السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Rabu, 27 S'ban 1435H)
Mana Yang Lebih Mahal?
Ibu bapa kepada lima orang cahaya mata yang telah berjaya. Ada yang jadi doktor, ada yang jadi peguam, ada yang jadi pensyarah, ada yang jadi cikgu sekolah dan ada yang tengah belajar di universiti. Masing-masing mengirim beberapa ratus ringgit setiap bulan tanpa gagal kepada kedua orang tuanya... Tetapi ibu bapanya mengadu kepada Ust Kay :
"Bukan wang ringgit sangat yang kami harapkan ustaz, tetapi ingatan anak-anak kepada kami. Kalau tak dapat menjenguk kami sebulan sekali atau setahun sekali, kami dapat dengar suara mereka melalui telefon pun jadilah... Ada kereta mahal-mahal bukan digunakan untuk menjenguk kami, ada telefon mahal-mahal berapa kalilah telefon kami, kami lah yang terlebih dahulu hubungi mereka"
PENCERAHAN :
Ibubapa sebenarnya memiliki hak terhadap sebahagian harta anak-anaknya. Pernah seorang anak datang mengadu kepada Baginda Rasulullah SAW; “Wahai Rasulullah, saya memiliki harta dan anak akan tetapi ayahku ingin menghabiskan harta aku.” Rasulullah SAW menjawab: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu.” (HR : Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda; "Tidak dihalalkan bagi seseorang memberikan satu pemberian kemudian memintanya balik kecuali seorang ayah terhadap apa yang diberikannya kepada anaknya.
(HR : At-Tirmizi)
Ini menunjukkan bahawa betapa besar hak ibu bapa ke atas kita sehingga harta kita dan apa yang pernah mereka berikan kepada kita boleh menjadi milik mereka.Sekalipun kedua-dua hadis di atas hanya merujuk kepada seorang ayah, akan tetapi seorang ibu termasuk sama. Ini kerana hak seorang ibu terhadap anaknya adalah lebih besar sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa hadis sebelum ini.
Dilihat dari sudut hukum fiqh, maka hukum yang terkandung dalam kedua-dua hadis bukanlah secara mutlak tetapi dibatasi dengan kaedah bahawa ketaatan hanya dalam perkara yang ma’ruf, bukan maksiat. Memenuhi keperluan ibu bapa pada sudut harta benda bukanlah suatu perkara maksiat. Malah satu amal jariah yang terbaik dari seorang anak. Di samping itu terhadap sebuah hadis lain daripada ‘Ali bin Abi Thalib r.a dimana beliau menerangkan:
Nabi SAW menghantar satu ekspedisi pejuang dan melantik seorang lelaki dari kalangan Ansar sebagai pemimpinnya. Baginda memerintahkan mereka (para pejuang) untuk mentaati pemimpin tersebut. Dalam ekspedisi itu, pemimpin tersebut menjadi marah kepada mereka (para pejuangnya) dan berkata: “Tidakkah Nabi SAW memerintahkan kalian mentaati aku?” Mereka menjawab: “Ya.”Dengan itu dia berkata: “Aku memerintahkan kalian memungut kayu api, nyalakan api dan lompat ke dalamnya!”
Maka mereka memungut kayu api dan menyalakan api. Akan tetapi tatkala mereka ingin melompat ke dalam, mereka melihat kepada satu sama lain dan sebahagian daripada mereka berkata; “Sesungguhnya kita mengikuti Nabi SAW (agama Islam) tidak lain untuk menyelamatkan diri daripada api, apakah patut kita memasukinya sekarang?”
Sementara itu api padam dan kemarahan pemimpin mereka juga menjadi reda. Maka setelah itu mereka menceritakan apa yang berlaku kepada Nabi SAW. Baginda menjawab: “Seandainya kalian melompat ke dalamnya pasti kalian tidak akan keluar selama-lamanya. Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).”
(HR : Al-Bukhari)
Oleh itu apabila dikatakan: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu”, maka ia bukanlah keseluruhan harta sehingga meninggalkan kita dalam keadaan muflis dan merana. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah, ibubapa memiliki kedudukan yang amat besar terhadap kita sehingga mereka berhak kepada sebahagian daripada harta kita.
Betapa tidak, bukankah ibu bapa juga, ketika kita masih kecil, telah mengorbankan sebahagian besar harta mereka untuk membesar dan mendidik kita? Justeru berdasarkan hadis ini, kita tidak boleh bersikap kedekut terhadap ibu bapa. Hendaklah secara rela kita berkongsi sebahagian harta bersama ibubapa dan memberikan lebih dari itu jika mereka berhajat kepadanya. Perkara ini turut disentuh oleh Allah SWT dengan firman-Nya:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?” Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada kedua ibubapa…”
(QS. Al-Baqarah : 215)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Seorang anak belum membalas budi ayahnya sehingga dia mendapati ayahnya seorang budak hamba, lalu dia membelinya dan memerdekakannya." (HR : Ibnu Majah)
Demikian juga berkenaan hak ibubapa untuk mengambil semula pemberian mereka kepada kita. Pengambilan semula adalah dengan syarat ia tidak menjadikan kita dalam keadaan yang sukar. Sebagai contoh, jika ibubapa telah memberi duit pendahuluan kepada kita untuk membeli kereta, mereka hanya boleh meminta balik duit tersebut jika kita belum membeli kereta. Jika kita sudah membeli kereta, ibubapa tidak boleh meminta balik kerana ini akan membebankan kita.
Ingin ditekankan disini bahawa, bahawa memberi harta atau wang ringgit kepada ibubapa hanyalah merupakan sebahagian daripada tuntutan berbuat baik kepada ibubapa. Ia tidak mewakili keseluruhan daripada tuntutan tersebut. Mungkin ada sebahagian daripada kita yang merasa cukup untuk berbuat baik kepada ibubapa sekadar mengirim elaun bulanan RM200 ke kampung. Selain itu tidak diendahkan langsung hal ehwal ibubapa. Malah jika diketahui ibu bapanya amat menghajati anak-anaknya, hajat tersebut ditutupi dengan cara menambah elaun bulanan.
KESIMPULAN :
Percaya atau tidak, nilai ibu bapa kita lebih bernilai daripada semua kereta yang kita ada. Percaya atau tidak nilai ibu bapa kita lebih bernilai dari seluruh aset yang kita ada termasuk jawatan yang kita sandang sekarang ini. Percaya atau tidak panggilan sekejap kepada ibu bapa untuk bertanyakan khabar mereka lebih bernilai daripada Smart Phone yang kita baru beli... Wallahu a'lam - Sekiranya Allah 'offer' pada Ust Kay untuk menghidupkan semula ibu bapa Ust Kay dengan mengambil semua harta yang Ust Kay ada..."Ya Allah hidupkanlah semua ibu bapa ku Ya Allah, Kau ambil semua yang aku ada...". Ukay's.
No comments:
Post a Comment