. Mereka sambut dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan terus mengambil faedah daripadanya semaksima mungkin tanpa melepaskan peluang beramal padanya walau sesaat. Keluar Ramadhan dia menjadi insan yang lebih hebat takwanya dari sebelumnya. Ini adalah sebaik-baik golongan.

2) Orang yang kedatangan Ramadhan dan pemergiannya sama sahaja, tidak teransang langsung mahu menambah amal sebaik dan sebanyak mungkin. Inilah golongan yang rugi, kerana berada dalam peluang tetapi tidak mengambil peluang.

3) Orang yang cuma kenal Allah pada bulan Ramadhan sahaja. Apabila selesai Ramadhan dia kembali kepada tabiat jahatnya semula. Imam Ahmad dan Fudhail mengatakan : "Seburuk-buruk manusia mereka hanya kenal Allah cuma ketika Ramadhan sahaja.". Ingat! Kita adalah hamba Allah, bukan hamba Ramadhan...

4) Orang yang hanya puasa perut sahaja. Lain anggotanya tidak turut taat kepada Allah. Nabi SAW sebut bahawa ini golongan yang tidak dinilai sikit pun oleh Allah dan Allah tidak berhajat pada puasanya untuk dia meninggalkan makan minumnya sekiranya dia masih tidak meninggalkan perbuatan buruknya.

5) Orang yang di dalam bulan Ramadhan pun tidak kenal dan taat kepada Allah, apatah lagi jika di luar Ramadhan. Ini adalah sejahat-jahat jenis manusia, paling bahaya dan sangat terancam. Moga Allah lindungkan kita dari jenis manusia seperti ini.

Tuan-tuan, puan-puan dan para pengihya' Ramadhan sekalian,

SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Pesanan dari Imam Al-Ghazali rmh.anhu : “Hiduplah apa kehidupan yang kamu mahu, sesungguhnya engkau tetap akan mati jua. Cintailah sesiapa pun yang kamu mahu cintai, sesungguhnya engkau tetap berpisah dengannya juga. Buatlah apa kerja yang kamu mahu buat, sesungguhnya kamu tetap akan dibalas juga.” Moga Ramadhan Ini menjadikan kita manusia yang lebih berani menghadapi kematian. Aamiin Ya Rabb !
Wallahu a'lam - Peluang tidak selalu datang bergolek! Ukay's.

No comments: