Monday, June 30, 2014

RAMADHAN BULAN PERUBAHAN...1/7/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Edisi Khas Tazkirah Terawih) Selasa, 3 Ramadhan 1435H : RAMADHAN BULAN PERUBAHAN - Untuk dikupas oleh Pentazkirah atau dibaca oleh Imam atau Bilal Terawih (15 - 20 minit sahaja)

Tuan-tuan dan Puan-puan Para Pengihya' Ramadhan Sekalian,

Pada bulan Ramadhan, kita mendapat tarbiyah direct daripada Allah. Perasan atau tidak, pada bulan ni seolah-olah ada satu tenaga luar biasa, dan satu kekuatan yang Allah beri hanya kepada hamba-hamba-Nya. Dengar sahaja azan di surau atau dari masjid, terasa hendak pergi solat berjemaah. Selalu ingat masjid atau surau. Subuh, Maghrib, Isya’, Terawih, cepat-cepat bersiap untuk ke masjid atau surau berdekatan.

PENCERAHAN :
Kenapa ye? Terasa rajin untuk membaca Al-quran sehingga mampu membaca satu-dua juzuk sehari. Hendak kata ustaz-ustaz suruh baca Al-quran di bulan Ramadhan, bulan lain pun mereka suruh juga. Pesanan untuk Taqwa, tiap-tiap hari Jumaat pun khatib menyeru supaya bertaqwa. Berkali-kali ustaz memberi pesanan, tetapi kenapa di bulan Ramadhan ni kita senang saja untuk melaksanakan ketaatan?

Sebenarnya Allah hendak menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai detik perubahan, satu tarbiyyah dan momentum yang melahirkan individu yang lebih berkeperibadian Islam (As-Sahsiyah Islamiyah) daripada sebelumnya. Iaitu sebagai satu madrasah, sekolah, akademi atau universiti yang akan melahirkan Graduan Ramadhan seperti berikut:
1. Akidahnya yang semakin mantap
2. Ibadatnya yang semakin semangat
3. Akhlaknya yang semakin hebat

Tarbiyah dengan segala proses dan tujuan yang ada di dalamnya seperti Tansyi’ah (pembentukan), Ri’ayah (pemeliharaan) dan Tanmiyah (pengembangan).

1) Tansyi’ah (Pembentukan)
Salah satu sisi penting dalam proses Tansyi’ah ini adalah pembentukan Ruhiyah Maknawiyah. Pembentukan Ruhiyah Maknawiyah dapat dilakukan dengan kegiatan-kegiatan ibadah wajib dan sunnah seperti Qiyamullail, tilawah Quran, zikir dan sebagainya. Pada bulan Ramadhan Allah SWT membuka kes empatan yang seluas-luasnya bagi setiap individu untuk maraih semua keutamaan yang Allah SWT janjikan di setiap aktiviti ibadah yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan pada waktu siang dan malamnya.

Dari Abdurrahman bin Auf r.a bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda : “Sungguh, Ramadhan adalah bulan yang diwajibkan Allah puasanya dan ku sunatkan solat malamnya. Maka barangsiapa menjalankan puasa dan solat malam pada bulan itu kerana iman dan mengharap pahala, nescaya bebas dari dosa-dosa seperti saat ketika dilahirkan ibunya.” (HR : An-Nasa’i)

2) Ri’ayah (Pemeliharaan)
Proses pembentukan dalam Ruhiyah Maknawiyah, termasuk fikriyah dan amaliyah yang sudah atau mulai terbentuk harus dijaga dan dipelihara jangan sampai ada yang berkurang, menurun atau melemah. Dengan demikian kualiti dan kuantiti ibadah yang dilakukan selama Ramadhan harus tetap terjaga dan terpelihara dengan baik. Kemampuan untuk melakukan Ri’ayah (pemeliharaan) akan memberikan semangat untuk melewati Ramadhan dengan segala keutamaannya secara utuh. Begitu juga dalam melewati beberapa hari setelah Idul Fitri, proses tarbiyah itu ternyata belum berhenti.

Kemampuam puasa Sunnah Enam Syawal contohnya dan membiasakan puasa-puasa sunat setelah Ramadhan berakhir, menandakan diterimanya puasa Ramadhan seseorang, kerana apabila Allah SWT menerima amal seorang hamba, pasti Dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik setelahnya. Sebahagian ulama' menyatakan barangsiapa mengerjakan kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda atas diterimanya amalan pertama tadi.

3) At-Tanmiyah (Pengembangan).
Setiap mukmin tidak boleh merasa puas dengan apa yang sudah dikerjakannya, apalagi menganggap sudah sempurna amalannya. Sebaliknya harus sentiasa ingin meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti ibadah mereka. Memperbaiki kekurangan serta mengejar semua keutamaan yang Allah SWT janjikan selama Ramadhan masih ada hendaklah menjadi motivasi bagi setiap mukmin yang berpuasa.

Motivasi yang terhasil dari tarbiyyah Ra madhan antaranya ialah dengan melakukan perubahan-perubahan seperti berikut;
1. Hijratu minal maksiyah ila ibadah (perubahan dari cenderung maksiat kepada cenderung ibadat)
2. Hijratu minas saiyiah ila hasanah (perubahan dari melakukan keburukan kepada melakukan kebaikan)
3. Hijratu minal 'aduwah ila ukhuwah (perubahan dari persengketaan kepada perpaduan)
4. Hijratu minan nafs ammarah ila nafs mutmainnah (perubahan dari jiwa kacau kepada jiwa yang tenang)
5. Hijratu minal jahiliyyah ila ilmiyyah (perubahan dari kebodohan kepada cintakan ilmu)

Sebab itu, sepanjang Ramadhan ini kita ditarbiyah oleh Allah SWT untuk meninggalkan sementara yang halal pada bulan Ramadhan, maksudnya ialah sepatutnya lebih mudah untuk kita meninggalkan yang haram selepas Ramadhan nanti. Percayalah ! Lebih susah untuk meninggalkan yang halal daripada meninggalkan yang haram. Inilah tarbiyah tersembunyi oleh Allah pada kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan Para Pengihya' Ramadhan Sekalian,

SEBAGAI KESIMPULANNYA :
Demikianlah proses tarbiyah yang hendak Allah SWT tunjukkan kepada setiap mukmin dalam menjalani ibadah Ramadhan. Sijil Lulus Cemerlang / Mumtaz yang ingin dicapai dari semua proses tarbiyah tersebut adalah terbentuknya individu yang bertaqwa. Ramadhan akan benar-benar dimaknani dan dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti takwa hamba-Nya. Kerana ia adalah faktor utama untuk memenangi 'Peperangan Jihad Nafsu' pada setiap individu muslim dan jalan kejayaan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Wallahu a'lam - Berubah sebelum diubah, tarbiyah sebelum rebah. Ukay's

No comments: