Tuesday, June 24, 2014

Tunjukkanlah.... 24/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Selasa, 26 S'ban 1435H)
Tunjukkanlah...

Kadang-kala kita merasakan sudah cukup dengan sekadar memberikan harta kepada orang yang sayang. Kita rasa itu sudah memadai, rupanya itu bukan lagi pemberian. Kerana pemberian yang sebenar ialah pemberian sesuatu diikuti dengan hati.

PENCERAHAN :
Sepasang suami isteri yang telah mendirikan rumah tangga selama 18 tahun dan telah dikurniakan 8 orang cahaya mata. Masing-masing dengan kesibukan masing-masing, menjadikan hubungan mereka semakin hambar. Bila si suami menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi seorang barulah si isteri rasa terkejut kerana merasakan apa yang kurang pada dirinya berbanding bakal madunya.
Si isteri selama ini merasakan cukuplah dengan menyediakan makan minum dan mengurus pakaian suaminya dengan sempurna. Cukuplah sekadar memenuhi hasrat suami untuk membuat 'sedekah' pada setiap malam Jumaat dan juga malam-malam lainnya yang si suami anggap malam Jumaat juga. Cukuplah rasanya telah memberikan 8 zuriat kepada suaminya... Tetapi suaminya pula mengadu kepada Ust Kay :

"Ustaz selama ini dia tak pernah menyatakan rasa sayangnya pada saya, sayalah yang bersungguh-sungguh dalam hubungan kami... baru-baru ini bila saya nyatakan hasrat saya untuk berkahwin seorang lagi barulah dia menunjukkan kasih-sayangnya kepada saya"

Oleh itu, tunjukkanlah rasa kasih-sayang kepada seseorang sementara mereka masih dapat merasakannya... Namun ada beberapa kesalahan dalam hasrat hendak menunjukkan rasa sayang khususnya kepada pasangan suami isteri, antaranya ialah;

1. Malu untuk Berkongsi
Jangan terlalu bersikap 'tertutup' kerana hal ini akan menghambat komunikasi. Padahal komunikasi sangat penting bagi menjaga keharmonian setiap hubungan. Baik si suami mahupun si isteri untuk saling berkongsi pengalaman, perasaan dan keinginan pasangannya. Jadi, bersikaplah terbuka atau 'sporting' dalam setiap kehendak untuk saling memberi dan menerima.

2. Sangat Cerewet
Ada seba hagian si isteri yang kurang menyedari, betapa buruknya jika terlalu cerewet. Ada antaranya mengalahkan seorang ibu yang cerewet kepada anaknya yang masih kecil. Namun, itu mungkin dapat dimaafkan lagi kerana relevannya tetapi apabila cerewet kepada si suami sememangnya itu akan membuatkan si suami dalam keadaan yang amat sesak nafas dan rimas meskipun dengan alasan ingin tunjukkan sayang kepadanya.

3. Terlalu Sensitif
Isteri yang cepat terasa atau sensitif akan membuat suaminya merasa tidak bebas untuk mengungkapkan perasaanya kerana takut melukai hatinya. Padahal dengan hubungan cinta yang sihat kedua belah pihak seharusnya saling mengungkapkan perasaannya dengan bebas. Kadangkala gurau juga dapat mengusik perasaan yang terlalu sensitif sehingga pasangannya tiada mood untuk berlawak jenaka bagi menceriakan suasana.

4. Jangan Terlalu Mengongkong
Lelaki memerlukan kebebasan atau ruang untuk melakukan aktiviti yang disukainya bersama teman-teman. Oleh itu, andainya terlalu mengongkong bukan sahaja akan membuat si suami rimas malah bosan kerana setiap pergerakannya ditentukan oleh isteri. Awal-awal mungkin si suami boleh bertahan dan memahami tetapi lama kelamaan tidak mustahil si suami angkat kaki. Jadi berubahlah sebelum terlambat.

5. Memperlekehkan Pasangan
Lelaki tidak menyukai seorang perempuan yang tidak menghargainya walau pun isterinya sendiri, apalagi memperlekehkannya. Jadi si isteri perlu bersikap lebih bijak untuk tidak membuat si suami merasa dipersendakan sama ada dengan sikap yang ditunjuk ataupun perkataan yang diucapkan. Andai si isteri ingin menegur kesalahan yang dilakukan oleh si suami biarlah kena pada caranya supaya si suami ikhlas memperbaiki diri dan berubah sedikit demi sedikit tanpa perlu rasa diperlekehkan.

KESIMPULAN :
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Quranul Karim;

ثُمَّ كَانَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ وَتَوَاصَوْا بِالْمَرْحَمَةِ

Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan s abar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang." (QS Al-Balad : 17)
Wallahu a'lam - Khas untuk zaujati, I Love U. Ukay's.

No comments: