Sunday, June 22, 2014

Futur &fujur... 22/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Ahad, 24 S'ban 1435H)
Futur & Fujur

Manusia diciptakan Allah Taala dengan pelbagai sifat dan tingkahlaku yang menunjukkan betapa berhajatnya mereka kepada bantuan dan pertolongan. Sifat-sifat seperti resah gelisah, takut, kecewa, bosan, malas dan sebagainya adalah gambaran kelemahan diri manusia itu sendiri yang diciptakan sebagai hamba Allah. Kalau tidak segera diubati takut pula cenderung kepada sifat-sifat mazmumah dan melakukan kemungkaran yang lain.

PENCERAHAN :
Kelemahan dan sifat serba kekurangan ini boleh mendedahkan manusia kepada keadaan murung dan berputus asa yang akhirnya akan membawa mereka kepada hilang pergantungan dengan rahmat Allah Taala. Sabda Rasulullah SAW:
إن لكل عمل شِرَّة، ولكل شِرَّة فترة

“Sesungguhnya bagi setiap amalan ada masa bersungguh (cergas) dan setiap kecergasan ada masa jemu...”.
(HR : Ahmad, Ibnu Khuzaimah dan Al-Tirmizi)

Suasana persekitaran, pergaulan, kejahilan, kecintaan kepada dunia dan tiadanya murabbi adalah antara faktor
kemurungan dan kebosanan dalam melaksanakan perintah Allah Taala. Ia samada berkaitan dengan ibadah mahupun dalam kerja-kerja dakwah. Keadaan ini adalah perlu diberikan perhatian kerana bimbang ia akan menjadikan seseorang itu hilang rasa kemanisan beribadah dan berjuang di jalan Allah. CCUK kali ini akan memberikan fokus kepada kebosanan di dalam amal Islami yang sering melanda amilin dalam dakwah.

Definisi Al-futur, menurut Mukhtar Al-Sihhah, Al-Futur itu bererti lemah, tumpul. Manakala Al-Raghib Al-Asfahani di dalam Mufaradat Al-Quran menyatakan bahawa erti Al-Futur ialah diam selepas bergerak cergas, lembut selepas keras dan lemah selepas kuat.

Ibnu Hajar rahimahullah berkata bahawa Al-futur ialah bosan, berat untuk melakukan sesuatu dan orang lari darinya selepas awalnya suka kepadanya. Ia adalah penyakit yang menimpa sebahagian hamba, para da'ie dan penuntut ilmu. Seseorang itu akan jadi lemah, bertangguh dan malas. Seterusnya men inggalkan dari melakukan sesuatu selepas awalnya ia bersungguh dan cergas.

Bagi seseorang yang terlibat dengan gerakan dakwah ia tidak boleh lari dari sifat sebagai manusia biasa yang terdedah kepada kebosanan dan kejemuan dalam dakwah. Bahkan para sahabat pun ada yang bertanya kepada Rasulullah SAW bilakah kemenangan akan tiba kerana sudah bosan dengan tentangan hebat dari golongan musyrikin. Dalam dakwah kebosanan berlaku samada akibat dari kelewatan mendapat kemenangan (dah 56 tahun menunggu) atau berpunca dari terjadi berbagai ujian yang berat kepada pejuang Islam.

Penyakit futur ini menukar sama-sekali perlakuan pelakunya daripada seorang rajin dan semangat bekerja kepada sikap malas, putus asa, menunda atau berlambat-lambat melakukan pekerjaan.

BAGAIMANA MERAWAT FUTUR?
1. Jauhi maksiat yang kecil, apatah lagi yang besar.
2. Mewujudkan rutin amalan dan ibadah, waktu siang dan malam.
3. Jauhilah segala sikap berlebihan, samada dalam menikmati yang santai atau dalam beribadah.
4. Membina kemesraan dengan organisasi dan rakan-rakan aktivis.
5. Menyemai budaya hidup yang teratur, sistematik dan terancang.
6. Berikan tempoh rehat (break) bagai para aktivis, sebelum timbul rasa lemah.
7. Benarkan sedikit perkara santai bagi aktivis seperti bergurau, berehat, beriadah dan lain-lain lagi
8. Berikan kisah-kisah para sahabat dan orang-orang soleh dan perjuangan mereka untuk diambil iktibar dan memperbaharui semangat.
9. Memberi peingatan yang menimbulkan ingatan terhadap mati dan akhirat.
10. Menggalakkan aktivis untuk melazimi majlis ilmu di luar program tarbiyah yang biasa kerana ia akan membantu proses pembinaan kefahaman yang betul dan menambah keberkatan.

Al-Fujur pula adalah perbuatan buruk dan perilaku yang bertentangan dengan syariat. Perkara berlawanan fujur adalah takwa, iaitu kebenaran dan segala tatalaku yang disyariatkan oleh Allah SWT. Allah berfirman:

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

"Maka mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan (fujur) dan yang membawanya ke pada bertaqwa." (QS Ash-Shams : 8)

Allah memberikan pilihan manusia dengan dua jalan iaitu jalan fujur dan jalan taqwa. Manusia adalah makhluk yang lemah mudah lupa, tergesa-gesa lagi mudah putus asa dan kemudian Allah memberikan rahmat untuk mengampuni dosa dan kesalahan hamba-Nya, menunjuki jalan keluar serta memudahkan perbaikan hamba-Nya bagi yang sungguh-sungguh bertaubat bertaqwa dan bertawakal.

KESIMPULAN :
Kita seharusnya bersifat peka terhadap perkembangan di kalangan ahli-ahli jamaah Islam yang mempunyai tingkah laku dan kecenderungan kepada Futur dan Fujur ini.. Kebijaksanaan amat diperlukan bagi memastikan faktor-faktor yang membawa kepada Al-futur dapat ditangani dengan sebaiknya dan sesegera mungkin. Tidak sensitif dengan perkara-perkara seumpama ini dikhuatiri akan membawa kepada kecenderungan ahli dan pendokong jamaah terlibat dengan Al-Fujur pula dan seterusnya meninggalkan perjuangan Islam. Wallahu a'lam - Elakkan futur jauhi fujur supaya tidak kufur. Ukay's

No comments: