Monday, June 30, 2014

DOSA JANGAN DIPANDANG REMEH...30/6/14

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
إخوة استاذ حذري البنداني

TINTA TARBAWI , PERINGATAN ( ULANGAN ) :

DOSA JANGAN DIPANDANG REMEH

Dosa adalah satu keadaan di mana seseorang itu melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kehendak Allah S.W.T dan ajaran Islam dengan kesedaran dan rela hati. Perbuatan dosa adalah suatu tindakan yang mengkhianati amanah hidup. Iaitu menghambakan diri kepada Allah dengan penuh taat.
 
Dalam sebuah hadis dinyatakan :
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ إِنَّكُمْ لَتَعْمَلُونَ أَعْمَالاً هِىَ أَدَقُّ فِى أَعْيُنِكُمْ مِنَ الشَّعْرِ إِنْ كُنَّا لَنَعُدُّهَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مِنَ الْمُوبِقَاتِ.

“Anas bin Malik r.a berkata: “Sesungguhnya kalian mengerjakan perbuatan-perbuatan yang ia adalah lebih tipis dibandingkan rambut dalam penglihatan kalian, sungguh kami dahulu di zaman Rasulullah saw, menganggapnya termasuk dari dosa-dosa (besar) yang membinasakan.” (HR: Ahmad dan Bukhari)

Jelas sekali sekecil mana pun dosa jangan dipandang remeh . Abdullah bin Abbas r.a. pernah berkata :

“ Wahai orang yang berbuat dosa!, jangan kau rasa tenang dengan akibat dosamu. Ketahuilah banyak perkara yang akan menyertai satu perbuatan dosamu, malah lebih besar dari dosa itu sendiri.”

“ Hilangnya rasa malu kamu terhadap malaikat yang ada di kiri dan kananmu, ketika kamu melakukan dosa, adalah lebih besar dari dosa itu sendiri.”

“ Kamu tertawa ketika melakukan dosa dan tidak menyedari akibat murka Allah kepadamu, itu lebih besar dari perbuatan dosamu itu”

“ Rasa bahagiamu ketika melakukan dosa, itu lebih bahaya dari dosa itu sendiri. Rasa sedihmu ketika tidak dapat melakukan dosa adalah lebih berbahaya dari perbuatan dosa itu sendiri.”

“ Kebimbanganmu jika hembusan angin akan menyingkap tirai yang menutupi dosamu, ketika kamu melakukannya. Sedangkan hatimu tidak gelisah dengan pandangan Allah kepadamu, adalah lebih besar dari perbuatan dosamu itu.”

KESIMPULAN :

Wahai sahabat-sahabatku! Aku berpesan buat diriku dan kamu.. Jangan meremehkan dosa walau se dikitpun, jangan dipandang kecilnya dosa yang kau lakukan, tetapi ingatlah dengan siapa yang kau ingkari. Mungkin kerana beranggapan kecil kesalahanmu itu merupakan sebab terbesar kau dihumbankan  ke dalam neraka Allah.

Hamba yang fakir berdoa:
 
 Ya Allah, sempurnakan nikmat-Mu kepada kami. Ya Allah, sempurnakan nikmat-Mu ke atas kami. Dan tolaklah daripada kami semua bala dan musibah. Ya Allah hindarilah kami dari maksiat dan dosa.  Ya Allah bentangkan bagi kami bentangan Rahmat-Mu , berikan kepada setiap orang daripada kami kesudahan husnul khotimah, Ya Allah jangan dikecewakan orang yang mengharap kepada-Mu, Ya Allah bantulah kami wahai Wahai Yang Paling Penyayang….. amin.
 
Doakan istiqamah

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم والحمد لله رب العالمين. والعفو منكم.. محمد حذري بن هاشم البنداني

No comments: