السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Khamis. 14 S'ban 1435H)
Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul !
Ust Kay rasa perlu dijelaskan tentang beberapa kesalahfahaman masyarakat tentang beberapa hukum tentang mengadakan kenduri arwah atau lebih dikenali sebagai Kenduri Tahlil.
PENCERAHAN :
Berasal daripada kalimah Arab هَلَّلَ يُهَلِّلُ تَهْلِيْلًا bermaksud mengucap kalimah لاإله إلا الله . Menurut istilah, seperti yang disebut di dalam Kitab Tahlilan Dalam Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah oleh KH. Mahyudin Abdul Samad ialah bersama-sama mengucapkan kalimah tayyibah dan berdoa bagi orang yang sudah meninggal dunia. Ia juga merupakan himpunan zikir yang terkandung di antaranya surah-surah pilihan, ayat-ayat pilihan, selawat ke atas Nabi SAW, tahlil ( لا إله إلا الله ), dan lain-lain lagi dan di akhiri dengan doa kepada si arwah. Sangat baik !
Pada bulan inilah ramai yang mengadakan kenduri tahlil arwah. Di sesetengah tempat, khususnya di kawasan perkampungan yang padat penduduk tempatannya, boleh dikatakan setiap malam ada kenduri tahlil arwah. Menjelang akhir bulan Sya'ban, makin rancaklah kenduri arwah di sana sini. Seolah-olah bulan ini adalah bulan arwah. Sehingga setengah tempat kuliah maghrib ditinggal atau ditangguhkan semata-mata kerana ada Majlis Tahlil Perdana Sya'aban 2014 !
Kenduri tahlil arwah sudah menjadi adat kebiasaan bagi masyarakat Islam di negara kita. Untuk mengubah adat kebiasaan ini memang sukar. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Orang yang mempertikaikan kenduri tahlil arwah sering dilabelkan sebagai berfahaman wahabi, kaum muda dan sebagainya. Ibadat yang telah menjadi adat. Adat kalau kena caranya boleh jadi ibadat... tapi ibadat kalau tidak kena caranya ia sekadar jadi adat sahaja malah boleh jadi maksiat !
Di bawah ini dinyatakan beberapa hujah yang perlu diperhatikan dengan jelas agar tidak timbul kekeliruan kepada masyarakat kita.
1) Hujah Yang Melarangnya :
Diriwayatkan daripada Jarit r.a., "Adalah kami pa ra sahabat mengira bahawa berhimpun kepada keluarga si mati dan mereka itu (keluarga si mati) menyediakan jamuan, termasuk di dalam 'Nihayah' (meratapi serta menyebut-nyebut kebaikan si mati)." Kerana ada unsur terlampau mengambil berat soal dukacita, sepertimana yang diterangkan oleh Ibnu Hajar Al-Haitami di dalam kitab Tuhfah.
2) Hujah Yang Mengharuskannya :
Bacaan tahlil pada hakikatnya adalah nama atau istilah untuk suatu acara berzikir dan berdoa atau bermunajat bersama kepada Allah dengan membaca tahmid, takbir, tasbih, selawat, doa-doa dan lain-lain. Dan pada intinya ritual tersebut adalah doa yang dilakukan sejumlah orang untuk mendoakan si mati kerana Allah memerintahkan kita untuk berdoa kepada-Nya seperti yang tersebut di dalam al-Quran:
فَٱعْلَمْ أَنَّهُ لاَ إِلَـٰهَ إِلاَّ ٱللَّهُ وَٱسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَاتِ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ
"Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuan mu dan keyakinan mu (wahai Muhammad SAW) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)." (QS. Muhammad : 19)
وَٱلَّذِينَ جَآءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلإِخْوَانِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلإِيمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلاًّ لِّلَّذِينَ آمَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu." (QS. Al-Hasyr :10)
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ سَم ِعْتُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ إِذَا صَلَّيْتُمْ عَلَى الْمَيِّتِ فَأَخْلِصُوْا لَهُ الدُّعَاَء (سنن الترمذى)
“Daripada Abu Hurairah r.a, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda ; "Jika kamu semua menyembahyangkan mayat, maka berdoalah dengan ikhlas untuknya."
(HR : At-Tirmizi)
3) Hujah Yang Mengharamkannya :
a) Jamuan diadakan untuk meratapi dan menyebut-nyebut kebaikan orang yang mati (Nihayah)
b) Perbelanjaan diambil daripada harta peninggalan si mati sedangkan si mati masih mempunyai hutang belum dibayar.
c) Perbelanjaan daripada harta si mati sedangkan pewarisnya adalah orang yang tidak dibenarkan oleh syarak untuk menguruskan harta si mati seperti kanak-kanak atau orang yang ditahan hartanya oleh pemerintah.
d) Perbelanjaan daripada harta si mati tanpa persetujuan daripada waris-warisnya atau tidak diketahui di mana mereka berada. (termasuk dikhuatiri termakan harta anak yatim)
4) Hujah Yang Memakruhkannya :
a) Jamuan diadakan sekadar untuk menghilangkan rasa sunyi dan dukacita disebabkan kematian.
b) Mengadakan jamuan tanpa apa-apa tujuan atau kerana kematian semata-mata mengikut adat kebiasaan sesuatu tempat pada hari-hari atau bulan yang ditentukan. (sedangkan tahlil boleh dibuat bila-bila masa)
c) Jamuan bagi orang ramai yang datang supaya mengucapkan "Takziah" kepada waris.
KESIMPULAN :
Yang biasa waris menyediakan makanan untuk kita, yang betul kita bawa makanan untuk waris sebab waris tengah berduka cita. Yang biasa kita adakan kenduri tahlil kerana adat (takut dicemuh masyarakat jika tak buat) yang betul kita buat kenduri tahlil kerana Allah, mudah-mudahan doa kita bersama Tuan Imam dan jemaah surau atau masjid yang diundang diterima oleh Allah. Yang biasa bila kita dengar orang tak buat kenduri tahlil selepas kematian keluarga terdekat kita akan mengata macam-macam, yang betulnya jika mereka tak buat sebab ada hujahnya yang buat pun sebab ada hujahnya. Wallahu a'lam - Tepuk dada tanya Iman. Ukay's.
No comments:
Post a Comment